Program Pembangunan JF-17 PFX (Pakistan Fighter Experimental) Didedah
Program pembangunan JF-17 Pakistan Fighter Experimental (PFX) ini akan memastikan pesawat pejuang itu mencapai tahap lebih tinggi daripada segi keupayaan berbanding varian JF-17 Block III, yang merupakan varian paling berkemampuan dan moden pada ketika ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menyedari bahawa pesawat pejuang JF-17 “Thunder” perlu dinaiktaraf secara berterusan, maka Pakistan dan rakan pembangunan bagi pesawat itu, China telah memulakan program pembangunan dinamakan JF-17 PFX (Pakistan Fighter Experimental).
Program pembangunan JF-17 PFX ini akan memastikan pesawat pejuang itu mencapai tahap lebih tinggi daripada segi keupayaan berbanding varian JF-17 Block III, yang merupakan varian paling berkemampuan dan moden pada ketika ini.
Pesawat-pesawat pejuang JF-17 dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) daripada China
Menurut laporan media-media pertahanan, pesawat pejuang JF-17 PFX itu direncanakan akan bersaiz lebih besar dan lebih berat berbanding varian JF-17 pada masa ini, meletakkan saiz dan beratnya pada kategori yang hampir sama dengan pesawat pejuang Tejas MkII buatan India.
Pesawat pejuang JF-17 PFX itu bakal dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk sistem avionik termaju, kemampuan radar yang lebih tinggi dan kemampuan untuk membawa muatan persenjataan yang lebih, sekaligus membolehkan ia melaksanakan pelbagai misi kombat.
Walaupun maklumat terkini tentang program pembangunan pesawat pejuang JF-17 PFX itu masih sukar diperolehi kerana program ini masih lagi diperingkat awal, namun usaha dilaksanakan oleh Pakistan itu menunjukkan ia mahu memastikan tentera udaranya kekal menjadi kuasa udara di rantau.
Pesawat pejuang JF-17 PFX itu akan memastikan Tentera Udara Pakistan memiliki pesawat pejuang yang bukan sahaja mampu bersaing tetapi berpotensi mengatasi kemampuan pesawat-pesawat pejuang yang dimiliki oleh negara lain di rantau itu, seperti Tejas Mk11, Rafale dan Su-30MKI.
Pesawat pejuang JF-17 PFX akan memastikan Pakistan menangani India di dalam aspek kekuasaan udara di rantau.
Program pembangunan pesawat pejuang experimental JF-17 PFX itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan dilakukan oleh Pakistan untuk memodenkan tentera udaranya bagi mengurangkan kebergantungannya terhadap negara asing dan memastikan industri pertahanannya lebih berdikari.
Pada ketika PAC bertanggungjawab menghasilkan 58 peratus daripada airframe pesawat pejuang JF-17 manakala komponen pesawat pejuang yang selebihnya pula dihasilkan oleh rakan kongsinya daripada China itu.
Bagaimanapun, untuk memastikan pesawat pejuang JF-17 PFX itu berdaya maju pada jangka panjang , Pakistan perlu meningkatkan lagi kemampuan penghasilan pesawat dan komponen-komponennya dalam negara, sehingga ke tahap 100 peratus berdikari.
Ini akan memastikan Pakistan bukan sahaja berdikari dalam sektor aeroangkasa tetapi juga muncul sebagai pemain antarabangsa di dalam industri pertahanan dan aeroangkasa di peringkat antarabangsa.
Pada ketika ini, Tentera Udara Pakistan dipercayai memiliki sekitar 100 buah pesawat pejuang JF-17 Block I dan Block II.
Baru-baru ini, Defence Security Asia melaporkan bahawa produksi pesawat pejuang JF-17 Block 3 oleh Pakistan telah pun melebihi 20 buah dan semakin menghampiri 30 unit pesawat pejuang JF-17 Block 3 yang dipesan oleh Pakistan untuk tentera udaranya.
Pesawat pejuang JF-17 Block 3 adalah varian terkini pesawat pejuang JF-17, dimana varian terkini itu telah melakukan penerbangan sulungnya pada 2019 dan memasuki produksi bersiri (serial production) pada 2022.
Peningkatan paling utama varian terkini JF-17 itu adalah ia kini dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) KLJ-7A , Helmet Mounted Display and Sight (HMD/S) dan sistem bersepadu Electronic Countermeasures (ECM).
Bagi sistem persenjataannya, varian terkini JF-17 Block 3 berkemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15E, yang didakwa boleh membedil sasaran sejauh 145km.
Selain itu, ia juga berkemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara PL-10E High-Off Boresight yang boleh dipandu hanya menggunakan Helmet Mounted Display and Sight (HMD/S) semasa pertempuran udara Within Visual Range.
Terdapat juga laporan menyatakan bahawa varian terkini pesawat pejuang JF-17 itu kini berkeupayaan melancarkan peluru berpandu kruis lancaran udara (ALCM – Air Launched Cruise Missile) “Taimur” yang boleh digunakan terhadap sasaran statik dan bergerak termasuk kapal-kapal perang dengan jarak bedilan sejauh 280km.
Varian terkini pesawat pejuang JF-17 Block 3 dilaporkan mempunyai persamaan dengan pesawat pejuang buatan China, JF-10C yang turut digunakan oleh Tentera Udara Pakistan.
Pesawat pejuang JF-17 Block 3 juga dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”. — DSA
Comments are closed.