[VIDEO] Selepas Berpuashati Dengan S-400, India Kini Rancang Miliki Sistem Pertahanan Udara S-500 Pula
Bagaimanapun, hasrat India untuk memiliki sistem pertahanan udara terkini S-500 buatan Russia itu memerlukan kelulusan daripada kepimpinan tertinggi pentadbiran Russia, sesuatu yang sukar dilakukan buat masa ini memandangkan S-500 itu baru sahaja memasuki perkhidmatan tentera Russia dalam jumlah yang kecil.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas dikatakan amat berpuashati dengan prestasi sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 Triumf buatan Russia miliknya, India kini dilaporkan bukan sahaja bercadang untuk menambah skuadron S-400 miliknya tetapi juga berhasrat untuk memiliki sistem pertahanan udara S-500 pula.
Sistem pertahanan udara S-500 memiliki kemampuan yang dipertingkatkan daripada varian terdahulunya iaitu S-400, dengan jarak pengesanan dan bedilan adalah lebih jauh daripada sistem pertahanan udara S-400.
“Bagaimanapun, hasrat India untuk memiliki sistem pertahanan udara terkini S-500 buatan Russia itu memerlukan kelulusan daripada kepimpinan tertinggi pentadbiran Russia, sesuatu yang sukar dilakukan buat masa ini memandangkan S-500 itu baru sahaja memasuki perkhidmatan tentera Russia dalam jumlah yang kecil.”
“Pihak India mungkin memerlukan beberapa tahun lagi sebelum mereka dibenarkan untuk memiliki S-500, itu pun sekiranya kepimpinan Kremlin memberikan lampu hijaunya terhadap perolehan itu,” kata seorang penganalisis ketenteraan.
Setakat ini, Russia belum menyatakan sama ada ia berhasrat untuk mengeksport sistem pertahanan jarak jauh S-500 untuk pasaran eksport.
India juga mungkin berhasrat untuk memiliki S-500 sebagai “stop gap measures” sementara ia sedang membangunkan sistem pertahanan udara jarak jauh generasi baharu miiknya sendiri yang dikenali sebagai Projek Kusha, untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sistem import seperti S-400 buatan Rusia.
Diterajui oleh agensi penyelidikan pertahanan India, Defence Research and Development Organisation (DRDO), Projek Kusha merupakan inisiatif India bertujuan untuk membangunkan sistem peluru berpandu darat-ke-udara jarak jauh yang mampu menangkis ancaman udara seperti pesawat pejuang, peluru berpandu ballistik, peluru berpandu kruis, sistem pesawat tanpa pemandu, dan sasaran hypersonik.
(VIDEO DI BAWAH ADALAH SISTEM PERTAHANAN UDARA S-500)
Pemain Video
00:00
00:00
Sistem ini dirancang untuk mengisi jurang di antara sistem pertahanan udara jarak sederhana India seperti MR-SAM (jangkauan 80 km) dengan sistem S-400 (jangkauan 400 km), melalui pembangunan peluru berpandu dalam tiga varian utama: M1 (150 km), M2 (250 km) dan M3 (350–400 km).
Walauapapun, pihak tentera India kini dilaporkan berhasrat untuk menambah pemilikan sistem pertahanan udara S-400 miliknya selepas dikatakan berpuashati dengan prestasi ditunjukkan oleh sistem pertahanan udara buatan Russia itu ketika konflik dengan Pakistan baru-baru ini.
India mendakwa dalam Operasi Sindoor menentang tentera Pakistan, sistem pertahanan udara S-400 miliknya telah berjaya menembak jatuh beberapa pesawat pejuang dan peluru-peluru berpandu yang dilancarkan oleh Tentera Pakistan terhadap infrastruktur ketenteraannya.
India secara rasmi memeterai perjanjian pembelian sistem pertahanan S-400 Triumf, pada 5 Oktober 2018 dalam satu kontrak bernilai sekitar US$5.4 billion atau kira-kira ₹35,000 crore.
Perjanjian itu dimeterai semasa Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi oleh Perdana Menteri Narendra Modi dan Presiden Russia Vladimir Putin, menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan pertahanan udara India serta mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat antara kedua-dua negara.
S-400, yang dikenali dalam kalangan Angkatan Tentera India sebagai “Sudarshan Chakra,” ialah sistem pertahanan udara jarak jauh yang mampu memintas dan memusnahkan pelbagai ancaman udara seperti pesawat pejuang, peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah, dan dron pada jarak sejauh 400 kilometer.
India menempah lima skuadron S-400 di bawah perjanjian itu, dengan penghantaran pertama tiba pada Disember 2021 dan terus dikerahkan ke pangkalan udara Pathankot di Punjab, berhampiran sempadan dengan Pakistan.
Skuadron kedua dihantar pada Julai 2022 dan ditempatkan di kawasan Sikkim bagi menghadapi sebarang ancaman udara dari sempadan China, manakala skuadron ketiga mula beroperasi di sektor Rajasthan-Gujarat pada Februari 2023, memperkukuh liputan pertahanan udara di kawasan barat laut negara itu.
