Russia Lengkapi Kit Panduan UMPK Bom-Bom Luncur (Glide) Dengan Sistem Anti-Jamming Kometa
Sistem anti-jamming Kometa itu kini adalah menjadi sebahagian daripada kit panduan Universal Glide and Correction Module (UMPK) (Unifitsirovannyi Modul Planirovaniya i Korrektsii) yang berfungsi untuk digunakan untuk mengubahsuai bom-bom bodoh, tidak berpanduan kepada bom-bom pintar.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Russia dilaporkan telah menaiktaraf bom-bom luncur (glide bomb) yang terbukti berkesan dalam konfliknya di Ukraine dengan sistem anti-jamming dikenali sebagai Kometa (Comet) bertujuan membolehkan bedilan bom-bom itu untuk menjadi lebih tepat.
Sistem anti-jamming Kometa itu kini adalah menjadi sebahagian daripada kit panduan Universal Glide and Correction Module (UMPK) (Unifitsirovannyi Modul Planirovaniya i Korrektsii) yang berfungsi untuk digunakan untuk mengubahsuai bom-bom bodoh, tidak berpanduan kepada bom-bom pintar.
Kit UMPK—yang berfungsi seperti JDAM (Joint Direct Attack Munition) versi buatan tempatan—bertindak menukar bom bodoh seberat 250kg hingga 500kg menjadi bom pandu pintar dengan sayap dan sistem navigasi.
Sistem anti-jamming Kometa yang dilengkap pada kit UMPK digunakan oleh bom-bom luncur Russia itu telah meningkatkan ketepatan sistem navigasi digunakan untuk memandu (guide) bom-bom itu ke sasaran dengan menjadikannya lebih sukar untuk sistem peperangan elektronik (EW) musuh untuk menganggunya.
Laporan juga menyatakan bahawa sistem anti-jamming Kometa itu turut dilengkapkan pada dron berani mati Shahed-136 bagi membolehkannya mengatasi ancaman oleh sistem peperangan elektronik Ukraine untuk “memperbodohkan”sistem navigasinya.
Sistem anti-jamming Kometa menggunakan 12 saluran antenna untuk mengesan dan menepis signal-signal yang palsu dihasilkan oleh sistem peperangan elektronik musuh,sekaligus memastikan sistem navigasi yang dilengkapkan pada kit UMPK miliknya tidak terganggu dan meneruskan misinya untuk membedil sasaran yang telah ditetapkan.
Sistem UMPK yang digunakan oleh Russia pada bom-bom luncurnya itu menggunakan sistem navigasi hybrid kerana ia menggabungkan panduan oleh Satellite Navigation System (SNS) dan juga Inertial Navigation System (INS).

Sekiranya ia sistem panduan satellite miliknya terputus atau terganggu akibat serangan-serangan elektronik musuh, bom-bom luncur yang dilengkapi dengan kit panduan UMPK tetap meneruskan misinya ke sasaran dengan menggunakan sistem navigasi Inertial.
Sebelum ini terdapat laporan bahawa pihak tentera Ukraine telah membangunkan sistem peperangan elektronik yang baru dikenali sebagai “Lima” yang berkemampuan menganggu sistem navigasi satelit bom-bom luncur Russia yang dilengkapi dengan kit panduan UMPK.
Sistem peperangan elektronik “Lima” Ukraine itu menggunakan kombinasi jamming, spoofing dan gangguan siber untuk mengurangkan dengan signifikan ketepatan bom-bom luncur Russia yang dilengkapi dengan kit panduan UMPK itu.
Mengikut pihak yang membangunkan “Lima” itu, sistem peperangan elektronik itu menggunakan teknik Digital Suppression yang lebih berkesan dalam menggangu sistem navigasi kit panduan UMPK bom-bom luncur Russia itu.
Menurut penganalisis tentera, tentera Russia dijangka akan meningkatkan lagi penggunaan bom-bom luncur dilengkapi dengan kit panduan UMPK termasuk sistem anti-jamming Kometa dalam serangan-serangan terhadap sasaran Ukraine.
Sejak pertengahan 2023, penggunaan meluas kit panduan UMPK (Унифицированный Модуль Планирующей Корректируемой бомбы) oleh Tentera Udara Russia telah memberi impak ketara dalam memperkukuh keupayaan serangan udara mereka terhadap kedudukan tentera Ukraine.

Kit panduan UMPK telah membolehkan pesawat pejuang dan pengebom Tentera Udara Russia (VKS) meningkatkan ketepatan dan keupayaan serangan jarak jauh mereka dengan ketara.
Menurut Institut Kajian Peperangan (Institute for the Study of War), bom-bom luncur itu adalah bom yang telah diubahsuai daripada bom-bom yang biasa digunakan oleh Tentera Udara Russia seperti FAB-250, FAB-500 dan FAB-1500 dengan melengkapkannya dengan kit peluncuran dan pembetulan UMPK.
Menurut institut terbabit, bom-bom luncur itu bukan sahaja dilengkapi dengan kit UMPK tetapi ia juga dilengkapi sistem panduan laser dan juga sistem panduan satelit untuk meningkatkan ketepatan bedilannya sehingga ke jarak 16 kaki berbanding 160 kaki sebelum ini.
Kesemua bom luncur yang lebih pintar itu boleh digugurkan oleh pesawat-pesawat pejuang Su-30, Su-34 dan Su-35.
“Bom-bom luncur terbabit boleh ‘terbang’ sejauh hampir 200km sebaik sahaja ia digugurkan oleh pesawat-pesawat pejuang ke sasaran yang mahu dibedilnya,” kata institut itu sambil menambah, dengan jarak sebegitu, pesawat terbabit dapat mengelak daripada dibedil oleh sistem pertahanan udara Ukraine seperti NASAM dan IRIS-T.
Keupayaan untuk mengugurkan bom luncur dilengkapi kit panduan UMPK dari jarak luar jangkauan pertahanan musuh memberi Tentera Russia kelebihan taktikal dalam misi sokongan udara rapat (CAS), serangan ke atas logistik musuh, serta sasaran berkepentingan tinggi tanpa menanggung risiko besar kepada juruterbang dan platform udara.

Serangan menggunakan bom berpandu UMPK turut menunjukkan peningkatan ketepatan dalam memusnahkan jambatan, depot senjata, titik perhimpunan pasukan Ukraine dan pusat komunikasi, termasuk di kawasan padat kawalan pertahanan udara seperti Avdiivka, Kupiansk dan Kharkiv.
Institut itu memberikan contoh bagaimana bom luncur yang menggunakan bom FAB-250 dengan berat 100kg boleh menyebabkan kemusnahkan pada radius 400 kaki manakala bagi bom FAB-500 pula dengan berat 500kg, radius kemusnahannya adalah 800 kaki.
Bagi bom FAB-1500 pula dengan berat lebih 1,500kg pula, radius kemusnahan akibat bedilannya adalah 1,600 kaki.
“Dengan bom FAB-1500 yang dilengkapi dengan kit UMPK, ia boleh menyebabkan kemusnahan terhadap kubu-kubu bawah tanah sedalam kira-kira 20 meter daripada permukaan tanah,”kata penganalisis sambil menambah bahawa adalah amat sukar bagi sistem pertahanan udara Ukraine untuk menangani bom-bom luncur dilengkapi dengan kit UMPK itu.
Sistem-sistem pertahanan udara sebagaimana dioperasikan oleh tentera Ukraine tidak dibangunkan untuk menangani bom-bom luncur yang asalnya adalah bom-bom “bodoh” tanpa sebarang sistem panduan dan dibawa oleh pesawat pejuang Russia.
