Pesawat Tentera Myanmar Terhempas, 12 Orang Disahkan Terbunuh Termasuk Pegawai Kanan Tentera
Kemalangan dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca yang buruk, menurut laporan media tempatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebuah pesawat pesawat milik tentera Myanmar terhempas di bandar kedua terbesar negara itu, Mandalay hari ini, mengorbankan 12 orang termasuk pegawai kanan tentera dan sami Buddha.
Kemalangan dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca yang buruk, menurut laporan media tempatan.
Kesemua pegawai tentera Myanmar dan sami Buddha yang menaiki pesawat malang itu sedang dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis keagamaan di sebuah kuil Buddha.
Pesawat tentera itu terhempas kira-kira 300 meter daripada sebuah kilang besi di Pyin Oo Lwin di Mandalay.
Menurut laporan media, pesawat tentera itu membawa enam orang krew dan lapan orang penumpang ketika kemalangan.
Dua yang terselamat dalam kemalangan pesawat itu telah dibawa ke hospital tentera berdekatan.
Rekod perkhidmatan penerbangan di Myanmar, sama ada membabitkan tentera atau awam adalah amat buruk, walaupun sebelum terjadinya rampasan kuasa tentera di negara itu pada 1 Februari lepas yang menyaksikan pemimpin pro-demokrasi negara itu Aung San Suu Kyi ditahan.
Rampasan kuasa tentera itu telah menyebabkan huru-hara di negara Asia Tenggara tersebut, menyebabkan lebih daripada 900 orang terbunuh setakat ini.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Comments are closed.