Tentera Darat Amerika Syarikat Namakan Peluru Berpandu Hypersonik Jarak Jauhnya “Dark Eagle”
Peluru berpandu hypersonik jarak jauh terbarunya itu berfungsi sebagai senjata reaksi-pantas (quick-response weapon), sejenis senjata penyerang strategik yang mempunyai keupayaan untuk membedil sasaran sejauh 2,700km dengan tepat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Darat Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia menamakan peluru berpandu hypersonik jarak jauhnya yang baru sebagai “Dark Eagle”.
Peluru berpandu hypersonik jarak jauh terbarunya itu berfungsi sebagai senjata reaksi-pantas (quick-response weapon), sejenis senjata penyerang strategik yang mempunyai keupayaan untuk membedil sasaran sejauh 2,700km dengan tepat.
“Nama itu (Dark Eagle) diberikan sebagai penghormatan kepada burung helang, pemburu ulung yang terkenal dengan kepantasan, kecekapan mengendap dan kelincahannya — sejajar dengan gabungan kelajuan, ketepatan, kebolehan manuver, ketahanan serta kepelbagaian fungsi dimiliki oleh LRHW (Long Range Hypersonic Weapon),” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat.
Menuurt Tentera Darat Amerika Syarikat, ia memilik nama “Dark” yang bermaksud gelap kerana senajata itu mempunyai kemampuan untuk memusnahkan serangan musuh, sistem komunikasi dan sasaran jarak jauh mereka.
“Dark Eagle membangkitkan gambaran tentang kekuatan dan keteguhan negara kita serta tenteranya, sekali gus melambangkan semangat dan keupayaan maut usaha pembangunan senjata hipersonik oleh Tentera Darat dan Tentera Laut,” menurut kenyataan lagi.
Peluru berpandu hypersonik jarak jauh “Dark Eagle” dimana sistem pelancarnya menggunakan trak boleh meluncur selaju 6,115 km sejam untuk sejauh 2,700km.
Dilaporkan peluru berpandu hypersonik jarak jauh itu boleh tiba di kawasan paling atas atmosfera dan “berada” di kawasan atmosfera yang jauh daripada sistem pertahanan udara sehinggalah ia bersedia untuk membedil sasarannya, yang pada masa itu sudah terlambat untuk musuh bertindak, sebagaimana laporan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat di dalam Perkhidmatan Penyelidikan Kongres pada Mac 2023.

Semalam, sebuah peluru berpandu yang tidak didedahkan identitinya telah dikesan meluncur pantas ke langit dalam satu ujian oleh Jabatan Pertahanan dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral, sekali gus mendorong pemerhati ruang angkasa membuat kesimpulan bahawa ia berkemungkinan satu lagi pelancaran peluru berpandu hypersonik Dark Eagle.
Pelancaran rahsia yang berlaku pada waktu pagi itu, yang berlepas dari Cape Canaveral menuju ke Lautan Atlantik, tidak diumumkan secara terbuka.
Namun beberapa notis navigasi yang luar biasa telah dikeluarkan dalam beberapa hari sebelum ini, sekaligus memberikan petunjuk bahawa ujian pelancaran Dark Eagle mungkin telah dijalankan.
“Ia dilancarkan daripada pelancar sebelum dinyalakan, dan kemudian meluncur naik — jauh, jauh lebih pantas berbanding mana-mana pelancaran Falcon 9 yang biasa kita lihat di Cape,” kata jurugambar ruang angkasa Cape Canaveral, Jerry Pike.
“Ia meninggalkan jejak asap pepejal yang tebal ketika naik ke udara,” tambah Pike, yang meletakkan kameranya di pantai Jetty Park sambil menunggu kemungkinan pelancaran, dengan lensa dihalakan ke arah utara.
Dalam satu kenyataan kepada FLORIDA TODAY, jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengesahkan bahawa satu ujian yang tidak didedahkan butirannya telah dijalankan.

