Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Nuklear Russia Semakin Kerap Muncul Di Perairan Pesisir Amerika Syarikat

Sebagaimana dilaporkan oleh Newsweek, peningkatan kekerapan kemunculan kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di pesisir pantai Amerika Syarikat sebagaimana dinyatakan oleh pegawai kanan tentera negara itu, sememangnya mengancam keselamatan negara ini.

0 7,000

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai-pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat menyuarakan “kebimbangan” mereka tentang peningkatan kekerapan “kemunculan” kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di kawasan perairan pesisir negara itu sejak kebelakangan ini.

Sebagaimana dilaporkan oleh media Amerika Syarikat, peningkatan kekerapan kemunculan kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di pesisir Amerika Syarikat  sebagaimana dinyatakan oleh pegawai kanan tentera negara itu,  sememangnya mengancam keselamatan negara ini.

Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat, peningkatan kekerapan “kemunculan” kapal-kapal berkuasa nuklear Russia di pesisir negara itu berlaku, walaupun Moscow sedang berhadapan dalam konflik dengan Ukraine.

Pengarah Russia Maritime Studies Institute (RMSI) Michael Peterson yang pakar berkenaan kemampuan maritim Russia berkata terdapat banyak petanda bahawa Russia telah meningkatkan kerahan kapal-kapal selam berkuasa nuklearnya ke kawasan perairan pesisir Amerika Syarikat.

Kerahan kapal-kapal selam konvensional dan berkuasa nuklear itu bukan sahaja disasarkan kepada kawasan-kawasan pesisir  Amerika Syarikat tetapi juga di Mediterranean dan juga di sekitar Eropah.

Kazan
Kapal selam kelas-Yasen “Kazan” .

 

Apa yang dilakukan oleh Moscow pada ketika ini kata penyelidik itu,adalah sama sebagaimana dilakukan oleh Kesatuan Soviet ketika ketegangan pada zaman Perang Dingin.

Strategi Russia itu semakin jelas ketika Presiden Russia Vladimir Putin dan pucuk pimpinan tentera mentauliahkan beberapa aset tentera dasar lautnya termasuk kapal selam berkuasa nuklear terbarunya, Generalissimus Suvorov yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu nuklear.

Menurut presiden Russia itu, negara itu akan membina lebih banyak kapal selam berkuasa nuklear bagi “memastikan keselamatan negara itu untuk berdekad akan datang.”

Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991, Russia tanpa penat dan lelah telah berusaha untuk memperkuatkan lagi armada kapal selam berkuasa nuklearnya.

Di dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Moscow telah membangunkan beberapa jenis kapal selam berkuasa nuklear yang mampu menyelam ke lokasi-lokasi strategik di Amerika Syarikat dan Eropah.

Pyotr Velikiy
Kapal kruiser “Pyotr Velikiy” sedang mengiringi sebuah kapal selam Russia.

 

Dengan anggaran pemilikan 58 buah kapal selam berkuasa nuklear terdiri daripada beberapa kelas, aseet-aset dasar laut berkuasa nuklear Russia itu mampu dikerah ke mana-mana lokasi dunia termasuk ke perairan pesisir Amerika.

Tindakan tentera Russia mengerah kapal-kapal selam untuk membuat kemunculan di perairan pesisir Amerika itu dianggap sebagai tindakan mencabar komander-komander tentera laut Amerika Syarikat serta sedikit-sebanyak mengikis pengaruh ketenteraan Washington.

Pada Oktober tahun lepas, pengarah US Northern Command dan NORAD, Jeneral Glen VanHerck mengeluarkan amaran peningkatan kehadiran kapal-kapal selam berkuasa nuklear “Severodvinsk” di kawasan perairan pesisir  Amerika Syarikat.

Pegawai-pegawai kanan tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa Russia merupakan ancaman terbesar bagi tentera negara itu.

“Mereka baru sahaja memindahkan kapal selam mereka (kelas-Severodvinsk) ke Pasifik.”

Northumberland
Kapal selam kelas-Yasen terbaru Tentera Laut Russia iaitu “Kazan”

 

Komander Pejabat Perisikan Tentera Laut Amerika Syarikat Laksamana Michael Studeman pula dilaporkan berkata bahawa kapal selam kelas-Severodvinsk” atau kelas-Yasen adalah amat berbahaya.

“Kapal-kapal selam (kelas-Severodvinsk) adalah amat-amat moden dan mempunyai kemampuan yang pelbagai. Kapal selam itu amat aktif,” kata Studeman sambil menambah bahawa kapal-kapal selam Russia telah mula meronda di perairan Eropah, sekaligus membahayakan kepentingan Amerika Syarikat.

Kapal-kapal selam Russia juga berada di perairan di Pasifik dan Atlantik.

Studeman berkata, mengesan dan menjejak kapal-kapal selam Russia itu merupakan “ancaman dua serampang” bagi Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.– DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...