Selepas Iran, Kini Azerbaijan Pula Tunjuk Minat Pada Pesawat Pejuang J-10CE
Selepas berjaya menarik perhatian Komander Tentera Udara Iran Brig Jen Hamid Vahedi, varian eksport pesawat pejuang J-10CE yang dipamerkan pada Airshow China 2024 itu berjaya pula menarik perhatian daripada Panglima Tentera Udara Azerbaijan Lt Jen Namig Islamzade pula.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selain pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A dan varian eksport Su-57E buatan Russia, sebuah lagi pesawat pejuang yang berjaya menarik perhatian pelanggan-pelanggan berpotensi pada Airshow China 2024 di Zhuhai adalah varian eksport J-10CE “Vigorous Dragon.”
Pesawat pejuang generasi 4.5 yang dibangunkan oleh syarikat Chengdu Aircraft Corporation itu sedang dipromosikan dengan hebat oleh China di beberapa pasaran luar negara.
Selepas berjaya menarik perhatian Komander Tentera Udara Iran Brig Jen Hamid Vahedi, varian eksport pesawat pejuang J-10CE yang dipamerkan pada Airshow China 2024 itu berjaya pula menarik perhatian daripada Panglima Tentera Udara Azerbaijan Lt Jen Namig Islamzade pula.
Panglima Tentera Udara Azerbaijan itu menggunakan peluang daripada kehadiran beliau pada Airshow China 2024 untuk meninjau dengan lebih dekat pesawat pejuang buatan China yang telah pun mempunyai pelanggan eksportnya yang pertama iaitu Pakistan.
Pada 2022, Pakistan secara senyap-senyap telah memperolehi 25 buah pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation.
Langkah Pakistan memperolehi pesawat pejuang J-10C daripada China itu adalah untuk bersaing dengan pesawat-pesawat Rafale yang diperolehi oleh India.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Azerbaijan, Panglima Tentera Udara negara itu turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatanya daripada China, Jen Chang Dingqiu pada pameran udara itu,
“Pertemuan di antara Panglima Tentera Udara Azerbaijan dan Panglima Tentera Udara China telah membincangkan kerjasama pertahanan dan kerjasama teknikal antara kedua-dua negara. Lt Jen Namig Islamzade turut mengucapkan terima kasih kepada Dingqiu kerana menjemput beliau menghadiri Airshow China 2024.”
Gambar-gambar kunjungan Panglima Tentera Udara Azerbaijan itu untuk melihat lebih dekat varian eksport J-10CE pada Airshow China 2024 telah tersedar di platform media sosial, sekaligus meningkatkan spekulasi terhadap kemungkinan minat Azerbaijan terhadap pesawat pejuang buatan China itu.
Adakah Iran dan Azerbaijan akan mengikut jejak langkah Pakistan yang telah pun memiliki pesawat pejuang J-10C buatan China itu serta Mesir yang baru-baru ini memutuskan untuk memperolehi J-10C dan menolak F-16?
Sekiranya Azerbaijan sememangnya benar-benar berminat dengan pesawat pejuang J-10CE itu, maka ia hanya membuktikan usaha berterusan negara yang kaya dengan minyak dan gas itu untuk meningkatkan kemampuan angkatan tenteranya.
Ini kerana hanya pada Februari tahun ini, laporan media menyatakan bahawa Azerbaijan telah bersetuju untuk memperolehi sejumlah pesawat pejuang JF-17 Block 3, yang merupakan varian terkini pesawat pejuang keluaran Pakistan dan China.
Pesawat pejuang JF-17 Block 3 itu dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) daripada China.
Azerbaijan dilaporkan membelanjakan sebanyak US$1.6 billion (RM7.2 billion) untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang JF-17 Block 3.
Menurut laporan. pesawat-pesawat JF-17 Block III yang bakal diperolehi oleh Azerbaijan itu akan menggantikan pesawat pejuang MiG-29 yang kini digunakan oleh tentera udara negara itu.
Dalam keadaan hubungannya yang masih tegang dengan Armenia akibat pergolakan di wilayah bergolak Nagorno Karabakh, Azerbaijan sudah tentu sentiasa berusaha meningkatkan lagi kemampuan angkatan tenteranya, terutama tentera udaranya.
Ini kerana sudah terdapat spekulasi bahawa Perancis mahu membekalkan “musuh tradisinya”, Armenia dengan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan syarikat Dassault Aviation, Rafale bagi menangani kuasa udara Azerbaijan.
Pesawat J-10C itu menggunakan enjin keluaran syarikat tempatan China dipanggil “WS-10C” dan bukan enjin Saturn AL-31F yang dibangunkan oleh Russia bagi mengelak kompleksiti dalam penjualan pesawat itu kepada Pakistan.
Pesawat pejuang J-10C itu juga dilengkapi dengan peralatan terkini seperti Active Electronically Scanned Array (AESA) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “PL-15”.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.
Peluru berpandu PL-15 itu juga didakwa adalah pesaing utama kepada peluru berpandu udara-ke-udara keluaran Amerika Syarikat iaitu AIM-120 “AMRAAM.” — DSA
Comments are closed.