Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ruang Udara Asia Tenggara Semakin “Sibuk” Dengan Kemasukan Rafale, F-35B, Gripen E/F, F-15EX

Bermula daripada tahun depan dan bakal berlanjutan sehingga tiga atau empat tahun akan datang, ruang udara Asia Tenggara akan “sibuk” dengan kehadiran pesawat-pesawat pejuang baru seperti JAS39 Gripen E/F (Thailand), Rafale dan kemungkinan F-15EX (Indonesia), Gripen atau F-16 (Filipina) serta F-35B (VSTOL) oleh Tentera Udara Republik Singapura.

0 8,885
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan beberapa negara Asia Tenggara memperolehi pesawat-pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft) di dalam beberapa tahun kebelakangan ini dijangka akan meningkatkan lagi “tekanan” kepada Malaysia untuk memperolehi pesawat pejuang MRCA yang baru, bertujuan untuk  “bersaing” dengan pesawat-pesawat pejuang yang lebih baru milik negara-negara jirannya.
Bermula daripada tahun depan dan bakal berlanjutan sehingga tiga atau empat tahun akan datang, ruang udara Asia Tenggara akan “sibuk” dengan kehadiran pesawat-pesawat pejuang baru seperti JAS39 Gripen E/F (Thailand), Rafale dan kemungkinan F-15EX (Indonesia), Gripen atau F-16 (Filipina) serta F-35B (VSTOL) oleh Tentera Udara Republik Singapura.
Malah Filipina pun dijangka akan membuat keputusan pada tahun ini tentang pilihan pesawat pejuang MRCA, dengan persaingan adalah terbuka di antara dua calon utamanya iaitu – JAS39 Gripen dan F-16 Block 70 serta pesaing terbaru, KF-21 “Boramae” dibangunkan oleh Korea Industries Aerospace (KAI).
Myanmar pula baru sahaja selesai menerima kesemua enam pesawat pejuang Su-30 buatan Russia manakala Vietnam juga sedang berkira-kira untuk memperolehi pesawat pejuang baru, bagi bergandingan dengan Su-30 miliknya pada ketika ini.
Kemasukkan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 dan generasi kelima ke dalam inventori tentera udara Asia Tenggara dijangka akan meningkatkan tekanan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-4 milikinya iaitu Su-30MKM dan F/A-18D Legacy Hornet.
Su-30MKM
Pesawat Su-30MKM melancarkan peluru berpandu pada Eksesais ABABIL 2021. (gambar TUDM)
F-15EX
F-15EX
TUDM memiliki 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM buatan Russia dan lapan buah pesawat pejuang F/A-18D buatan Amerika Syarikat.
Jika TUDM berjaya memiliki lebih daripada 30 buah pesawat pejuang terpakai F/A-18/C/D milik Tentera Udara Kuwait, maka ia sedikit sebanyak dapat menampung “kekurangan” aset dialami oleh TUDM pada ketika ini, namun ia masih bergantung kepada pentadbiran terkini Washington.
Walaupun pada Mei 2023, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak berniilai RM4 billion untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang FA-50M (FA-50 Block 20) daripada gergasi aeroangkasa Korea Selatan, KAI, namun FA-50M adalah dikategorikan sebagai pesawat pejuang ringan (light combat aircraft).
Walaupun varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM adalah varian paling berkeupayaan, namun ia tetap pesawat pejuang ringan dan bukan pesawat pejuang MRCA.
Malaysia mempunyai perancangan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang F/A-18D Legacy Hornet pada tahun 2035 manakala bagi pesawat pejuang Su-30MKM, pihak TUDM menerusi program CAP55 merancang untuk menamatkan perkhidmatannya pada 2040.
Walapun pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM dan F/A-18D Legacy Hornet itu telah dinaiktaraf menerusi kerja-kerja Mid-Life Upgrade (MLU), tetapi persoalan tetap timbul sama ada dikalangan pemerhati atau orang awam, sama ada pesawat-pesawat pejuang TUDM itu boleh bersaing dengan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 dan kelima milik negara-negara Asia Tenggara yang jauh lebih baru.
Saab Group
JAS39 Gripen-E Multi Role Combat Aircraft
F-35B
F-35B Vertical Short Take-Off Landing (VSTOL)

 

Sebab itulah, TUDM dipercayai berdepan dengan tekanan untuk kembali “menyeimbangkan” kuasa udara Asia Tenggara dengan mula menilai pesawat-pesawat MRCA untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM dan F/A-18D Legacy Hornet.
Pada ketika ini, terdapat laporan yang tidak dapat disahkan bahawa TUDM dan Kementerian Pertahanan berkemungkinan mempercepatkan usaha perolehan pesawat-pesawat pejuang MRCA berikutan keadaan geo-politik serantau dan antarabangsa yang tidak menentu.
Dengan bermulanya Rancangan Malaysia ke-13 pada tahun depan, Kementerian Pertahanan dipercayai telah memulakan usaha-usaha awal untuk mengenalpasti pesawat-pesawat pejuang MRCA yang mahu diperolehinya pada tempoh 2035 hingga 2040.
Pesawat-pesawat pejuang MRCA baru yang bakal diperolehinya itu dilaporkan adalah daripada generasi kelima, dengan spekulasi menyatakan antara pencabar utamanya adalah KF-21 Boramae yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) dan juga Su-57 Felon buatan Russia.
 Walaupun KF-21 Boramae itu adalah pesawat pejuang generasi 4.5, namun KAI bercadang meningkatkannya kepada pesawat pejuang generasi kelima pada varian lanjutan pesawat pejuang itu.
KF-21
KF-21 Boramae
FA-50
FA-50
Pada ketika ini, keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara terutamanya membabitkan TUDM dengan tentera-tentera udara negara Asia Tenggara yang lain telah berubah dengan beberapa negara terutamanya negara-negara jiran, Indonesia dan Singapura mula “meninggalkan” Malaysia menerusi perolehan pesawat-pesawat pejuang Rafale dan F-35B (Vertical Short Take-Off Landing).
Jika kerajaan dan TUDM tidak bertindak dengan pantas, maka “capability gap” dalam keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara itu akan lebih melebar apabila negara-negara lain di Asia Tenggara mempeolehi pesawat-pesawat pejuang yang lebih baru dan lebih berkeupayaan.
Ini tidak termasuk lagi cabaran dihadapi pesawat-pesawat pejuang TUDM apabila bertugas di Laut China Selatan, dengan kemungkinan pertembungan dengan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5, kelima dan kini ke-enam milik Tentera Udara China .
Sebagaimana telah pun diketahui sebelum ini, China telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya J-20 “Mighty Dragon” untuk melakukan rondaan di Laut China Selatan. 
Dan bermula pada 2030 dan tahun-tahun seterusnya, China dijangka akan memperkenalkan pula pesawat-pesawat pejuang generasi keenamnya, CAC J-36 dan juga Shenyang J-50 yang sedang diuji pada ketika ini di medan operasi, berkemungkinan juga di Laut China Selatan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.