Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Pekan Takbai, Selatan Thai Digegar Letupan, Tembakan

Takbai merupakan lokasi yang simbolik kepada penduduk Islam di selatan Thailand kerana ia adalah dimana Peristiwa Berdarah Tak Bai berlaku pada 24 Oktober 2004 dimana 78 orang penduduk Islam terbunuh.

0 1,473

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sempadan Malaysia-Thailand digegarkan dengan beberapa siri letupan bom dan kejadian berbalas tembakan di Pekan Tak Bai, Narathiwat lewat malam semalam apabila beberapa individu tidak dikenali dipercayai menyerang pangkalan polis marin Thailand di pekan berhampiran sempadan Malaysia itu  menyebabkan letupan kuat dan kebakaran.

Laporan daripada media Thailand mengatakan bahawa tiga polis marin Thailand cedera dalam kejadian itu.

Bunyi kuat letupan bom dan tembakan senjata automatik daripada kedua-dua pihak jelas kedengaran dari arah Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan yang terletak lebih kurang 400 meter seberang Pekan Tak Bai.

Orang ramai yang curiga dengan bunyi letupan yang kuat dilihat telah merakam kejadian yang menunjukkan situasi tegang di Tak Bai dengan api menjulang tinggi dan beberapa lelaki bertindak melepaskan tembakan.

Kejadian tersebut telah meraih perhatian orang ramai terutama sekali mereka yang tinggal berdekatan dengan Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Bukan itu sahaja, para netizen turut menzahirkan kebimbangan dengan situasi tegang tersebut.

Malah, mereka yang berada berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand dilihat berjaga malam kerana bimbang dengan bunyi tembakan yang kedengaran.

Takbai

Rata-rata netizen juga berharap situasi tegang itu akan segera berakhir.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun yang dipetik oleh akhbar Harian Metro mengesahkan kejadian berlaku di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Tumpat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa Thailand.

Takbai merupakan lokasi yang simbolik kepada penduduk Islam di selatan Thailand kerana Peristiwa Berdarah Tak Bai yang berlaku pada 24 Oktober 2004.

Takbai

Ia merupakan peristiwa menyedihkan dan kontroversi sehingga sekarang di mana 78 orang penduduk Islam kehilangan nyawa semasa dalam tahanan tentera Thailand, dalam bulan Ramadan.

Bagaimanapun kerajaan Thailand kemudiannya memutuskan bahawa tidak terdapat sesiapapun yang bersalah dalam kejadian tersebut. — DSA

Comments
Loading...