Presiden Putin Lancar “Perm”, Kapal Selam Terbaru Russia Dilengkapi Peluru Berpandu Hypersonik Tsirkon
Agensi-agensi berita Russia melaporkan bahawa Presiden Vladimir Putin, menerusi video link dari pelabuhan di Artik, Murmansk, telah melancarkan kapal tersebut yang dinamakan Perm, bersempena dengan nama sebuah bandar di kawasan Pergunungan Ural.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, Russia telah melancarkan kapal selam berkuasa nuklearnya yang terbaru, dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik, Tsirkon yang berkemampuan meluncur beberapa kali ganda lebih laju berbanding kelajuan bunyi.
Agensi-agensi berita Russia melaporkan bahawa Presiden Vladimir Putin, menerusi video link dari pelabuhan di Artik, Murmansk, telah melancarkan kapal tersebut yang dinamakan Perm, bersempena dengan nama sebuah bandar di kawasan Pergunungan Ural.
Dalam ucapan perasmiannya, Putin dilaporkan berkata, “Dengan ini saya luluskan!” (pelancaran kapal selam itu).
Agensi-agensi berita Russia yang memetik dokumen berkaitan pelancaran kapal selam berkuasa nuklear tersebut, melaporkan bahawa Perm merupakan kapal selam berkuasa nuklear pertama yang dilengkapi peluru berpandu hypersonik Tsirkon sebagai sistem persenjataan standard-nya.
Peluru berpandu hypersonik Tsirkon (juga dikenali sebagai Zircon) merupakan peluru berpandu generasi baru Russia yang mampu mencapai kelajuan sehingga Mach 9, iaitu sembilan kali ganda kelajuan bunyi.
Ia direka untuk menyerang sasaran di darat dan laut, dengan jarak efektif dianggarkan melebihi 1,000 kilometer.
Dengan kelajuan luar biasa dan keupayaan manuver yang tinggi, Tsirkon sukar dikesan serta dipintas oleh sistem pertahanan udara konvensional, menjadikannya antara aset strategik paling berbahaya dalam arsenal ketenteraan Russia.
Peluru berpandu hypersonik ini boleh dilancarkan dari kapal perang dan kapal selam, serta mampu membawa peledak konvensional atau nuklear.
Kapal selam Perm itu mula dibina pada 29 Julai 2016 di limbungan kapal Sevmash di Severodvinsk, Murmansk.
Pelancarannya menandakan satu lagi fasa penting dalam program pembinaan kapal selam yang sedang giat dijalankan oleh Tentera Laut Russia.
Perm dijadual ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Russia pada tahun depan.
Kapal selam Perm merupakan kapal selam ke-enam dalam kelas Yasen dan Yasen-M milik Russia yang dibina oleh limbungan kapal Sevmash, terletak berhampiran Murmansk.
Laporan agensi berita Russia menyatakan bahawa spesifikasi pembinaan kapal tersebut mempunyai sedikit perbezaan berbanding model terdahulu dalam kelas yang sama.
Semasa berada di Murmansk, Presiden Vladimir Putin turut melawat sebuah lagi kapal selam kelas yang sama, Arkhangelsk, serta melakukan lawatan ke syarikat Atomflot yang bertanggungjawab menguruskan projek kapal pemecah ais Russia.
Limbungan kapal Sevmash telah menyerahkan beberapa kapal selam kelas Yasen-M kepada Tentera Laut Russia menerusi program perolehan pertahanan negara, termasuk Kazan (2021), Novosibirsk (2021), Krasnoyarsk (2023) dan Arkhangelsk (2024).
Beberapa lagi kapal selam sedang dalam pembinaan, antaranya Ulyanovsk, Voronezh dan Vladivostok, dengan laporan menyatakan bahawa lebih banyak unit sedang dirancang, termasuk Bratsk.
Kapal selam Perm ialah sebahagian daripada kelas Yasen-M (Projek 885M), generasi terkini kapal selam serangan berkuasa nuklear Russia yang dibina untuk operasi senyap, pantas dan berkuasa tinggi.
Ia direka untuk menjalankan pelbagai misi, termasuk serangan ke atas sasaran laut dan darat menggunakan peluru berpandu hypersonik Tsirkon serta peluru berpandu kruis, Kalibr dan Oniks.
Perm dilengkapi dengan reaktor nuklear generasi baru yang membolehkan ia beroperasi secara berterusan di bawah laut selama beberapa bulan tanpa perlu timbul ke permukaan.

Kapal selam ini mampu mencapai kelajuan melebihi 30 knot (lebih 55 km/j) dan beroperasi pada kedalaman lebih 500 meter.
Ia juga mempunyai sistem akustik canggih dan keupayaan peperangan elektronik untuk meningkatkan tahap kelangsungan dalam persekitaran berisiko tinggi.
Dengan panjang lebih 130 meter dan berat anggaran sekitar 13,800 tan ketika menyelam penuh, Perm membawa gabungan torpedo, peluru berpandu dan peralatan pengawasan moden, menjadikannya antara kapal selam paling canggih dalam armada Russia.
— DEFENCE SECURITY ASIA