Trump Bakal Cadang Penjualan Senjata Bernilai US$100 Billion (RM440 Bilion) Pada Arab Saudi
Bagaimanapun pakej penjualan senjata yang bakal ditawarkan oleh Trump kepada Arab Saudi itu berkemungkinan besar tidak akan melibatkan cadangan pemilikan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 Lightning II yang amat diidam-idamkan oleh Riyadh.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjejakkan kaki beliau di bumi Arab Saudi pada Mei ini, beliau dijangka akan menawarkan pakej penjualan senjata bernilai US$100 billion (RM440 billion) kepada negara yang kaya-raya dengan sumber asli, minyak dan gas.
Bagaimanapun pakej penjualan senjata yang bakal ditawarkan oleh Trump kepada Arab Saudi itu berkemungkinan besar tidak akan melibatkan cadangan pemilikan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 Lightning II yang amat diidam-idamkan oleh Riyadh.
Trump dijangka akan meneruskan rundingan dengan Arab Saudi tentang kemungkinan negara Arab itu diberikan kebenaran untuk membeli pesawat pejuang F-35 buatan syarikat Lockheed Martin.
Riyadh sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita itu telah menyatakan hasratnya kepada Amerika Syarikat tentang niatnya untuk memiliki pesawat pejuang canggih itu, tetapi sumber-sumber menyatakan bahawa peluang untuk kedua-dua negara memuktamadkan perjanjian melibatkan penjualan pesawat pejuang F-35 ketika kunjungan Trump adalah amat tipis.
Arab Saudi nampaknya akan terus bermimpi tentang pemilikan pesawat pejuang generasi kelima itu.
Antara sebab utama mengapa Washington masih enggan menjual pesawat pejuang F-35 kepada Arab Saudi adalah di atas desakan keras daripada Israel yang mahukan Amerika Syarikat menolak penjualan pesawat pejuang itu bagi mengekalkan Kelebihan Kualitatif Ketenteraan (Qualitative Military Edge – QME) berbanding negara-negara jiran Arabnya.
Sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa, Reuters, sebahagian besar daripada senjata yang bakal ditawarkan kepada Arab Saudi adalah sama seperti yang ditawarkan oleh Trump ketika menjadi Presiden Amerika Syarikat pada penggal yang pertama.

Pakej penjualan senjata yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu hadir selepas pentadbiran bekas Presiden Joe Biden gagal memuktamadkan perjanjian pertahanan dengan Riyadh sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menormalisasikan hubungan Arab Saudi dengan Israel.
Cadangan daripada pentadbiran Biden itu menawarkan akses kepada senjata Amerika Syarikat yang lebih canggih sebagai balasan kepada menghentikan pembelian senjata dari China serta menghadkan pelaburan Beijing di negara tersebut.
Syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin Corp dijangka akan membekalkan pelbagai sistem senjata canggih termasuk pesawat pengangkut C-130, menurut dua sumber.
Salah satu sumber turut memaklumkan bahawa Lockheed Martin juga akan membekalkan peluru berpandu dan sistem radar.
Syarikat RTX Corp, yang sebelum ini dikenali sebagai Raytheon Technologies, turut dijangka memainkan peranan penting dalam pakej pertahanan tersebut, yang turut melibatkan syarikat-syarikat pertahanan utama lain dari Amerika Syarikat seperti Boeing Co, Northrop Grumman Corp dan General Atomics, menurut empat lagi sumber.
Kesemua enam sumber yang dipetik enggan dinamakan kerana sensitiviti perkara ini.
Syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin Corp dijangka akan membekalkan pelbagai sistem senjata canggih termasuk pesawat pengangkut C-130, menurut dua sumber.
Salah satu sumber turut memberitahu Reuters bahawa Lockheed Martin juga akan membekalkan peluru berpandu dan sistem radar dibawah pakej penjualan senjata yang bakal diumumkan oleh Trump apabila berada di Arab Saudi itu.
Syarikat RTX Corp, yang sebelum ini dikenali sebagai Raytheon Technologies, juga dijangka memainkan peranan penting dalam pakej tersebut, dengan bekalan tambahan daripada syarikat-syarikat pertahanan utama Amerika Syarikat lain seperti Boeing Co, Northrop Grumman Corp dan General Atomics, menurut empat sumber lain.
Amerika Syarikat sememangnya telah lama menjadi pembekal utama senjata kepada Arab Saudi.
Pada tahun 2017, dalam penggal pertamanya sebagai Presiden Amerika Syarikat Presiden Donald Trump telah mencadangkan penjualan senjata kepada kerajaan Arab Saudi bernilai kira-kira USD$110 bilion (RM172 bilion).
Keinginan Arab Saudi untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II didorong oleh gabungan faktor strategik, persaingan serantau, serta usaha memodenkan keupayaan ketenteraan negara itu.

