Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

STM Sasar Serahkan Ketiga-tiga Buah Kapal LMS Batch II Pada TLDM Dalam Tiga Tahun Setengah

“Kami komited dalam pembinaan tiga korvet untuk TLDM yang berasaskan reka bentuk kelas-ADA, yang telah menunjukkan kebolehpercayaannya dalam operasi di perairan antarabangsa,” kata pengurus besar STM, Özgür Güleryüz, dalam satu kenyataan.

0 376
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pembuat kapal Turkiye, Savunma Teknolojileri Mühendislik ve Ticaret A.Ş (STM) menyasarkan untuk menyerahkan ketiga-tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam tempoh tiga tahun setengah.
Ketiga-tiga kapal LMS Batch II itu dibina berdasarkan reka bentuk kelas ADA yang telah terbukti keberkesanan dan reliabiliti di perairan antarabangsa.
“Kami komited dalam pembinaan tiga korvet untuk TLDM yang berasaskan reka bentuk kelas-ADA, yang telah menunjukkan kebolehpercayaannya dalam operasi di perairan antarabangsa,” kata pengurus besar STM, Özgür Güleryüz, dalam satu kenyataan.
Pembinaan kapal-kapal tersebut telah dimulakan tahun ini di Istanbul Shipyard, dan STM berhasrat untuk menyerahkannya kepada TLDM dalam tempoh tiga tahun setengah, kata beliau.
Majlis pemotongan keluli (steel cutting) bagi projek ini pembinaan kapal-kapal LMS Batch II itu, yang dikendalikan di bawah peranan STM sebagai kontraktor utama, telah berlangsung di Istanbul Shipyard baru-baru ini.
Pada 10 Jun, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kerajaan-Kerajaan (G2G) mengenai Perolehan Produk Pertahanan antara Turkiye dan Malaysia, serta Majlis Penyerahan Surat Penerimaan (LoA) untuk Projek LMS Batch II bagi TLDM, telah diadakan di Ankara dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

STM

Menurut Güleryüz, ketiga-tiga kapal LMS Batch II akan dilengkapi dengan sistem persenjataan canggih, sensor, dan sistem kawalan serta pemerintahan, bagi membolehkan TLDM melaksanakan pelbagai misi dengan berkesan.
Pembinaan dan kelengkapan kapal-kapal tersebut akan dilakukan sepenuhnya di Turkiye dengan kerjasama intensif bersama syarikat-syarikat dalam industri pertahanan negara Mediterranean itu.
STM, selaku kontraktor utama, bertanggungjawab terhadap semua fasa projek, termasuk reka bentuk, pengurusan projek, pembinaan, penghantaran, serta aktiviti sokongan logistik bersepadu (ILS).
STM juga akan mengendalikan reka bentuk kapal, pengurusan pembinaan, pemerolehan bahan/sistem, reka bentuk dan pemasangan integrasi, pengujian, serta penyediaan dokumen reka bentuk dan ILS yang berkaitan dengan projek ini.
Tiga korvet ini direka khas oleh STM untuk memenuhi keperluan TLDM, dan pembinaannya akan dilaksanakan di bawah skop Projek Littoral Mission Ship Batch-II (LMSBII).
“LMSBII oleh STM adalah platform yang sangat fleksibel dan terbukti, yang mematuhi norma, standard moden tentera laut, dan peraturan badan klasifikasi,” tambahnya.
LMS
Kapal korvet kelas-ADA
Turkiye
Pengurus Besar STM Ozgur Guleryuz
Platform tempur sama yang dihasilkan STM telah membuktikan keselamatan, prestasi, kebolehpercayaan, dan kemudahan penyelenggaraan melalui operasi di laut terbuka, pesisir, dan dalam keadaan laut yang mencabar.
Kapal LMS ini mampu menjalankan pelbagai tugasan, termasuk Peperangan Permukaan (ASUW), Peperangan Udara (AAW), Perang Asimetri (ASYW), dan Perang Elektronik (EW), dengan menggunakan keupayaan Sistem Sensor dan Persenjataan dan Sistem Kawalan & Pemerintahan yang canggih.
Peralatan utama untuk kapal ini akan diperoleh daripada sektor pertahanan Turkiye, termasuk Sistem Pengurusan Tempur dan Sistem Kawalan Tembakan dari HAVELSAN, serta radar 3D, radar kawalan tembakan, IFF, meriam 30mm, sistem ESM, dan sistem Chaff Decoy dari ASELSAN.
Roketsan pula akan menyediakan Sistem Peluru Berpandu Permukaan ke Permukaan ATMACA bagi ketiga-tiga buah kapal LMS Batch II milik TLDM itu. – DSA

Leave A Reply

Your email address will not be published.