Sistem Pertahanan Udara “BUK-M3 Viking” Berkemampuan Kesan, Musnah F-35 dan F-22 Raptor
Antara ancaman yang dinyatakan sistem pertahanan udara BUK-M3 Viking berkemampuan tangani termasuklah pesawat-pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan F-35 dan F-22 Raptor, selain peluru berpandu ballistik, peluru berpandu kruis dan bom-bom pintar serta helikopter.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi senjata Russia, Rosoboronexport baru-baru ini ia mendakwa bahawa sistem pertahanan udara BUK-M3 Viking (NATO Codename SA-27 Gullum) berkemampuan menangani pelbagai jenis ancaman.
Antara ancaman yang ia nyatakan ia berkemampuan tangani termasuklah pesawat-pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan F-35 dan F-22 Raptor, selai n peluru berpandu ballistik, peluru berpandu kruis dan bom-bom pintar serta helikopter.
Sistem pertahanan udara BUK-M3 Viking merupakan varian terkini sistem pertahanan udara BUK yang terkenal yang berkemampuan menangani sasaran sejauh 65km dan 25km daripada segi altitud.
Jarak bedilannya yang dipertingkatkan kepada 65km itu akan memastikan sistem pertahanan udara BUK-M3 Viking berupaya melindungi posisi pertahanan tetap serta aset bergerak dan bernilai tinggi, sekali gus menawarkan keupayaan pertahanan berlapis.
Selain itu, sistem pertahanan udara buatan Russia itu juga mampu memintas peluru berpandu ballistik taktikal pada jarak sehingga 50 kilometer, sekaligus menyediakan pertahanan penting terhadap ancaman peluru berpandu jarak dekat yang mensasarkan infrastruktur kritikal atau sasaran ketenteraan.
Daripada segi altitud pula, sistem pertahanan udara BUK-M3 Viking boleh menangani pelbagai sasaran daripada spectrum yang luas – daripada daripada serendah 10 meter (peluru berpandu kruis, dron atau helikopter) kepada altitud setinggi 25km .
RINGKASAN:
Sistem pertahanan udara BUK-M3 Viking, yang dibangunkan oleh Almaz-Antey dan diperkenalkan oleh Rusia pada tahun 2016, merupakan varian terkini sistem peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) jarak sederhana BUK. Sistem ini dilengkapi dengan teknologi terkini seperti peluru berpandu kalis-jamming, penjejak sasaran tele-terma, dan elektronik yang dinaik taraf.
Dengan jarak operasi sehingga 65km dan altitud maksimum 25km, ia mampu menangani pelbagai ancaman udara seperti pesawat generasi kelima (F-35, F-22), peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis, bom pintar, dron, dan helikopter. Selain itu, ia boleh mengesan dan menyerang sehingga 36 sasaran serentak, termasuk sasaran di darat dan laut.
Sistem ini menggunakan pelancar 9A317M dengan enam peluru berpandu 9M317M yang dilengkapi teknologi Active Radar Homing untuk meningkatkan ketepatan dan kemampuan menyerang sasaran secara serentak.
BUK-M3 Viking juga mampu mempertahankan infrastruktur kritikal serta aset bernilai tinggi dengan keupayaan pertahanan berlapis. India turut menggunakan varian sistem ini untuk Tentera Lautnya. Sistem ini boleh diintegrasikan dengan sistem lain keluaran Almaz-Antey seperti Antey-2500.