Serpihan Peluru Berpandu BrahMos, SCALP-EG Ditemui Pakistan Jadi “Bahan Kajian” Pakar Senjata China ??
Menurut laporan, serpihan peluru berpandu digunakan oleh India yang ditemui di Pakistan itu menjadi perhatian pakar-pakar senjata daripada beberapa negara tertentu, dalam usaha mereka untuk mempelajari teknologi disebalik sistem persenjataan moden itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Serpihan-serpihan peluru berpandu yang digunakan oleh tentera India dalam Operasi Sindoor terhadap Pakistan seperti BrahMos dan juga SCALP-EG kini dilaporkan menjadi “bahan kajian” oleh pakar-pakar persenjataan daripada negara-negara tertentu termasuk China dan beberapa negara Barat.
Menurut laporan, serpihan peluru berpandu digunakan oleh India yang ditemui di Pakistan itu menjadi perhatian pakar-pakar senjata daripada beberapa negara tertentu, dalam usaha mereka untuk mempelajari teknologi disebalik sistem persenjataan moden itu.
“Serpihan daripada peluru berpandu BrahMos, SCALP-EG dan juga dron kamikaze Harop buatan Israel merupakan harta karun daripada segi perisikan teknikal (Technical Intelligence) kerana ia sedikit sebanyak boleh memberikan maklumat tentang kemampuan dan prestasinya,” menurut seorang penganalisa pertahanan dan geopolitik Amerika Syarikat.
“Maklumat-maklumat amat menarik minat pakar persenjataan daripada beberapa negara terutamanya daripada China yang merupakan pembekal senjata utama kepada Pakistan, selain negara-negara pesaing yang mengeluarkan senjata hampir sama seperti BrahMos dan SCALP-EG itu,” kata beliau.
Peluru berpandu BrahMos ialah peluru berpandu kruis supersonik yang dibangunkan secara bersama oleh India dan Russia melalui syarikat kerjasama BrahMos Aerospace.
Peluru berpandu SCALP-EG ((Système de Croisière Autonome à Longue Portée – Emploi Général) dibangunkan oleh syarikat pertahanan Eropah MBDA, dan dikenali sebagai Storm Shadow dalam perkhidmatan tentera British.
Selain itu terdapat juga keperluan kepada pakar-pakar senjata Barat untuk mengetahui secara mendalam kemampuan sistem-sistem pertahanan udara buatan China yang digunakan oleh tentera Pakistan dalam menangani serangan India menggunakan peluru-peluru berpandu seperti BrahMos dan SCALP-EG itu.

Dalam laporan oleh Defence Security Asia pada 13 Mei lalu menyatakan sekurang-kurangnya sebuah peluru berpandu kruis BrahMos yang dibangunkan secara bersama oleh India dan Russia berjaya dipintas dan ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Pakistan di ruang udara Jacobabad ketika ia cuba membedil Pangkalan Tentera Udara Pakistan Shahbaz pada 10 Mei lalu.
Menurut laporan media tempatan yang disertakan bersama-sama video dan gambar-gambar menunjukkan serpihan peluru berpandu kruis supersonik itu berteraburan di beberapa bahagian di Jacobabad.
Serpihan-serpihan peluru berpandu kruis BrahMos itu termasuk beberapa komponen yang menyamai seeker yang diperbuat oleh Russia dimana pihak tentera India merancang untuk menggantikannya dengan seeker buatan India.
Gambar-gambar yang tersebar di platform media sosial menunjukkan Pangkalan Tentera Udara Pakistan Shahbaz itu mengalami kerosakan terhadap infrastrukturnya, tetapi tiada pesawat atau peralatan kritikal milik Tentera Udara Pakistan mengalami kerosakan akibat bedilan peluru berpandu kruis dibangunkan oleh India dan Russia itu.
Menurut laporan media tempatan Pakistan, sebahagian daripada serpihan peluru berpandu BrahMos yang ditemui di Jacobabad itu menyamai serpihan yang ditemui di Masjid Bhawalpur yang dibedil India pada 6 atau 7 Mei menggunakan peluru berpandu BrahMos sehingga menyebabkan penduduk awam terkorban.
Pangkalan Udara Shahbaz, terletak di Jacobabad, wilayah Sindh, Pakistan, merupakan salah satu pangkalan udara utama Tentera Udara Pakistan.