Dengan tiga skuadron kini beroperasi penuh, dua lagi masih dalam jadual penghantaran dan dijangka tiba secara berperingkat pada 2026, menurut pengesahan daripada sumber rasmi Russia.
Sistem S-400 ini merupakan antara sistem pertahanan udara paling berkemampuan di dunia dan sering dibandingkan dengan sistem THAAD dan Patriot buatan Amerika Syarikat, menjadikannya aset strategik yang sangat penting dalam pelan pertahanan udara India.

Walaupun Amerika Syarikat memberi amaran tentang kemungkinan sekatan di bawah Akta CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act), India tetap meneruskan pembelian sistem pertahanan udara India atas dasar keperluan keselamatan nasional dan demi mengekalkan kebebasan strategik dalam menentukan dasar pertahanan negaranya.
Dengan perolehan S-400, India kini menyertai kelompok elit negara-negara yang memiliki sistem pertahanan udara berlapis dan pelbagai domain, sekaligus mengubah landskap kuasa udara di Asia Selatan dan memberi isyarat tegas bahawa New Delhi bersedia menghadapi sebarang ancaman dari dua front serentak.
Latar Belakang Sistem Pertahanan Udara S-500 Prometheus
S-500 Prometheus, atau dikenali dengan nama rasminya dalam tentera Rusia sebagai 55R6M ‘Triumfator-M’, merupakan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu jarak jauh generasi baharu yang dibangunkan oleh industri pertahanan Rusia untuk memperkukuh keupayaan pertahanan ruang angkasa negara itu dalam era senjata hipersonik dan ancaman peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang semakin kompleks.
Sistem S-500 dianggap sebagai satu anjakan paradigma dalam landskap pertahanan udara Rusia kerana ia direka bukan sekadar untuk memperkukuh kedudukan sistem terdahulu seperti S-400 ‘Triumf’, tetapi juga untuk mengisi jurang keupayaan yang wujud apabila berdepan dengan sasaran berkelajuan tinggi di altitud yang mencecah ruang hampir ke orbit.
Idea untuk membangunkan sistem sekompleks S-500 ini bermula seawal dekad pertama tahun 2000-an apabila pihak tentera dan pembuat dasar pertahanan Rusia mula sedar bahawa landskap peperangan udara dan ruang angkasa telah berubah dengan mendadak berikutan kemunculan teknologi pesawat pejuang generasi kelima, dron pemintas, senjata hipersonik dan peluru berpandu balistik yang mampu menyerang dari altitud dan kelajuan luar jangkaan.
Pembangunan rasmi S-500 dikatakan bermula secara intensif sekitar tahun 2009 hingga 2010, diterajui oleh syarikat pertahanan Almaz-Antey yang juga terkenal sebagai tulang belakang industri sistem peluru berpandu Rusia sejak era Kesatuan Soviet lagi.
Falsafah utama pembangunan S-500 adalah untuk mencipta satu sistem berlapis yang mampu melindungi ruang udara Rusia daripada pelbagai spektrum ancaman serentak, termasuk peluru berpandu balistik antara benua, satelit orbit rendah yang mungkin digunakan untuk tujuan ketenteraan, pesawat pejuang stealth generasi baharu, peluru berpandu jelajah berkelajuan tinggi dan aset hipersonik lain yang kini menjadi perlumbaan senjata di antara kuasa besar dunia.
Antara keupayaan teknikal yang sering diperkatakan mengenai S-500 adalah jarak pintasannya yang dikatakan boleh mencecah sehingga 600 kilometer untuk sasaran balistik, dengan altitud operasi mencecah 200 kilometer dari permukaan bumi, membolehkan ia berfungsi pada lapisan atmosfera atas sehingga ke ruang hampir orbit rendah.
Ia menjadikan S-500 bukan sekadar sistem pertahanan udara biasa tetapi satu sistem peluru berpandu pertahanan pelbagai domain (multi-domain) yang mampu berfungsi sebagai perisai strategik terhadap serangan nuklear jarak jauh.

Untuk mencapai keupayaan seumpama itu, S-500 menggunakan peluru berpandu interceptor seperti 77N6-N dan 77N6-N1, yang dikembangkan khusus untuk memintas peluru berpandu balistik antara benua dan satelit orbit rendah.
Selain itu, sistem radar dan pengurusan tempurnya juga direka dengan teknologi phased array terkini yang mampu mengesan dan menjejak sehingga 10 sasaran balistik bergerak serentak pada kelajuan mencecah 7 kilometer sesaat, satu angka yang mencerminkan betapa seriusnya ancaman peluru berpandu berteknologi canggih.
Secara konsep, S-500 tidak berdiri sendiri tetapi disusun dalam ekosistem pertahanan udara berlapis Rusia yang merangkumi sistem S-400, S-300V4, serta sistem peluru berpandu anti-balistik A-135 dan A-235 yang menjadi benteng terakhir melindungi kawasan-kawasan strategik seperti Moscow dan pusat pemerintahan tentera.
