Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Maklumat Rahsia, Kritikal Kapal Selam Taiwan “Dibocorkan” Pada China?

Pada 28 Sept yang lepas, Taiwan telah melancarkan kapal selam pertama diesel-elektrik dibinanya sendiri, dalam satu detik bersejarah bagi pulau itu yang terpaksa berhadapan dengan tindak-tanduk Beijing yang mahu menjadikan pulau itu sebahagian daripada wilayah China.

0 1,296

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa hari selepas melancarkan kapal selam buatan sendiri yang dinamakan “Hakun”, Taiwan kini terpaksa berdepan dengan dakwaan bahawa maklumat-maklumat kritikal dan rahsia berkenaan kapal selam diesel-elektrik buatan tempatan itu telah dibocorkan kepada “musuhnya”, China.

Selain itu terdapat juga dakwaan usaha oleh wakil rakyat pulau itu untuk menghalang program kapal selam Taiwan itu daripada memperolehi peralatan dan komponen kritikal bagi kegunaan kapal selam itu.

Kedua-dua dakwaan yang amat serius tentang keselamatan dan pertahanan Taiwan itu telah didedahkan oleh Huang Shu-kuang yang bertanggungjawab mengepalai program kapal selam Taiwan kepada media tempatan baru-baru ini.

Beliau berkata maklumat kritikal tentang kapal selam itu didakwa telah dibocorkan kepada China oleh kontraktor yang gagal memenangi kontrak untuk membina kapal selam itu.

Huang, bagaimanapun, tidak mendedahkan nama wakil rakyat yang didakwa menghalang program kapal selam itu daripada memperolehi peralatan dan komponen yang diperlukannya serta kontraktor yang membocorkan maklumat kritikal tentang kapal selam itu kepada pihak China.

Taiwan
“Haikun”

 

Sementara itu, pejabat pendakwa Taiwan berkata dakwaan oleh Huang itu telah menarik perhatian yang serius disebabkan kesannya terhadap keselamatan dan pertahanan pulau itu.

“Pendakwa telah diarahkan untuk menyiasat kes itu secepat mungkin bagi membolehkan keselamatan negara dipertahankan,” menurut pejabat itu.

Pada 28 Sept yang lepas, Taiwan telah melancarkan kapal selam pertama diesel-elektrik dibinanya sendiri, dalam satu detik bersejarah bagi pulau itu yang terpaksa berhadapan dengan tindak-tanduk Beijing yang mahu menjadikan pulau itu sebahagian daripada wilayah China.

Presiden Taiwan Tsai Ing-wen telah melancarkan kapal selam itu yang dinamakan “Haikun” di pelabuhan Kaohsiung di selatan Taiwan.

“Haikun” itu bermaksud “ikan besar” di dalam Bahasa Cina.

Kapal selam buatan sendiri Taiwan itu akan menjalani ujian di lautan selepas ini, sebelum ditauliahkan ke dalam tentera laut pulau itu pada tahun depan.

Taiwan
Tentera Taiwan.

 

Kapal selam kedua buatan sendiri Taiwan dijangka akan dilancarkan pada tahun 2027.

Kapal selam buatan sendiri pertama Taiwan itu dibina dengan peruntukan US$1.54 bilion (RM6.93 bilion), tetapi bagi kerajaan Taiwan ia adalah pelaburan yang berbaloi untuk mempertahankan pulau itu daripada sebarang pencerobohan.

Walaupun kapal selam itu buatan sendiri, tetapi “Haikun” menggunakan sistem kombat yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat serta torpedo buatan negara itu.

Tujuh negara dilaporkan telah membantu Taiwan merekabentuk dan membina kapal selam buatan sendirinya yang pertama itu.

Pembinaan kapal selam itu telah bermula pada tahun 2020 dan telah berhadapan dengan pelbagai cabaran, tetapi akhirnya pulau itu berjaya menyiapkan pembinaan “Haikun” hasil kerjasama pihak dalaman pulau itu bersama-sama negara sahabat.

Taiwan

Secara keseluruhannya, Taiwan mahu membina lapan buah kapal selam diesel-elektrik bagi menggantikan dua buah kapal selam buatan Belanda dan sebuah kapal selam era Perang Dunia kedua Amerika Syarikat yang digunakannya untuk tujuan latihan.

Kapal-kapal buatan sendiri Taiwan itu mempunyai objektif utama iaitu menghalang tentera China daripada mengepung pulau itu dan menghalang aset-aset maritim China daripada belayar melintasi “First Island Chain.” (rangkaian pulau pertama)

Jika China berjaya mengepung Taiwan, Bashi Channel dan Balintang Channel akan menjadi laluan utama bagi kapal-kapal pengangkut pesawat dan kapal perang negara itu untuk ke Laut Filipina dan seterusnya ke Lautan Pasifik bagi mengelak ia melaksanakan operasi anti-access/area denial terhadap tentera Amerika Syarikat. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...