Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jika TUDM “Pelik”, Banyak Tentera Udara Negara Lain Juga Pelik

Keputusan TUDM menggunakan pesawat pejuang daripada dua blok kuasa yang berlainan tidak "pelik", kerana banyak tentera udara negara lain turut mempraktikkan perkara yang sama iaitu menggabungkan pesawat-pesawat pejuang Russia dan negara Barat dalam angkatan tentera udara mereka.

0 21,598

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini sebuah majalah terkenal Amerika Syarikat “Forbes” menyifatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai “di antara tentera udara yang pelik di dunia” (one of the world’s weirdest air forces) kerana mengoperasikan pesawat pejuang keluaran syarikat daripada pelbagai negara.

Penulis artikel itu, David Axe menyifatkan kombinasi pesawat-pesawat pejuang yang digunakan oleh TUDM daripada Hawk 108 dan Hawk 208 Britain, Su-30MKM Russia dan F/A-18D Amerika Syarikat adalah amat pelik.

“Kebanyakkan tentera udara cuba untuk meminimakan perbezaan pesawat di dalam perkhidmatan mereka untuk memastikan kos penyelenggaraan dan latihan pada tahap yang rendah,” menurut penulis dalam artikelnya itu.

Pendapat penulis itu berkait dengan latihan pada 24 Sept yang lalu apabila sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” United States Pacific Air Force (US PACAF) mengadakan latihan PASSEX (Passing Exercise) dengan TUDM di Selat Melaka.

Empat jenis pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM )terlibat dalam eksesais tersebut iaitu Sukhoi Su-30 MKM, F/A-18D Hornet, Hawk 208 dan pesawat pengangkut A400M “Atlas.”

TUDM
Pesawat-pesawat TUDM mengadakan latihan PASSEX dengan pesawat B-52 Stratofortress Tentera Udara Amerika Syarikat Pasifik (US PACAF) baru-baru ini. Gambar kredit TUDM

 

Bagi David,  apa yang menarik dilihat daripada latihan itu adalah bagaimana sebuah pesawat pengebom Amerika Syarikat telah “disambut” oleh kombinasi pesawat-pesawat pejuang yang dimiliki oleh TUDM.

Penggunaan pesawat-pesawat pejuang terutamanya daripada Amerika Syarikat dan Russia oleh TUDM itulah yang menarik perhatian penulis sehingga beliau melabel tentera udara kita sebagai “pelik”.

“Pemandangan tiga jenis pesawat berlainan, kesemuanya daripada sebuah tentera udara yang kecil, berkumpul di sisi pesawat pengebom Amerika Syarikat, ia adalah permandangan yang jarang-jarang berlaku,” kata David.

Bagaimanapun, bagi negara-negara yang mengambil pendekatan berkecuali (non-aligned) dalam dasar luar dan pertahanannya seperti Malaysia, ia bukanlah sesuatu yang pelik jika negara yang mengamalkan dasar berkecuali itu membeli sistem pertahanan mereka daripada negara-negara blok kuasa yang berlainan.

Penulis majalah “Forbes” itu turut mengakui bahawa negara-negara berkecuali seperti Malaysia kadangkala cuba untuk mengekalkan hubungan diplomatik dengan pelbagai negara seperti Amerika Syarikat dan Russia dengan membahagi-bahagikan perolehan pesawat pejuang mereka

Keputusan TUDM menggunakan pesawat pejuang daripada dua blok yang berlainan juga tidak pelik, kerana banyak tentera udara negara lain turut mempraktikkan apa yang dilakukan oleh tentera udara negara kita iaitu menggabungkan pesawat Russia dan Barat dalam angkatan udara mereka.

Banyak negara lain mempraktikkanya selain daripada Malaysia dan TUDM.

Kita tidak perlu melihat dengan jauh kerana negara jiran terdekat itu iaitu Indonesia turut menggunakan pesawat pejuang daripada dua blok, iaitu Sukhoi Su-30 yang diperbuat oleh Russia dan F-16 daripada Amerika Syarikat.

Tentera Indonesia bukan sahaja menggunakan pesawat-pesawat pejuang daripada dua blok, tetapi tentera daratnya juga menggabungkan sistem persenjataan daripada Russia dan Amerika Syarikat serta beberapa negara lain.

Selain Indonesia, Tentera Udara India turut menggabungkan pesawat pejuang daripada Russia, Su-30MKI, MiG-21 dan lain-lain dengan pesawat-pesawat pejuang Barat yang lain seperti Rafale dan Mirage.

Dan kini, Amerika Syarikat pula sedang mempromosi pesawat pejuang versi terbarunya, F-15 untuk menarik India untuk membelinya.

India dan Indonesia membuktikan bahawa TUDM bukanlah sebuah tentera udara yang pelik di dunia sebagaimana didakwa oleh penulis majalah “Forbes” itu, hanya kerana ia menggabungkan pesawat-pesawat pejuang daripada Russia dan Amerika Syarikat serta negara-negara Barat.

TUDM
Gambar kredit TUDM

 

India dan Indonesia adalah contoh terdekat, tetapi di seluruh dunia banyak lagi contoh-contoh negara yang “mengambil laluan yang sama” seperti TUDM dalam menggabung pesawat pejuang daripada dua blok yang dahulunya bertelagah daripada segi ideology.

Tentera Udara Jerman pada suatu ketika turut menggunakan MiG-29 Fulcrum yang diwarisinya daripada Jerman Timur.

Tetapi banyak negara-negara yang pernah menganggotai Warsaw Pact juga telah menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang buatan Russia dan menggantikannya dengan pesawat-pesawat pejuang Barat.

Sebenarnya, bagi tentera udara Malaysia, India dan Indonesia serta banyak lagi tentera udara negara-negara yang memilih “laluan yang sama” iaitu menggabungkan pesawat pejuang daripada dua blok kuasa, mereka amat bertuah.

Bertuah kerana memiliki pesawat pejuang daripada dua blok kuasa yang berlainan telah membolehkan mereka menguasai dua jenis teknologi yang berlainan, iaitu teknologi Russia dan teknologi Amerika Syarikat dan Barat.

We are getting the best of both worlds, tetapi kelebihan itu sebenarnya datang dengan kos.

Salah satu kos yang harus ditempuh oleh negara-negara yang memilih laluan “berliku” dengan menggabungkan pesawat pejuang daripada pelbagai negara adalah urusan logistik dan penyelenggaran pesawat yang “memeningkan kepala.”

Mungkin itu yang sebab utama mengapa bekas negara-negara Warsaw Pact mula menamatkan khidmat pesawat pejuang legasi buatan Russia dan menggantikannya dengan pesawat buatan negara-negara Barat.

Apa yang diperkatakan oleh penulis “Forbes” itu ada kebenaran, terutamanya bagi sebuah tentera udara yang kecil seperti TUDM dengan bajet yang terhad, ia sepatutnyanya streamline jenis-jenis pesawat pejuang yang digunakannya kepada satu atau dua sumber bagi mengurangkan kos penyelenggaran pesawat.

Lebih-lebih kita tahu (open to debate sama ada ia benar atau tidak) bahawa harga bagi pesawat-pesawat pejuang buatan Russia adalah lebih rendah ketika mula membelinya berbanding pesawat pejuang negara Barat, tetapi kos untuk menyelenggaranya dikatakan amat tinggi.

Terdapat juga dakwaan mengatakan untuk mendapatkan alat-alat ganti pesawat-pesawat pejuang Russia ini “memakan masa yang panjang” serta melibatkan proses yang amat kompleks.

TUDM
Pesawat F/A-18D Hornet TUDM .

 

 DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...