Ini menjadikan S-500 sebahagian daripada strategi Anti-Access/Area Denial (A2/AD) Rusia bertujuan menghadkan kebebasan operasi pesawat musuh di kawasan sensitif, terutama ketika ancaman pesawat stealth dan senjata hipersonik Barat semakin mendapat tempat dalam doktrin tentera NATO dan Amerika Syarikat.
Selepas lebih sedekad fasa pembangunan, S-500 mula diumumkan memasuki fasa pengeluaran terhad pada tahun 2021, dengan penghantaran pertama difokuskan kepada unit Angkatan Aeroangkasa Rusia untuk melindungi sasaran strategik bernilai tinggi.
Walaupun sistem ini masih dalam proses pengoperasian penuh dan belum lagi digerakkan secara meluas ke seluruh wilayah Persekutuan Rusia, beberapa sumber pertahanan Rusia memberi bayangan bahawa S-500 juga berpotensi untuk ditawarkan kepada beberapa negara rakan strategik yang boleh dipercayai, namun dengan versi eksport yang dijangka akan diturunkan tahap sensitiviti teknologinya.
Bagaimanapun, penjualan ke luar negara dijangka sangat terhad dan dikawal ketat memandangkan S-500 merupakan salah satu lapisan kritikal dalam rangkaian kawalan pertahanan nuklear strategik Rusia.
Perkara ini juga berkait rapat dengan faktor geopolitik semasa di mana perlumbaan senjata hipersonik kini menjadi tumpuan utama di kalangan kuasa besar dunia.
Sebagai contoh, Amerika Syarikat sedang mempercepatkan program pembangunan sistem peluru berpandu hipersonik serta platform stealth generasi baharu, manakala China pula dilaporkan semakin aktif dalam meningkatkan keupayaan pencegahan strategiknya melalui senjata hipersonik dan satelit orbit rendah.
Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa era peperangan moden bukan lagi tertumpu kepada pertempuran konvensional semata-mata tetapi turut melibatkan penguasaan ruang udara berlapis dan ruang angkasa rendah.

Dalam konteks ini, kemunculan S-500 menjadi bukti bagaimana Rusia berusaha mengekalkan kelebihan asimetri dalam bidang pertahanan udara, yang sejak era Soviet lagi terkenal dengan sistem pertahanan udara jarak jauh mereka seperti S-75, S-200, S-300 sehingga ke S-400 yang banyak menarik minat pembeli luar seperti Turkiye, India dan China.
Sebagai rujukan, S-400 sendiri telah menimbulkan polemik geopolitik apabila India dan Turkiye tetap membeli sistem itu walaupun diancam sekatan di bawah undang-undang CAATSA oleh Amerika Syarikat.
Dengan keupayaan S-500 yang jauh melangkaui S-400, banyak pemerhati ketenteraan percaya bahawa jika Rusia benar-benar mengeksport sistem ini, ia akan menjadi ‘game changer’ dalam pasaran senjata strategik global, sekaligus berpotensi menggugat dominasi teknologi sistem anti-balistik Amerika Syarikat seperti THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) dan Aegis BMD.
Selain kelebihan teknikal, S-500 turut dilengkapi rekaan modular yang membolehkan ia diintegrasikan dengan pelbagai pelantar pelancaran mudah alih, radar berprestasi tinggi dan pusat kawalan tempur yang saling berkait menerusi rangkaian komunikasi data selamat.
Pendekatan modular ini membolehkan S-500 ditempatkan secara fleksibel di lokasi berbeza mengikut keperluan operasi, sama ada untuk melindungi kemudahan infrastruktur strategik, pangkalan tentera, ibu kota, mahupun aset nuklear yang memerlukan lapisan pertahanan udara paling kebal.
S-500 juga dilihat sebagai sebahagian daripada transformasi Angkatan Aeroangkasa Rusia dalam menyesuaikan diri dengan ancaman senjata masa depan yang kian mencabar.
Penggunaan radar dengan teknologi phased array, automasi kawalan penembakan berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta keupayaan sambungan rangkaian dengan sistem lain menjadikan Prometheus sebuah platform peluru berpandu interceptor multi-misi yang sukar dicabar.
Secara keseluruhannya, S-500 Prometheus adalah simbol bagaimana Rusia berusaha mengekalkan status sebagai salah satu kuasa besar ketenteraan yang mampu melindungi ruang udara dan ruang angkasa berhampiran mereka daripada sebarang percubaan pencerobohan oleh kuasa luar.
Sistem ini juga memberi mesej yang jelas bahawa dalam dunia yang semakin terdedah kepada ancaman senjata hipersonik dan peluru berpandu generasi baharu, hanya teknologi pertahanan berlapis, modular, dan bersepadu mampu memberi jaminan keselamatan strategik yang berkesan.
Seiring dengan kemajuan teknologi radar, peluru berpandu inteceptor dan rangkaian kawalan tempur, masa depan sistem pertahanan udara seperti S-500 mungkin akan terus berkembang menjadi elemen penting dalam doktrin ketenteraan mana-mana negara yang mahu melindungi kedaulatan ruang udaranya daripada serangan mendadak jarak jauh.
