Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas KF-21 Boramae, Indonesia Kini Mahu Sertai Pula Program Pembangunan KAAN, Kapal Selam Turkiye

“Indonesia mahu menyertai pembangunan pesawat pejuang generasi kelima KAAN serta projek pembinaan kapal selam bersama industri pertahanan Turkiye," kata Presiden Indonesia Prabowo Subianto sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita ANTARA.

0 7,834
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia telah secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN, menimbulkan lebih banyak persoalan tentang pembabitan Jakarta di dalam penyertaannya di dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 Boramae Korea Selatan.
Ketika melawat Turkiye baru-baru ini, Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan bahawa ia berminat untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang KAAN dan juga program pembangunan kapal selam kebangsaan Turkiye.
“Indonesia mahu menyertai pembangunan pesawat pejuang generasi kelima KAAN serta projek pembinaan kapal selam bersama industri pertahanan Turkiye,” kata Presiden Indonesia sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita ANTARA, tanpa menghuraikan lanjut.
Pada 2010, Jakarta turut menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae dengan sepatutnya menyumbang 20 peratus daripada kos untuk membangunkan pesawat pejuang itu.
Keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu dianggarkan berjumlah US$6.67 bilion (RM26.7 bilion). 
 Indonesia dikatakan gagal melunaskan bayaran sebanyak US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang itu, menggunakan alasan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya. 
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.67 bilion (RM26.7bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.

Turkiye

Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima KAAN pada 2016.
KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).
Program berprofil tinggi KAAN yang sedang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dilihat sebagai tindak balas Turkiye terhadap penyingkirannya daripada program pesawat pejuang F-35 Amerika Syarikat, susulan keputusan Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 Triumf buatan Russia.
Turkiye sepatutnya memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35, tetapi selepas memutuskan untuk membeli sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 Triumf daripada Russia,Ankara telah dilarang daripada membeli F-35.
Disebabkan larangan membeli F-35, Turkiye telah memulakan program pembangunan pesawat pejuang KAAN.
Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu, KAAN telah berjaya menjalani penerbangan sulungnya pada Februari 2024, apabila ia mencapai ketinggian 8,000 kaki dan kelajuan 230 knot.
KAAN
“KAAN”
Prototaip kedua dan ketiga dijangka akan mula menjalani ujian penerbangan masing-masing menjelang akhir tahun ini dan awal tahun hadapan.
Hampir 100 peratus pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.
TAI dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.
Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh TAI itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).
KF-21
KF-21 “Boramae” with four “Meteor” BVRAAM
Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu dijangka akan mula berkhidmat dengan Tentera Udara Turkiye pada 2028, dengan negara itu dijangka mengoperasi lebih 100 buah pesawat pejuang KAAN menjelang 2032.
Pada Mei tahun lepas,  Turkiye secara terbuka menawarkan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkannya kepada Malaysia, bagi membantu negara Asia Tenggara itu meningkatkan pertahanan udaranya.
Dalam temuramah bertulis dengan agensi berita nasional Malaysia, BERNAMA sempena DSA 2024,  Presiden Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) Prof Haluk Gorgun berkata, Malaysia boleh mendapat akses kepada teknologi terkini dan kepakaran dalam bidang pertahanan dengan bergabung dengan Turkiye.
Gabungan di antara Malaysia dan Turkiye itu katanya, akan mempercepatkan keupayaan pertahanannya Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan industri pertahanan tempatan.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia, sebuah negara sahabat dan bersaudara dalam projek pembangunan, termasuk projek ‘KAAN’ yang telah dimulakan oleh Turkiye. Kami juga terbuka untuk berkongsi pengalaman yang kami perolehi dari pesawat latihan asas generasi baru ‘HURKUS’ dan pesawat pejuang ringan ‘HURJET’ dengan Malaysia.”
Selain membangunkan pesawat pejuang generasi kelima KAAN, industri pertahanan Turki membangunkan kapal selam buatan tempatan yang dipanggil “MILDEN” atau “Milli Denizalti” (National Submarine).
MILIDEN
MILDEN
Usaha membina enam buah kapal selam “MILDEN” (kapal selam kebangsaan) itu dijangka bermula pada tahun 2025, bagi menambah satu lagi produk keluaran industri pertahanan Turki untuk dipasarkan ke seluruh dunia.
Kapal-kapal selam buatan tempatan Turki itu dibina oleh Golcuk Naval Shipyard, yang kini sedang membina enam buah kapal selam-kelas Reis berdasarkan kepada rekabentuk kapal selam Type-214TN buatan Jerman.
Sebelum ini, Golcuk juga terlibat dalam pembinaan 11 buah kapal selam Type-209 rekabentuk Jerman, menjadikan syarikat Turki itu sebagai amat berpengalaman dan berpengetahuan di dalam aspek pembinaan kapal selam.
Rekabentuk di antara kapal-kapal selam kelas-Reis dan MILDEN adalah hampir sama,kecuali enam buah kapal selam buatan tempatan itu adalah lebih besar dan lebih berkemampuan daripada segi sistem persenjataannya.
Kapal selam buatan sendiri Turki ini akan memiliki berat 2,700 tan berbanding 1,860 tan bagi kapal-kapal selam kelas-Reis yang mengikut rekabentuk Type-214TN buatan Jerman.
Menurut pemerhati pertahanan di Turki, sebab utama mengapa kapal selam MILDEN buatan Turki itu lebih besar dan lebih berat berbanding kapal-kapal selam terdahulu dimilikinya adalah kerana ia sistem persenjataanya.
MILDEN
Kapal selam kebangsaan (MILDEN)
Turkiye
“TCG Piri Reis”
Kapal-kapal selam MILDEN itu direkabentuk untuk membawa persenjataan yang lebih berkemampuan.
Pemerhati pertahanan berkata bahawa kapal-kapal selam buatan tempatan Turkiye itu akan membawa peluru berpandu kruis “GEZGIN” buatan Turki yang direka untuk menyerupai peluru berpandu kruis “Tomahawk” buatan Amerika Syarikat atau “Kalibr” buatan Russia.
Peluru berpandu “GEZGIN” itu dikatakan berupaya membedil sasaran darat sejauh 1,000km, memberikan Turki kemampuan “deep-strike” terhadap aset-aset dan infrastruktur yang dimiliki oleh musuhnya.
Selain peluru berpandu kruis, kapal-kapal selam MILDEN itu juga akan dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” yang boleh membedil sasaran sejuah lebih daripada 200km serta torpedo berat buatan tempatan dinamakan “AKYA.”
Kapal-kapal selam MILDEN yang akan mula dibina pada 2025 akan dilengkapi dengan AIP (Air Independent Power) bagi membolehkan ia berada di bawah permukaan air lebih lama tanpa perlu naik ke permukaan untuk caj semula baterinya.
Kapal-kapal selam MILDEN itu bakal menggunakan sebahagian besatnya peralatan sonar, sistem kombat dan decoy buatan syarikat-syarikat Turkiye.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.