Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Radar Jarak Jauh AN/TPS-77 Di Labuan Sudah Beroperasi Disember Tahun Lepas

Pengoperasian radar jarak jauh AN/TPS-77 sumbangan kerajaan Amerika Syarikat itu memberikan negara “mata dan telinga” tambahan untuk mengawasi ruang udara di kawasan perairan Laut China Selatan.

0 2,544

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata radar jarak jauh AN/TPS-77 sumbangan kerajaan Amerika Syarikat telah pun beroperasi di Pulau Labuan pada Disember tahun lepas.

Beliau berkata, radar AN/TPS-77 buatan syarikat Lockheed Martin itu adalah untuk menggantikan radar buatan syarikat Alenia yang telah pun ditamatkan perkhidmatannya.

Radar Alenia terbabit dilucut tauliah selepas kemampuannya tidak lagi mencapai Full Mission Capability (FMC) secara optimum.

Radar Alenia di Labuan itu mempunyai kemampuan mengesan sasaran udara sejauh 250km dan ketinggian 60,000 kaki.

“Radar baharu di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bukit Kubong di sini itu, meningkatkan aset pertahanan negara dengan ketara,” kata Timbalan Menteri Pertahanan itu di Pulau Labuan, sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, Bernama semalam.

Radar itu dioperasikan oleh Skuadron 340 TUDM. Labuan adalah sebuah pulau yang terletak di Laut China Selatan.

Labuan
(TUDM)

 

Menurutnya, Kementerian Pertahanan akan terus menaik taraf aset sedia ada dan memperkenalkan teknologi baharu bagi memenuhi keperluan pertahanan negara yang semakin berkembang.

Pengoperasian radar jarak jauh itu memberikan negara “mata dan telinga” tambahan untuk mengawasi ruang udara di kawasan perairan Laut China Selatan.

Adly dalam lawatan kerja lima hari ke beberapa kem tentera di Sabah, termasuk Semporna, Sepanggar, Lok Kawi dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Semasa lawatan itu, beliau turut meninjau kerja-kerja menaik taraf yang sedang dijalankan di Aerodrome di Stesen Udara Kota Kinabalu dan menilai infrastruktur di Pulau Layang-Layang serta Littoral Mission Ship (LMS) di Pangkalan TLDM Sepanggar.

Pada Ogos tahun lepas,  Komander United States Pacific Air Forces (US PACAF) Jeneral Ken Wilsbach telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Malaysia dan beliau turut melawat tapak lokasi radar AN/TPS-77 yang terletak di Skuadron 340 Bukit Kubong di Labuan.

TUDM
 Komander United States Pacific Air Forces (US PACAF) Jeneral Ken Wilsbach turut melawat tapak lokasi penempatan radar jarak jauh sumbangan kerajaan Amerika Syarikat di Labuan pada Ogos tahun lepas.
Radar
Radar pertahanan udara jarak jauh AN/TPS-77 yang kini beroperasi di Labuan.

 

Radar pertahanan udara jarak AN/TPS-77 itu adalah sumbangan kerajaan Amerika Syarikat.

Pada 2021, Defence Security Asia telah melaporkan bahawa Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah memberikan kontrak bernilai US$25.1 juta (RM103 juta) kepada syarikat, Lockheed Martin untuk membekalkan sebuah radar pertahanan udara jarak jauh kepada Malaysia.

Kenyataan daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bertarikh Sept 24, 2021 lalu menyatakan bahawa cawangan syarikat Lockheed Martin di Liverpool, New York telah dianugerahkan kontrak bernilai US$25.1 juta untuk “Malaysia Ground Based Radar System.”

Kos untuk membekalkan radar jarak jauh untuk kerajaan Malaysia itu dibiayai menerusi peruntukan “Fiscal 2021 Building Partner Capacity Funds” oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Coverage bagi radar AN/TPS-77  ini adalah sekitar 470km atau 250 Batu Nautika, dan ia adalah sebuah radar bergerak (mobile radar) yang mampu diatur-gerak ke kawasan-kawasan lain sama ada menggunakan pesawat C-130 Hercules, trak atau keretapi. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...