Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Saya Hanya Buat Senjata Api, Tak Suruh Bunuh Orang”

Salah satu senjata api yang popular dikalangan pembuat senjata api haram di Danao, Filipina adalah replika pistol Colt .45 yang dijual pada harga 7,000 pesos atau kira-kira US$130 (RM520). Hanya RM500 untuk sepucuk pistol automatik di Filipina.

0 2,509

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di Filipina, daripada anggaran 3.7 juta senjata api yang dimiliki oleh penduduk negara Asia Tenggara itu, kira-kira 1.7 juta adalah senjata api berlesen manakala selebihnya iaitu kira-kira 2 juta atau lebih adalah senjata api tidak berlesen atau haram.

Di negara Filipina yang berjiran dengan Malaysia itu, senjata api haram sememangnya mudah untuk didapati atau dibeli dengan harga yang amat murah.

Persoalannya, dari mana penduduk Filipina mendapatkan bekalan senjata api haram mereka? Jawapannya adalah mudah, bagi yang mahir mereka membuat senjata api mereka sendiri di bengkel-bengkel usang yang kemungkinan terletak di belakang-belakang rumah mereka.

Senjata Api

Dan kualiti senjata api yang dihasilkan oleh “karyawan senjata api Filipina” ini adalah amat tinggi, sehinggakan ia hampir sama dengan yang asli.

Dalam satu artikel oleh akhbar The New York Times, industri pembuatan senjata api haram di Filipina berkembang seperti cendawan selepas hujan terutamanya di wilayah-wilayah yang miskin, terpencil dimana pekerjaan sukar didapati.

Di kawasan-kawasan di mana industri pembuatan senjata haram ini berkembang, kehadiran anggota penguatkuasa terutamanya polis adalah amat minimal dan selalu terletak berhampiran dengan kawasan konflik bersenjata.

Senjata Api

Salah satu kawasan yang menjadi pusat kepada industri pembuatan senjata api haram di Filipina adalah di Danao di Bandar Cebu yang terletak tidak jauh daripada wilayah bergolak di selatan Filipina.

Salah satu bengkel membuat senjata api haram di Danao dimiliki oleh “Encik Launa” yang mengatakan kepada akhbar The New York Times bahawa beliau mewarisi kemahiran membuat senjata daripada bapanya dan kini menurunkan “ilmunya” itu kepada anaknya berusia 28 tahun.

Senjata Api

“Di sini (Danao) kemahiran membuat senjata api ini diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi yang lain,” kata Launa di bengkel membuat senjatanya yang terletak di sebuah kawasan berbukit terpencil di kawasan itu.

Untuk sampai ke bengkel membuat senjata api milik beliau itu, seseorang perlu mendaki bukit dan menerobos kawasan bersemak sebelum tiba di bengkel yang berbumbung plastik itu tidak lebih kelihatan seperti sebuah “reban ayam.”

Di dalam bengkel kayu itu yang mampu menghasilkan empat pucuk pistol sehari, terdapat beberapa mesin untuk memotong dan membentuk besi.  

Bengkel itu sememangnya dibina dengan mudah daripada bahan mudah alih supaya Launa mudah untuk mengemasnya sekira terdapat operasi oleh pasukan keselamatan.

Dikawasan sekitar bengkel milik Launa itu, terdapat lebih daripada 20 buah bengkel membuat senjata api haram yang sama beroperasi,membuktikan bahawa Danao merupakan di antara pusat kepada industri membuat senjata haram di Filipina.

Senjata Api

Menurut Launa, beliau telah berkecimpung dalam bidang pembuatan senjata api haram sejak tahun 1970-an dan tidak pernah terfikir untuk berhenti kerana senjata-senjata yang dihasilkannya memberikan beliau sumber pendapatan untuk “menyediakan makanan di atas meja” untuk keluarganya.

“Banyak presiden (Filipina) telah datang dan pergi,tetapi kami tetap di sini,” katanya sambil menunjukkan beberapa pucuk replika pistol Colt.45 yang sedang diusahakannya bagi memenuhi permintaan daripada “penduduk tempatan.”

Ditanya sama ada terdapat perasaan bersalah di dalam dirinya kerana terlibat dalam pembuatan senjata api yang mungkin menyebabkan seseorang terbunuh, Launa berkata, “saya hanya membuat senjata api, saya tidak menyuruh pemiliknya untuk membunuh orang.”

Senjata Api

Menurut akhbar The New York Times,  pembuatan senjata api di Danao mengalami pertumbuhan yang mendadak ketika Perang Dunia Kedua apabila anak-anak muda diajar membuat senjata bagi menyokong pergerakan menentang tentera Jepun.

Ketika tahun-tahun 1960-an, Danao telah dikenali di seluruh Filipina sebagai “pusat” kepada penjenayah dan rakyat biasa negara itu untuk mendapatkan senjata api tiruan (replika) yang murah tetapi berkualiti tinggi.

Senjata Api

Salah satu senjata api yang popular dikalangan pembuat-pembuat senjata api haram di Danao adalah replika pistol Colt .45 yang dijual pada harga 7,000 pesos atau kira-kira US$130 (RM520) untuk sepucuk pistol berkenaan.

Hanya RM500 untuk sepucuk pistol automatik di Filipina.

Bengkel-bengkel senjata haram di Danao bukan sahaja membuat pistol tetapi mereka juga membuat sub-mesingan namun permintaan untuk senjata api berkaliber besar merosot akibat operasi pembanterasan pemilikannya oleh pasukan polis Filipina.

Senjata Api

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Apapun, sama ada pistol atau senapang yang dihasilkan oleh pemilik-pemilik bengkel senjata api haram ini, ia telah menyumbang kepada peningkatan kematian akibat senjata api di Filipina yang diketahui memiliki undang-undang senjata api yang agak relaks berbanding negara-negara jirannya.

“Pada ketika ini sesiapa sahaja boleh membeli senjata api di Filipina asalkan anda mempunyai duit termasuk jika anda adalah seorang pencuri, pembunuh atau penyewa senjata,” kata ketua polis tempatan Kolonel Jaime Quiocho ketika ditemuramah oleh akhbar terbabit.

Senjata Api

Penjenayah sememangnya membeli senjata api haram kerana sudah semestinya “mereka tidak akan menggunakan pistol berlesen yang kemudiannya boleh dikesan kepada mereka.”

Ada di antara senjata api-senjata api yang dihasilkan oleh bengkel-bengkel di Danao itu digunakan oleh pembunuh-pembunuh upahan yang dikaitkan dengan Presiden Rodrigo Duterte terlibat dalam membunuh penagih dan pengedar dadah di Filipina.

Selain itu, terdapat juga laporan bahawa senjata api keluaran bengkel haram itu digunakan oleh anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf serta kumpulan-kumpulan militan di Asia Tenggara terutamanya di Indonesia. — DSA

Comments
Loading...