Walau Siap 2024, Kapal LCS Pertama Perlu 22-24 Bulan Lagi Penilaian Lanjut
Kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia dijadual siap dibina pada tahun depan, tetapi ia memerlukan kira-kira dua tahun lagi untuk kerja-kerja penilaian selanjutnya sebelum kapal perang termoden negara itu boleh ditauliahkan ke dalam TLDM,
(DEFENCE SECURITY ASIA) –- Walaupun kapal Littoral Combat Ship (LCS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia dijadual siap pada tahun depan, tetapi ia memerlukan kira-kira dua tahun untuk kerja-kerja penilaian lanjut sebelum kapal perang termoden negara itu ditauliahkan ke dalam TLDM, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Maka paling awal kapal LCS pertama itu menjadi milik TLDM secara rasmi adalah pada tahun 2027.
Menteri Pertahanan sebagaimana ketika menjawab soalan tambahan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata, tempoh di antara 22 hingga 24 bulan selepas kapal itu siap dibina diperlukan untuk kerja-kerja penilaian selanjutnya.
Tempoh penilaian hampir dua tahun itu diperlukan sebelum kapal perang tersebut dibenarkan beroperasi sepenuhnya.
Beliau yang juga dikenali dengan panggilan “Tok Mat” berkata, tempoh penilaian itu dua fasa iaitu di pelabuhan (harbour trial) dan lautan (sea-trial).
Ujian penilaian di pelabuhan adalah untuk menguji kemampuan kapal perang yang baru selesai dibina itu terapung dan juga berlayar.
“Selepas ujian pelabuhan, kita perlu pula bawa uji kapal LCS ini untuk keluar ujian pengoperasian di laut, ia ambil masa 22 hingga 24 bulan dan barulah kapal akan ditauliahkan.
“Jadi kena ingat, bila kita kata siap itu, maksudnya siap dalam pembinaan di dok kering (dry dock), ujian pelabuhan dan laut,” katanya .
Mohamad Hasan berkata, kapal LCS yang pertama iitu kini sedang dalam fasa pemasangan alatan pertahanan, persenjataan dan elektronik.
“Saya sendiri melihat dalam gudang Boustead Naval Shipyard. Kapal pertama, enjin sudah ada dalam badan, kotak gear, gearshaft (aci gear) dan propeler pun dah ada.
“Cuma tinggal pemasangan teras sahaja. Yang lain, kapal ini dibina mengikut blok, semua blok dah dipasang, cuma blok teras tersebut memang dikosongkan untuk memasang blok elektronik kerana kita tidak boleh pasang peralatan itu dulu,” katanya.
Menjelaskan tentang perolehan sistem persenjataan utama bagi kapal LCS itu, kementerian menurut beliau memperolehi Surface to Surface Missile secara terus dengan Original Equipment Manufacturer (Pengeluar Peralatan Tulen) (OEM).
Setakat ini, katanya status perolehan ini berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan, manakala bagi perolehan Surface to Air Missile, ia masih belum dilaksanakan dan bergantung kepada hala tuju perolehan LCS. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com