Russia “Takut” Untuk Kerah Su-57 “Felon” Ke Ukraine. Kenapa?
Menurut Kementerian Pertahanan Britain, Russia berkemungkinan besar bimbang terhadap reputasi pesawat pejuang generasi kelimanya dan tentera udara serta angkatan tenteranya jika pihak Ukraine berjaya menembak jatuh walau sebuah pesawat pejuang Su-57 itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Britain mengatakan ia hampir pasti bahawa Russia telah mengerahkan pesawat pejuang termodennya, Su-57 “Felon” untuk membantu kempen ketenteraannya di Ukraine sejak pertengahan tahun lepas
Bagaimanapun,aksi pesawat pejuang generasi kelima Russia itu amat terhad dengan hanya melancarkan peluru-peluru berpandu jarak jauh daripada dalam ruang udara negara itu sendiri tanpa perlu memasuki ruang udara Ukraine.
Russia sememangnya sengaja menghadkan penglibatan pesawat pejuang tercanggihnya pada konflik Ukraine, di atas beberapa sebab.
Sehingga kini, kempen udara Russia di Ukraine diketuai oleh pesawat-pesawat pejuangnya seperti Su-30, Su-34, Su-25 dan lain-lain.
Pesawat pejuang paling moden Russia yang telah terlibat secara langsung dalam kempen udara di Ukraine adalah Su-35 dan itu pun beberapa buah daripadanya telah berjaya ditembak jatuh sama ada oleh pesawat pejuang Ukraine atau sistem pertahanan udara.
Tentera Udara Russia terima kumpulan kedua pesawat pejuang Su-57.. pic.twitter.com/gCgrxP1q6x
— Defence Security Asia (@defence_asia) December 28, 2022
Keputusan menghadkan penggunaan Su-57 itu, dengan hanya membenarkannya beraksi di dalam ruang udara Ukraine itu adalah untuk mengurangkan risiko/bahaya terhadap pesawat pejuang itu sendiri.
Menurut Kementerian Pertahanan Britain, Russia berkemungkinan besar bimbang terhadap reputasi pesawat pejuang generasi kelimanya dan tentera udara serta angkatan tenteranya jika pihak Ukraine berjaya menembak jatuh walau sebuah pesawat pejuang Su-57 itu.
Penembakan jatuh Su-57 milik Russia oleh Ukraine boleh dianggap sebagai kejayaan “perhubungan awam” oleh Kiev,selain merendahkan lagi moral anggota tentera Russia serta keseluruhan rakyat negara itu tentang kempen ketenteraan di negara jirannya itu.
Ia akan hanya meningkatkan tekanan terhadap Presiden Vladimir Putin supaya mencari jalan damai di Ukraine.
Pihak Russia juga bimbang akan prospek eksport pesawat pejuang generasi kelima, Su-57 kepada pasaran-pasaran berpotensi di seluruh dunia, sekiranya pihak Ukraine berjaya menembak jatuh pesawat Su-57.
Selain, Moscow juga bimbang teknologi-teknologi yang sensitif yang ada pada pesawat generasi kelima miliknya itu akan jatuh ke tangan Ukraine dan sekutu Barat, sekiranya pesawat Su-57 itu berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara atau pesawat pejuang milik Kiev.
Itulah “kebimbangan-kebimbangan” yang menghantui pihak Russia sehingga menyebabkan Moscow enggan membenarkan pesawat pejuang termodennya terlibat secara langsung di dalam konflik di Ukraine atau memasuki ruang udara negara jirannya.
Pada 2018, Russia telah mengerah beberapa buah pesawat Su-57 ke Syria, dengan beberapa laporan mengatakan Moscow tidak berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pesawat pejuang terbabit.
Sebab lain mengapa Moscow enggan mengerahkan Su-57 ke Ukraine adalah kerana bilangan pesawat pejuang itu di dalam Tentera Udara Russia (VKS) masih rendah.
Walaupun pesawat generasi kelima Russia, Su-57 telah melakukan penerbangan sulungnya pada 2010 iaitu kira-kira 13 tahun dahulu yang lepas, namun bilangan pesawat pejuang termoden Russia di dalam tentera udara negara itu pada ketika ini adalah amat mengecewakan.
Tentera Udara Russia hanya menerima pesawat pejuang yang pertama pada tahun 2020.
Sehingga kini, tidak diketahui bilangan sebenar pesawat Su-57 yang dimiliki oleh Tentera Udara Russia pada ketika ini, walaupun pemerhati menganggarkan negara itu memiliki tidak lebih daripada 10-15 buah pesawat terbabit.
Mengapa pengeluaran pesawat Su-57 untuk Tentera Udara Russia itu amat perlahan? Adakah Russia berhadapan dengan masalah untuk mengeluarkan lebih banyak pesawat pejuang terbabit yang direka untuk bersaing dengan F-35 dan F-22 buatan Amerika Syarikat?
Kementerian Pertahanan Russia menjangkakan bahawa menjelang tahun 2024, Tentera Udara Russia akan dilengkapi dengan 22 buah pesawat Su-57 manakala pada 2028, bilangan pesawat pejuang tercanggih Moscow itu akan meningkat kepada 76 buah.
Berbanding dengan Amerika Syarikat, syarikat Lockheed Martin telah berjaya menghasilkan lebih daripada 850 buah pesawat F-35 untuk tentera udara negara itu dan tentera udara negara-negara sekutunya yang lain.
Su-57 sepatutnya menjadi pesawat kepada F-35 dan F-22, tetapi nampaknya pembangunan pesawat generasi kelima Russia itu masih berhadapan dengan pelbagai masalah. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments are closed.