Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sebuah Lagi Kapal Pengawal Pantai China Dikesan Memasuki Perairan ZEE Malaysia Hari Ini

Kemasukan sebuah lagi kapal pengawal pantai China dengan no pennant 5302 ke dalam perairan ZEE Malaysia itu dinyatakan menerusi posting pemerhati Laut China Selatan, Ray Powel di platform X di @GordionKnotRay hari ini.

0 10,149
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah lagi kapal pengawal pantai China dikesan memasuki kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, berkemungkinan menyertai beberapa buah kapal milik negara itu yang dikesan berada dalam perairan ZEE negara beberapa hari lalu.
Kemasukan sebuah lagi kapal pengawal pantai China dengan no pennant 5302 ke dalam perairan ZEE Malaysia itu dinyatakan menerusi posting pemerhati Laut China Selatan, Ray Powel di platform X di @GordionKnotRay hari ini.
Ray Powell juga adalah Pengarah di SeaLlight.Live dan hos bersama di rancangan podcast @IndoPacPodcast
Menurut beliau, kapal pengawal pantai China 5302 sepanjang 99 meter sebelum itu dikesan meninggalkan perairan ZEE Indonesia dan memasuki perairan ZEE milik Vietnam di kawasan yang diketahui kaya dengan sumber-sumber minyak dan gas.
Selepas berada di perairan ZEE Vietnam, kapal pengawal pantai China 5302 itu dikesan memasuki kawasan perairan ZEE Malaysia, katanya.
China
Aplikasi penjejakan kapal menunjukkan kehadiran kapal pengawal pantai China dalam perairan ZEE Malaysia. (kredit Ray Powell)
Pada 7 Sept lalu, Powel menerusi posting dalam platform X miliknya juga menyatakan kehadiran sebuah kapal penyelidik/survei milik China, Ke Xue San Hao berhampiran Terumbu Ubi (Ardasier Bank) yang terletak di dalam kawasan perairan ZEE Malaysia di Laut China Selatan.
Terumbu Ubi itu terletak kira-kira 150 Batu Nautika daripada Kota Kinabalu, yang jelas berada di dalam perairan ZEE Malaysia sebagaimana ditetapkan oleh United Nations Conventions on the Law of the Sea (UNCLOS).
Ray Powell menyatakan kehadiran kapal penyelidik China itu telah menarik perhatian kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sundang dan KD Selangor serta sebuah kapal milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim), KM Arau.
Kapal-kapal TLDM dan Maritim Malaysia berkekemungkinan sedang melakukan “shadow” terhadap kapal penyelidik China itu.
Kapal penyelidik milik China itu memasuki perairan ZEE Malaysia untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan berkaitan sumber-sumber asli dasar laut termasuk minyak dan gas, selepas melakukan kerja-kerja yang sama di perairan ZEE Vietnam dan Filipina.
Ke Xue San Hao
Kapal penyelidik China, Ke Xue San Hao yang dikesan berada di Terumbu Ubi.
Ketika berada di perairan ZEE Filipina, kapal penyelidik China itu telah diberikan “kawalan” oleh kapal pengawal pantai negara itu yang dikenali dengan panggilan “The Monster” kerana saiznya yang besar, mencecah berat 12,000 tan.
Kapal penyelidik Ke Xue San Hao itu dibina pada tahun 2006 dan direkabentuk oleh Marine Design and Research Institute of China serta dibina oleh Wuchang Shipbuilding Industry Co.
Kapal penyelidik milik China Institute Oceanology itu dilengkapi dengan teknologi canggih yang membolehkannya melakukan kajian marin yang menyeluruh.
Beberapa hari sebelum kehadiran kapal penyelidik China di Terumbu Ubi itu , Powell menerusi menyatakan dalam platform X turut tentang kehadiran  tiga buah kapal pengawal pantai China di kawasan perairan ZEE milik Malaysia di Laut China Selatan.
Terumbu Ubi
Terumbu Ubi (Ardasier Bank) milik Malaysia
Ketiga-tiga buah kapal pengawal pantai China itu yang dikesan berada di dalam perairan ZEE Malaysia di Laut China Selatan itu dikenalpasti CCG 5403, CCG 5102 dan CCG 5402.
Aplikasi penjejakan kapal menunjukkan kapal-kapal pengawal pantai China CCG 5403 dan CCG 5102 dipercayai berada berhampiran dengan kawasan pembangunan gas Kasawari yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Blok 316 yang jelas berada di dalam kawasan perairan ZEE milik Malaysia.
Petronas Carigali, anak syarikat penuh Petronas merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dan adalah operator Lapangan Gas Kasawari itu yang dianggarkan bernilai berbillion-billion ringgit. — DSA
 
 
Comments
Loading...