(VIDEO) Turkiye Dedah Sedang Bangun Peluru Berpandu Ballistik Dengan Jarak Bedilan 2,000 KM
(VIDEO) “Kita telah memutuskan untuk memperkuatkan stok peluru berpandu dengan jarak melebihi 800km dan mempercepatkan program pembangunan peluru berpandu dengan jarak melebihi 2,000km." - Recep Tayyep Erdogan
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam pendedahan julung-julung kalinya, Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan menyatakan bahawa negara Mediterranean itu sedang membangunkan peluru berpandu ballistik yang berkeupayaan membedil sasaran sejauh 2,000km jauhnya.
Pembangunan peluru berpandu ballistik yang boleh terbang sejauh 2,000km sedang dipercepatkan, menurut beliau.
“Kita telah memutuskan untuk memperkuatkan stok peluru berpandu dengan jarak melebihi 800km dan mempercepatkan program pembangunan peluru berpandu dengan jarak melebihi 2,000km,” kata beliau selepas mesyuarat kabinet.
Erdogan berkata, sejak setahun lepas Turkiye telah melaksanakan pelbagai program pertahanan dan lebih banyak program akan dilaksanakan pada tahun ini.
Peluru berpandu ballistik jarak sederhana dengan kemampuan membedil sasaran sejauh 2,000km berkemungkinan merujuk kepada program pembangunan peluru berpandu dipanggil CENK atau GEZGIN yang belum didedahkan kepada umum setakat ini.
Peluru-peluru berpandu CENK DAN GEZGIN dikatakan bersaiz lebih besar berbanding peluru-peluru berpandu jarak dekat BORA dan TAYFUN.
Peluru berpandu CENK dikatakan akan diangkut oleh trailer sebagai kenderaan pelancarnya, manakala peluru berpandu GEZGIN pula boleh dilancarkan oleh kenderaan darat, kapal selam dan kapal perang.
Program pembangunan peluru berpandu CENK dan GEZGIN itu adalah inisiatif pertahanan Turkiye dalam memperluas keupayaan serangan jarak jauh negara tersebut.
Maklumat terperinci mengenai peluru berpandu CENK masih terhad, namun Erdogan telah menyatakan bahawa negara itu sedang membangunkan peluru berpandu dengan nama CENK dan GEZGIN dan berjanji akan ada “berita baik” mengenai pembangunan kedua-dua peluru berpandu tersebut dalam masa terdekat.