Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Pertahanan Pakistan, GIDS Perkenal Keluarga Peluru Berpandu Udara-ke-Darat “Burq”

Peluru-peluru berpandu udara-ke-darat daripada keluarga “Burq” ini digunakan oleh dron-dron keluaran syarikat Global Industrial and Defence Solutions (GIDS) seperti Shahpar 2 dan Shahpar-3.

0 1,101
(DEFENCE SECURTY ASIA) – Keluarga peluru berpandu udara-ke-darat “Burq” mula diperkenalkan kepada khalayak umum oleh syarikat bertanggungjawab membangunkannya, Global Industrial and Defence Solutions (GIDS) daripada Pakistan pada Mei tahun ini.
Peluru-peluru berpandu udara-ke-darat daripada keluarga “Burq” ini digunakan oleh dron-dron keluaran syarikat GIDS seperti Shahpar 2 dan Shahpar-3.
Walaupun ia hanya diperkenalkan kepada awam pada Mei tahun ini, namun ia sebenarnya telah pun didedahkan oleh Pakistan seawal tahun 2015 sebagai peluru berpandu yang digunakan oleh dron pertama negara itu dinamakan Burraq.
NESCOM (National Engineering and Scientific Commission) merupakan kontraktor pertahanan milik kerajaan Pakistan yang bertanggungjawab membangunkan, merekabentuk dan menjual produk pertahanan termasuk peluru berpandu.
Sejak daripada 2015 itu, peluru berpandu udara-ke-darat itu telah dipermoden dan dinaiktaraf kepada beberapa model dan varian.
Antara varian dan modelnya adalah Burq-45 yang dikatakan adalah varian peluru berpandu yang pertama dalam keluarga peluru berpandu Burq.

Burq

RINGKASAN:

Global Industrial and Defence Solutions (GIDS), syarikat pertahanan Pakistan, telah memperkenalkan keluarga peluru berpandu udara-ke-darat “Burq” kepada umum pada Mei tahun ini. Siri peluru berpandu ini digunakan bersama dron seperti Shahpar-2 dan Shahpar-3, dengan sejarah penggunaannya bermula sejak 2015 melalui dron Burraq.

Siri peluru berpandu Burq kini mempunyai beberapa varian, termasuk:

  • Burq-45: Berat 45kg dengan peledak 10kg, berkeupayaan membedil sejauh 12km menggunakan panduan Semi Active Laser Homing (SALH).
  • Burq-50P: Varian lebih berat dengan peledak 20kg, mampu mencapai jarak 15km dan dilengkapi panduan INS/GPS serta SALH untuk menyerang sasaran statik dan bergerak.
  • Burq-25G (dalam pembangunan): Berat 25kg, direka untuk dron ringan dan sesuai untuk sasaran kecil seperti radar dan pelancar peluru berpandu, dengan jarak tembakan sejauh 14km.

Reka bentuk peluru berpandu ini mencerminkan usaha Pakistan untuk menghasilkan sistem AGM berpanduan sendiri, yang setaraf dengan peluru berpandu antikereta kebal seperti Hellfire-II. Penggunaan siri Burq juga dirancang untuk diperluas ke platform lain seperti helikopter serang, kenderaan darat, dan kapal serangan pantas.

(Sumber: Defence Security Asia)

Burq-45 dikatakan mempunyai berat keseluruhan 45 kg dengan peledak seberat 10 kg,menjadikannya setaraf dengan peluru berpandu anti-kereta kebal lain di pasaran termasuk AGM-114 Hellfire buatan Amerika Syarikat dan UMTAS buatan Turkiye.
GIDS yang membangunkan Burq-45 mengatakan bahawa peluru berpandu itu mampu membedil sasaran sejauh 12km dengan ketepatan 1.5 meter (circular error probable).
Ia menggunakan sistem panduan Semi Active Laser Homing (SALH) tetapi juga berkemampuan Lock On Before Launch (LOBL) dan Lock On After Launch (LOAL).
Satu lagi anggota keluarga peluru berpandu Burq adalah Burq-50P yang merupakan varian yang lebih berat untuk membedil sasaran yang lebih jauh.
Dengan berat mencecah 50kg dan 20kg kepada peledak, peluru berpandu Burq-50P itu mempunyai beberapa konfigurasi seperti Blast Fragmentation, Anti-Armour dan Thermobaric.
Ia berkeupayaan membedil sasaran sejauh 15km dan menggunakan sistem panduan yang canggih dengan menggabungkan INS/GPS dengan bantuan satelit dan SALH.
Burq
Peluru berpandu “Burq” dan model dron “Shahpar” turut membuat penampilan pada DSA 2024.
Burq
Dengan sistem panduan ini,peluru berpandu Burq-50P itu boleh secara autonomous membedil sasaran statik dan bergerak termasuk kereta kebal.
Sedang dibangunkan pada ketika ini, peluru berpandu Burq-25G merupakan keluarga peluru berpandu Burq yang paling ringan dengan hanya mempunyai berat sebanyak 25kg.
Ia direkabentuk untuk kegunaan dron-dron yang ringan bertujuan untuk memusnahkan sasaran “ringan” seperti kemudahan radar dan pelancar peluru berpandu.
Dengan kemampuan membedil sasaran sejauh 14km, peluru berpandu Burq-25G itu menggunakan sistem panduan Semi Active Laser Homing (SALH).
Secara keseluruhan, peluru-peluru berpandu daripada keluarga Burq itu mencerminkan usaha Pakistan untuk membangunkan peluru berpandu udara ke darat (AGM) berpanduan jarak dekat mereka sendiri.
Malah, spesifikasi berat dan kepala peledak bagi Burq-45P dan Burq-50P menunjukkan konsep peluru berpandu udara-ke-darat yang serupa dengan peluru berpandu antikereta kebal (ATGM) seperti Hellfire-II dan lain-lain.
Pendekatan mungkin menunjukkan Pakistan merancang untuk menggunakan siri Burq pada platform lain, seperti helikopter penyerang, kenderaan darat, atau kapal serangan pantas (FAC) di laut. — DSA

 

Comments
Loading...