Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(UPDATE) Bekas PM Jepun Shinzo Abe Disahkan Mati

Kali terakhir bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe melawat Malaysia adalah pada 10 Mac lepas untuk meraikan ulangtahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan juga ulangtahun ke-65 hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

1,499

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media Jepun menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri Shinzo Abe telah disahkan meninggal dunia pada usia 67 tahun beberapa jam selepas dikejarkan ke hospital akibat ditembak oleh seorang lelaki ketika menyampaikan ucapan di Nara, Jepun, 

Polis telah berjaya menangkap seorang lelaki  berusia 41 tahun dikenali dengan nama, Yamagami Tetsuya yang menembak Abe sebanyak dua kali daripada jarak dekat ketika bekas Perdana Menteri Jepun itu sedang menyampaikan ucapan dalam satu kempen.

Sejurus selepas tembakan itu, anggota keselamatan telah bergelut dan menangkap penyerang itu. Motif tindakannya belum lagi dapat dipastikan.

Abe yang berlumuran darah di bahagian dada dan tidak sedarkan diri telah diberikan rawatan kecemasan oleh mereka yang berada di sekelilingnya sebelum dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan dalam keadaan amat tenat lapor media tempatan.

 

Wartawan yang berada berhampiran lokasi kejadian mendakwa mereka mendengar dua letupan kecil dipercayai bunyi tembakan ketika bekas Perdana Menteri Jepun itu sedang berucap.

Abe meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun pada 2020 selepas menjadi Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Jepun.

Shinzo Abe
Anggota keselamatan menangkap penyerang Shinzo Abe.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Jenayah membabitkan senjata api jarang-jarang berlaku di Jepun.

Kali terakhir bekas Perdana Menteri Jepun itu melawat Malaysia adalah pada 10 Mac lepas untuk meraikan ulangtahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan juga ulangtahun ke-65 hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Dalam lawatan itu, Abe yang juga merupakan utusan khas Perdana Menteri Jepun pada ketika Fumio Kishida juga melakukan kunjungan hormat terhadap Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. — DSA

Comments are closed.