Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tindakan PM India Tunjuk Pelancar Peluru Berpandu S-400 Dalam Sidang Medianya “Memakan Diri” ??

Bagi penganalisis dan pemerhati pertahanan serantau,  tindakan Modi menggunakan pelancar peluru berpandu S-400 sebagai latarbelakang sidang medianya itu diibaratkan telah “memakan diri” kerana kegagalan tentera India menunjukkan sistem radar S-400 bersama-sama pelancar peluru berpandunya.

0 2,067
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Pakistan telah mengeluarkan video menunjukkan sebuah pesawat pejuang JF-17 “Thunder” miliknya yang dilengkapi dengan dua butir peluru berpandu hypersonik CM-400AKG berlepas daripada pangkalan udaranya untuk memusnahkan rejimen sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” India di Pangkalan Udara Adampur di Punjab.
Tentera Pakistan dalam taklimat hariannya sebelum itu mendakwa ia telah berjaya memusnahkan  radar sistem pertahanan udara S-400 India di Adampur itu menggunakan peluru berpandu hypersonik lancaran udara yang dibekalkan oleh China itu.
India menafikan dakwaan Pakistan tentang kemusnahan sistem pertahanan udara S-400 itu Adampur, malah selepas gencatan senjata dimeterai, Perdana Menteri India Narendra Modi telah melakukan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Adampur itu dalam cubaannya untuk menangkis dakwaan Islamabad tentang kemusnahan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia miliknya itu.
Dalam sidang media di Pangkalan Udara Adampur itu yang dipancarkan ke seluruh negara, Perdana Menteri India itu telah bercakap kepada rakyat India berkenaan kejayaan angkatan tentera negara itu dalam konflik bersenjatanya dengan Pakistan.
Menggunakan pelancar peluru berpandu sistem pertahanan udara S-400 sebagai latar belakang sidang medianya itu, Modi secara tidak langsung menidakkan dakwaan Pakistan bahawa tenteranya telah berjaya memusnahkan rejimen sistem sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 itu.
Mesej yang mungkin cuba disampaikan oleh Perdana Menteri India apabia ia menggunakan pelancar peluru berpandu S-400 sebagai latarbelakang sidang medianya itu adalah: “Anda (Pakistan) mendakwa telah berjaya memusnahkan S-400 kami di Adampur, tetapi lihatlah dibelakang saya (pelancar S-400).”
Bagaimanapun bagi penganalisis dan pemerhati pertahanan serantau,  tindakan Modi menggunakan pelancar peluru berpandu S-400 sebagai latarbelakang sidang medianya itu diibaratkan telah “memakan diri” kerana kegagalan tentera India menunjukkan sistem radar S-400 bersama-sama pelancar peluru berpandunya.
Modi
Perdana Menteri India Narendra Modi ketika mengadakan sidang media baru-baru ini dengan pelancar peluru berpandu S-400 di latarbelakangnya.
Dalam satu hantaran di platform X, pakar Asia Selatan berpangkalan di Amerika Syarikat, Christopher Clary menyatakan bahawa walaupun masih tiada bukti kukuh mengenai kejayaan Pakistan memusnahkan sistem pertahanan udara S-400 India, namun Pakistan “sekurang-kurangnya berkemungkinan besar, telah menyasarkan pusat kawalan atau sistem radar S-400 radar berbanding pelancarnya.”
Penganalisis pertahanan Pakistan mendakwa alasan logikal mengapa tentera India hanya menunjukkan sistem pelancar S-400 pada sidang media Modi itu dan bukan radar sistem pertahanan udara itu adalah kerana radar S-400 telah dimusnahkan oleh peluru berpandu hypersonik CM-400AKG dilancar oleh pesawat pejuang JF-17 “Thunder” Tentera Udara Pakistan.
Bagi Pakistan, tindakan Perdana Menteri India menggunakan pelancar S-400 dan bukan sistem radarnya sebagai latar belakang sidang medianya di Pangkalan Adampur itu secara tidak langsung adalah pengakuan bahawa Pakistan sememangnya telah berjaya memusnahkan sistem radar S-400 yang ditempatkan di Pangkalan Udara Adampur itu.
Dalam taklimat media 11 Mei lalu, Timbalan Ketua Staf Tentera Udara Pakistan, Air Vice Marshal Aurangzeb Ahmad mendedahkan bahawa pihaknya telah menjejak sistem pertahanan udara S-400 India menerusi imej-imej satelit “sejak sebelum konflik tercetus.”
Beliau menjelaskan bahawa menyerang sistem S-400 sebenarnya merupakan “bahagian yang lebih mudah” berbanding cabaran untuk “mengenal pasti kedudukannya di darat.”