Pangkalan Shahbaz ialah pusat utama operasi F-16 milik Pakistan, iaitu varian F-16C/D Block 52+ yang dibeli dari Amerika Syarikat.
Terletak berhampiran sempadan dengan India dan Afghanistan, Pangkalan Udara Shahbaz memainkan peranan penting dalam pemantauan dan tindak balas terhadap ancaman di kawasan selatan dan barat daya Pakistan.
Sementara itu, laporan penduduk tempatan juga menunjukkan serpihan-serpihan peluru berpandu kruis SCALP EG milik India yang berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Pakistan ketika ia cuba membedil Pangkalan Tentera Udara Pakistan di Sargodha.
Peluru berpandu kruis SCALP EG itu berkemungkinan dilancarkan oleh pesawat-pesawat pejuang Rafale dan Mirage 2000 Tentera Udara India.
Pangkalan Udara Sargodha, secara rasmi dikenali sebagai PAF Base Mushaf, merupakan salah satu pangkalan udara paling penting dalam struktur Tentera Udara Pakistan, berfungsi sebagai ibu pejabat Air Force Central Command (AFCC) dan pusat kawalan operasi udara strategik negara itu.
Terletak di wilayah Punjab, pangkalan ini memainkan peranan utama dalam pemerintahan kawalan udara, latihan juruterbang elit, dan juga dipercayai mempunyai peranan dalam doktrin pencegahan nuklear Pakistan.
Pangkalan Udara Sargodha merupakan pangkalan penting bagi operasi pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China.

Beberapa skuadron termasuk No. 16 “Black Panthers” dan No. 26 “Black Spiders” dilaporkan beroperasi dari sini.
Apakah SCALP-EG?
SCALP EG (Système de Croisière Autonome à Longue Portée – Emploi Général) merupakan peluru berpandu kruis jarak jauh yang direka untuk serangan tepat terhadap sasaran bernilai tinggi di kawasan pertahanan udara musuh, seperti pusat kawalan, depot peluru, lapangan terbang, dan sistem pertahanan udara strategik.
Peluru berpandu ini dibangunkan oleh syarikat pertahanan Eropah MBDA, dan dikenali sebagai Storm Shadow dalam perkhidmatan tentera British.
SCALP EG mempunyai jarak bedilan lebih daripada 250 km, menjadikannya sesuai untuk operasi deep strike di belakang garis musuh tanpa mendedahkan pesawat pelancar kepada risiko sistem pertahanan udara.
Dilengkapi dengan sistem multi-mode navigation – termasuk GPS, inertial navigation system (INS), terrain reference navigation, dan kamera infra-merah (IIR) – SCALP EG mengekalkan ketepatan tinggi dalam semua keadaan cuaca dan persekitaran peperangan elektronik.
Hulu peledak SCALP EG adalah dari jenis BROACH (Bomb Royal Ordnance Augmented Charge), gabungan dua fasa letupan – penembusan dan pemusnahan.

Fasa pertama menembusi struktur konkrit atau bawah tanah seperti bunker atau kubu, manakala fasa kedua meletup di dalam sasaran untuk memaksimumkan kerosakan dalaman.
Kombinasi ini menjadikan SCALP EG sangat berkesan terhadap sasaran “strategik dan keras,” seperti pusat kawalan bawah tanah dan pelancar peluru berpandu balistik.
Reka bentuk SCALP EG menekankan ciri low observable (stealth) dengan jejak radar yang rendah dan ketinggian penerbangan sangat rendah (nap-of-the-earth flight), menjadikannya sukar dikesan oleh radar musuh.
Ia biasanya diprogramkan untuk mengikuti laluan kompleks dengan waypoints untuk mengelakkan kawasan pertahanan udara dan sistem radar sebelum menghampiri sasaran dari arah yang tidak dijangka.
Strategi serangan berprofil rendah ini membolehkan ia menyerang sasaran “first night” dalam kempen udara – ketika pertahanan musuh masih berfungsi penuh.
BrahMOS
Peluru berpandu BrahMos ialah peluru berpandu kruis supersonik yang dibangunkan secara bersama oleh India dan Russia melalui syarikat kerjasama BrahMos Aerospace.
Kelajuan peluru berpandu kruis BrahMos mencecah Mach 2.8 hingga Mach 3, dan direka untuk menyerang sasaran di darat dan laut dari platform udara, darat, dan kapal permukaan.