“Satu pasukan gabungan yang terdiri daripada pihak kerajaan, akademik dan rakan industri telah melaksanakan ujian tersebut bagi pihak Jabatan Pertahanan dari sebuah tapak ujian di Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral. Kami kini sedang menilai keputusan ujian berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Tiada maklumat lanjut didedahkan, dan kenyataan itu juga tidak menyebut sebarang pelancaran peluru berpandu, teknologi peluru berpandu hypersonik mahupun program Dark Eagle.
Pada pertengahan Disember tahun lalu, Tentera Darat dan Tentera Laut Amerika Syarikat telah menjalankan ujian senjata hypersonik jarak jauh tidak diumumkan dari Kompleks Pelancaran 46 di Stesen Angkatan Angkasa tersebut, dengan peluru berpandu berkenaan mampu bergerak lebih lima kali ganda lebih laju daripada kelajuan bunyi.
Dark Eagle merupakan nama yang diberikan kepada sistem Senjata Hyersonik Jarak Jauh (LRHW) yang sedang dibangunkan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempercepatkan keupayaan serangan peluru berpandu hypersonik negara itu di tengah-tengah persaingan dengan China dan Russia.
Sistem peluru berpandu hypersonik Dark Eagle ini merangkumi pelancar mudah alih darat, kenderaan sokongan, sistem kawalan dan arahan, serta Common Hypersonic Glide Body (C-HGB) — iaitu kenderaan gelungsur hypersonik yang dibangunkan secara bersama dengan Tentera Laut Amerika Syarikat di bawah program lebih besar dikenali sebagai Conventional Prompt Strike (CPS).

Peluru berpandu hypersonik Dark Eagle direka untuk dilancarkan menggunakan roket pendorong yang membawa muatan ke kelajuan hipersonik — iaitu lebih lima kali ganda kelajuan bunyi (Mach 5) — sebelum kenderaan gelungsur melepaskan diri dan melakukan manuver pada kelajuan tinggi di dalam atmosfera untuk mengenai sasaran dengan ketepatan tinggi dan memberi amaran minimum kepada pihak lawan.
Tentera Darat Amerika Syarikat merancang untuk menempatkan bateri Dark Eagle pertama kepada unit tempur yang tergolong dalam Multi-Domain Task Forces (MDTFs) yang akan beroperasi di rantau Indo-Pasifik dan Eropah.
LRHW atau Dark Eagle ini direka untuk memusnahkan sasaran bernilai tinggi dan sensitif masa seperti pusat pertahanan udara, pusat kawalan dan logistik utama di dalam zon yang dipertikaikan, sekali gus menumpaskan sistem anti-capaian dan penafian kawasan (A2/AD) yang banyak dibangunkan oleh China dan Rusia.
Tentera Darat dan Tentera Laut Amerika Syarikat menggunakan peluru berpandu dan kenderaan gelungsur yang sama bagi tujuan kos efektif dan meningkatkan interoperabiliti, namun setiap cabang akan mengadaptasi platform pelancaran berbeza — Tentera Darat dengan pelancar trak darat, manakala Tentera Laut melalui kapal dan kapal selam.

Beberapa perkembangan penting program ini termasuk:
-
Ujian penerbangan berjaya untuk komponen seperti C-HGB, walaupun terdapat beberapa kelewatan ujian akibat masalah pendorong.
-
Penyerahan bateri prototaip Dark Eagle pertama kepada Tentera Darat pada tahun 2023, walaupun tanpa peluru berpandu berfungsi pada peringkat awal.
-
Perancangan untuk ujian tembakan operasional penuh sepanjang tahun 2024 hingga 2025.
Kewujudan Dark Eagle merupakan sebahagian daripada inisiatif pemodenan hypersonik Amerika yang lebih luas, sejajar dengan program Tentera Udara seperti Air-Launched Rapid Response Weapon (ARRW) dan sistem Conventional Prompt Strike Tentera Laut untuk kapal selam.
Secara strategik, Dark Eagle dilihat sebagai alat pencegahan utama bertujuan untuk mengganggu perancangan musuh, memaksa pihak lawan mempertahankan banyak titik serangan merentasi kawasan luas, dan memulihkan dominasi konvensional di kawasan di mana kehadiran pangkalan hadapan dan kapal pengangkut Amerika kini semakin terancam.

Walaupun senjata hypersonik seperti Dark Eagle menawarkan kelebihan dari segi kelajuan serangan dan kebolehan bertahan, ia tetap berdepan cabaran besar dalam aspek kos, pengeluaran berskala industri, infrastruktur ujian, serta pembangunan rangkaian kawalan dan arahan yang mampu beroperasi pada kelajuan ekstrem.
Setakat tahun 2025, Amerika Syarikat melihat kejayaan operasi Dark Eagle sebagai satu keutamaan keselamatan negara untuk mengekalkan kelebihan ketenteraan terhadap pesaing seperti China dengan program DF-17, serta Russia dengan program Avangard dan Tsirkon mereka.
— DEFENCE SECURITY ASIA