Sejak sekian lama, Arab Saudi melihat pemilikan F-35 sebagai langkah penting untuk mencapai keseimbangan kuasa dengan Israel yang telah pun mengoperasikan pesawat F-35I “Adir”, selain meningkatkan kelebihan ketenteraan berbanding Iran, musuh utamanya di rantau tersebut.
Memiliki F-35 juga akan memperkukuh kedudukan pertahanan Arab Saudi, membolehkan Riyadh melaksanakan serangan tepat jauh ke dalam wilayah musuh dengan keupayaan halimunan yang sukar dikesan, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai kuasa ketenteraan utama di kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Dalam masa yang sama, Arab Saudi melihat F-35 sebagai pelaburan strategik untuk memastikan kekuasaan udara dalam tempoh 30 tahun akan datang, memandangkan konflik masa depan akan banyak bergantung kepada keupayaan operasi bersepadu, serangan jarak jauh, dan teknologi siluman.
Usaha Arab Saudi mendapatkan F-35 juga dilihat sebagai isyarat untuk memperkukuhkan hubungan pertahanannya dengan Amerika Syarikat, di samping menguji dasar Washington yang berikrar untuk mengekalkan Kelebihan Ketenteraan Kualitatif (QME) Israel di Timur Tengah.
Bagi kepimpinan Arab Saudi, khususnya Putera Mahkota Mohammed bin Salman, memiliki F-35 juga dianggap sebagai lambang prestij dan kemajuan ketenteraan, sejajar dengan matlamat negara itu di bawah Wawasan 2030 untuk memodenkan angkatan tenteranya.
Namun begitu, permintaan Arab Saudi terhadap F-35 kekal sensitif dan rumit disebabkan komitmen Amerika Syarikat untuk memastikan Israel mengekalkan kelebihan ketenteraan di rantau itu.

Selain itu, faktor rekod hak asasi manusia Arab Saudi, penglibatan dalam konflik Yaman serta hubungan strategiknya dengan China dan Russia turut menjadi pertimbangan utama yang memperlahankan proses kelulusan permintaan tersebut.
Penentangan kuat Israel terhadap usaha Arab Saudi untuk memperoleh pesawat pejuang F-35 Lightning II didorong oleh gabungan faktor keselamatan, sejarah, percaturan kuasa serantau, serta jaminan undang-undang untuk mengekalkan kelebihan ketenteraannya.
Di bawah undang-undang Amerika Syarikat, terutamanya menerusi kerangka Perjanjian Camp David 1979 dan perundangan susulan, Washington wajib untuk memastikan Israel mengekalkan Kelebihan Ketenteraan Kualitatif (QME) — iaitu Israel mesti sentiasa memiliki keupayaan ketenteraan yang lebih unggul berbanding mana-mana kuasa lain di Timur Tengah.
Daripada sudut pandangan Israel, sekiranya Arab Saudi dibenarkan memiliki F-35 — pesawat pejuang generasi kelima paling canggih di dunia — ia berisiko mengurangkan jurang kelebihan strategik Israel, walaupun Arab Saudi kini dilihat sebagai sekutu tidak rasmi Amerika Syarikat.
Walaupun terdapat kerjasama tidak rasmi antara Israel dan Arab Saudi dalam menghadapi ancaman bersama seperti Iran, sejarah permusuhan antara kedua-dua negara masih meninggalkan kesan mendalam terhadap hubungan kedua-dua negara.
Israel kekal berwaspada terhadap kemungkinan perubahan kepimpinan di Arab Saudi atau ketidakstabilan serantau yang boleh menyebabkan senjata canggih itu suatu hari nanti digunakan terhadap Israel.

