Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Laut ASEAN, Russia “Bertembung” Dalam ARNEX 2021

Adakah latihan yang julung-julung kalinya diadakan di antara tentera laut negara-negara ASEAN dengan tentera laut Russia menunjukkan kita bakal melihat penglibatan lebih aktif Russia di dalam pergolakan di Laut China Selatan selepas ini?

0 8,651

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali dalam sejarah, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tentera laut negara-negara ASEAN telah terlibat  dalam satu latihan di laut dengan Tentera Laut Russia dinamakan Eksesais ASEAN-Russia Naval Exercise (ARNEX) 2021.

ARNEX 2021 itu dilakukan ketika pergolakan di Laut China Selatan sedang memuncak, berlangsung di sekitar perairan Belawan dan Sabang, Indonesia daripada 28 Nov hingga 4 Dis 21.

TLDM dalam satu kenyataan menerusi akaun media sosialnya berkata, latihan berkonsepkan joint actions to ensure the safety of maritime economic activity and civil navigations, latihan multilateral ini telah menggariskan objektif untuk memperkasakan kesefahaman dan meningkatkan interoperability antara angkatan laut di rantau ini.

Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) telah diberikan penghormatan selaku penganjur bagi siri eksesais yang berlangsung pada edisi ini.

 Selain penglibatan aset angkatan laut Rusia, gabungan dari tujuh angkatan laut negara ASEAN yang terdiri dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Myanmar, Singapura, Vietnam dan Thailand telah memberikan komitmen yang jitu menerusi penglibatan secara langsung aset masing-masing.

ARNEX
kredit TLDM

 

Manakala sebanyak tiga angkatan laut iaitu Laos, Kemboja dan Filipina menterjemahkan komitmen masing-masing menerusi penglibatan sebagai pemerhati secara maya.

Secara keseluruhan sebanyak 8 buah kapal dari pelbagai kelas dan 4 aset udara telah terlibat dalam menjayakan kelangsungan eksesais ini.

Penglibatan TLDM adalah menerusi KD LEKIU yang memberikan nilai tambah dan variasi kepada ketumbukan sedia ada.

Aset negara lain ialah kapal pembinasa Admiral Panteleyev milik Rusia, KRI I Gusti Ngurah Rai (TNI-AL), RSS Vigour (Singapura), KDB Daruttaqwa (Brunei), HTMS Kraburi (Thailand), UMS Kyan Sittha (Myanmar) dan VPNS Ly Thai To (Vietnam).

Eksesais ini juga telah menguji keupayaan kesemua angkatan laut yang terlibat dalam dimensi peperangan konvensional.

ARNEX
kredit TLDM

 

Siri latihan di laut yang melibatkan kapal dan aset udara telah menguji keupayaan interoperability kesemua angkatan laut yang terlibat dalam dimensi peperangan konvensional yang antara lain melibatkan latihan peperangan permukaan, manuver taktikal, mencari dan menyelamat, pendaratan helikopter dan komunikasi.

Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kesemua angkatan laut yang terlibat dalam melaksanakan latihan berpandukan SOP kawalan penularan pandemik yang telah ditetapkan.

ARNEX
kredit TLDM

 

 Secara keseluruhan ARNEX-21 dilihat telah memperkasakan tahap kesefahaman dan menyemarakkan jalinan kerjasama pertahanan kesemua angkatan laut negara terlibat selain dapat memelihara tahap keselamatan dan kestabilan maritim di rantau ini.

TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa. 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...