Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Kerah Kapal Selam “Black Hole” Ke Pasifik. Memburu Kapal Selam Amerika?

“Pengoperasian kapal selam penyerang diesel-elektrik “Ufa” ke Asia Pasifik adalah amat penting kerana rantau ini telah menjadi arena konfrontasi di antara kuasa-kuasa besar dunia terutamanya membabitkan China dan Amerika Syarikat,” menurut agensi berita Russia, Izvestia.

0 10,929

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia telah mengerah “Ufa”, salah sebuah kapal selam penyerang (attack submarine) paling baru dan paling senyap miliknya ke Armada Pasifik, untuk beroperasi di wilayah yang kini menyaksikan “persaingan hebat” aset-aset bawah permukaan di antara Amerika Syarikat dan China.

“Ufa” salah sebuah daripada enam buah kapal selam penyerang Projek 636.3 milik Russia digelar “Black Hole” dalam armada kapal selam Russia kerana tahap senyapnya, telah ditauliahkan pada akhir tahun lepas dan kini operasinya dipindahkan daripada kawasan Laut Baltik kepada Lautan Pasifik.

Ia merupakan kapal selam diesel elektrik kelas-Kilo (improved Kilo) yang telah dinaiktaraf dan dipermodenkan dengan beberapa kemampuan terkini.

Russia menandatangani perjanjian dengan Admiralty Shipyard untuk membina enam buah kapal selam Projek 636.3, dengan kapal selam pertama telah ditauliahkan oleh tentera laut negara itu pada 2019.

“Ufa” merupakan kapal selam Projek 636.3 keempat yang telah ditauliahkan, dengan kapal selam kelima dan keenam bakal ditauliahkan pada tahun ini dan tahun depan.

Ufa
“Ufa”

 

Kapal selam “Ufa” dilaporkan adalah salah sebuah kapal selam penyerang Russia paling senyap dalam armadanya, dipanggil  sebagai “Black Hole” di dalam armada kapal selam negara kuasa besar dunia kerana kemampuannya bergerak di bawah permukaan air dalam keadaan yang amat senyap.

Berlainan dengan Amerika Syarikat yang hanya memiliki kapal selam berkuasa nuklear, Russia mengoperasikan kombinasi kapal selam konvensional dan kapal selam berkuasa nuklear.

Pada ketika Russia dilaporkan memiliki sejumlah 21 buah kapal selam penyerang berkuasa diesel-elektrik.

Penganalisis pertahanan antarabangsa menyatakan bahawa Russia memiliki aset bawah permukaan yang jauh lebih berkuasa berbanding kapal-kapal perang permukaaanya (surface fleet) dan memberikan ancaman yang jauh lebih berbahaya kepada Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya.

Pemindahan operasi kapal selam “Ufa”, salah sebuah daripada enam kapal selam Projek 636.3 daripada Laut Baltik ke Pasifik menunjukkan Russia kini sedang mempertingkatkan kemampuan bawah permukaan airnya di kawasan perairan Indo-Pasifik, bagi mengimbangi penambahan kekuatan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Ufa

“Pengoperasian kapal selam penyerang diesel-elektrik “Ufa” ke Asia Pasifik adalah amat penting kerana rantau ini telah menjadi arena konfrontasi di antara kuasa-kuasa besar dunia terutamanya membabitkan China dan Amerika Syarikat,” menurut agensi berita Russia, Izvestia.

Agensi berita Russia itu juga berkata, kehadiran kapal selam Projek 636.3 itu perlu untuk memastikan kekuatan dan kemampuan Armada Pasifik Tentera Laut negara itu pada “tahap tertentu.”

Kerahan kapal selam Projek 636.3 ke Pasifik juga dilihat sebagai usaha Russia untuk “membantu” sekutunya, China dalam menangani kemampuan bawah permukaan Amerika Syarikat dan sekutunya di perairan Indo-Pasifik.

Amerika Syarikat dan sekutunya juga dilihat sedang meningkatkan bilangan kapal-kapal selamnya yang beroperasi di Indo-Pasifik untuk menangani sikap agresif tentera China.

Virginia
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia Amerika Syarikat yang bakal diperolehi oleh Australia.

 

Menjelang tahun 2030-an,  Australia yang sebelum ini hanya mengoperasi kapal selam diesel-elektrik juga bakal memiliki kapal-kapal selam berkuasa nuklear apabila ia mula menerima kapal selam nuklear terpakai daripada Amerika Syarikat.

Australia akan membeli lima buah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia daripada Amerika Syarikat bermula pada tahun 2030 dalam perjanjian keselamatan dengan United Kingdom dan Amerika Syarikat yang juga dikenali sebagai “AUKUS” (Australia, United Kingdom, United States).

Dibawah kerjasama keselamatan dan pertahanan di antara ketiga-tiga negara itu juga, Australia juga akan menerima kapal selam berkuasa nuklear terbaru dikenali sebagai “SSN-AUKUS” yang berdasarkan kepada rekabentuk kapal selam berkuasa nuklear United Kingdom yang terbaru menggunakan teknologi propulsion nuklear Amerika Syarikat. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...