Dalam sidang media itu, beliau turut mempersembahkan imej satelit yang menunjukkan Tentera Udara Pakistan telah berjaya “mengunci sasaran” ke atas radar utama sistem pertahanan udara buatan Russia tersebut yang dikenali sebagai “cheeseboard radar.”
Adampur
Imej satelit kemusnahan di Pangkalan Udara Adampur, India yang menempatkan sistem pertahanan udara S-400.
Dalam satu kenyataan, Tentera Pakistan mendakwa ia telah berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara canggih S-400 milik India dalam satu serangan udara yang dilancarkan di Adampur, daerah Jalandhar, Punjab, India.
Menurut Inter-Services Public Relations (ISPR), sayap media tentera Pakistan, serangan itu dilaksanakan menggunakan peluru berpandu hypersonik yang dilancarkan daripada pesawat pejuang JF-17 “Thunder”.
Tambah kenyataan itu, peluru berpandu berpanduan tepat yang digunakan telah berjaya meneutralkan sepenuhnya sistem pertahanan udara S-400 yang terkenal dengan keupayaannya mengesan dan menembak sasaran dari jarak jauh.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa sistem S-400 “Triumf” itu merupakan antara sistem peluru berpandu darat ke udara paling canggih yang dimiliki oleh India.
Sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 Triumf yang dioperasikan oleh India merupakan antara sistem paling berkuasa dan moden di dunia, menjadikan ia tunjang utama kepada keupayaan pertahanan ruang udara negara itu sejak ia mula diterima daripada Russia bermula tahun 2021.
India telah menandatangani perjanjian bernilai AS$5.43 bilion (RM25 bilion) dengan Rusia pada tahun 2018 bagi pembelian lima rejimen lengkap S-400, dan penghantarannya dilakukan secara berperingkat meskipun berdepan tekanan dari Amerika Syarikat di bawah Akta CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act).
S-400 India kini ditempatkan di beberapa lokasi strategik, termasuk berhampiran sempadan Pakistan serta kawasan sensitif di timur laut yang bersempadan dengan China, bagi menangkis sebarang ancaman udara jarak jauh seperti peluru berpandu ballistik, peluru berpandu kruis, pesawat pejuang, dan dron berkelajuan tinggi.
S-400
Radar sistem pertahanan udara S-400 
Antara kekuatan utama sistem S-400 ini ialah kebolehannya untuk menjejak sehingga 300 sasaran serentak dalam pelbagai lapisan altitud dan kelajuan, dengan radar berkuasa tinggi seperti radar 91N6E Big Bird (jarak pengesanan 600 km) dan radar kawalan tembakan 92N6E Grave Stone yang mampu mengendalikan misi tembakan secara tepat.
Sistem ini menggunakan pelbagai jenis peluru berpandu dengan pelbagai jarak capaian, termasuk 40N6E (jarak maksimum 400 km), 48N6DM (250 km), 9M96E2 (120 km), dan 9M96E (40 km), membolehkan ia memberikan perlindungan pertahanan berlapis terhadap pelbagai ancaman udara pada altitud dan jarak berbeza.
Setiap bateri S-400 dilengkapi dengan sehingga 12 pelancar peluru berpandu, pusat kawalan tempur, unit radar, dan kenderaan sokongan lain, serta boleh dioperasikan secara berdikari atau digabungkan dalam satu rejimen bagi perlindungan wilayah yang lebih luas.
S-400 juga mempunyai kelebihan dalam peperangan elektronik (electronic warfare) kerana kemampuannya untuk beroperasi dalam persekitaran elektromagnetik kompleks dan keupayaan untuk mengganggu sistem panduan peluru berpandu musuh.
JF-17
JF-17 “Thunder” dengan dua peluru berpandu hypersonik CM-400AKG hypersonic yang digunakan untuk menyerang sistem radar S-400 India.
JF-17
Namun begitu, meskipun memiliki teknologi yang canggih, terdapat laporan yang mempersoalkan keberkesanan sistem ini dalam persekitaran pertempuran sebenar, termasuk dakwaan oleh pihak Pakistan baru-baru ini yang menyatakan sistem S-400 India telah dikenal pasti dan mungkin telah disasarkan oleh serangan peluru berpandu.
Meskipun dakwaan tersebut masih belum disahkan, ia menunjukkan betapa pentingnya kerahsiaan, mobiliti, dan perlindungan tambahan bagi sistem pertahanan seperti S-400 dalam konflik moden yang turut melibatkan peperangan elektronik, serangan peluru berpandu presisi tinggi, dan penggunaan imejan satelit secara meluas.
India kekal yakin bahawa S-400 akan memainkan peranan penting dalam strategi pertahanan udaranya untuk tempoh beberapa dekad akan datang, terutama dalam menghadapi ketegangan serantau dengan dua kuasa nuklear berjiran—Pakistan dan China.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.