Pesawat Pejuang Gen 5 Turkiye “KAAN” Mula Uji Sistem Persenjataan Pada 2026
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) antaranya akan dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata canggih seperti peluru berpandu kruis CAKIR, TOLUN Small Diameter Bomb (SDB) dan peluru berpandu udara-ke-udara GOKDOGAN serta BOZDOGAN.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN dijangka akan mula melaksanakan ujian pengoperasian senjata-senjata dibawanya sama ada peluru berpandu atau bom-bom pintar pada tahun 2026.
Perlaksanaan ujian pengoperasian senjata pada 2026 itu adalah dua tahun sebelum pesawat pejuang KAAN yang pertama diserahkan kepada Tentera Udara Turkiye.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) antaranya akan dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata canggih seperti peluru berpandu kruis CAKIR, TOLUN Small Diameter Bomb (SDB) dan peluru berpandu udara-ke-udara GOKDOGAN serta BOZDOGAN.
Selain itu, pesawat pejuang itu juga akan dilengkapi dengan TULGAR Helmet Intergrated Imaging System, MURAD radar AESA, KARAT Infra Red Search and Tracking System (IRST) dan YILDIRM Directed Infra Red Countermeasure System.
Industri pertahanan Turkiye dilaporkan sedang berusaha secara intensif untuk membangunkan sistem-sistem persenjataan, sensor dan avionik yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima negara itu.
Menurut laporan, pesawat prototaip KAAN dijangka akan melakukan penerbangannya yang ketiga pada akhir tahun ini.

Pesawat prototaip KAAN yang pertama dinamakan P0 melakukan penerbangan sulung pesawat itu ada 21 Februari tahun ini, manakala penerbangan kedua juga dilakukan pesawat prototaip P0 pada 6 Mei tahun ini.
Pesawat prototaip KAAN, P0 itu dijangka melakukan penerbangan ketiga pada akhir tahun ini.
Pada penerbangan keduanya itu, pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” berada di udara selama 14 minit, terbang di altitud 10,000 kaki dengan kelajuan 230 knot, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Industri Pertahanan (SSB) negara itu.
Sementara itu TAI terus berusaha untuk membangunkan lebih banyak pesawat prototaip KAAN di kemudahan TAI di Kahramankazan.
Prototaip kedua dan ketiga dinamakan P1 dan P2 dijangka mula terbang pada akhir tahun depan dan TAI dijangka memiliki tiga pesawat prototaip KAAN itu, P0, P1 dan P2 dalam keadaan bersedia untuk terbang pada tahun depan.
TAI dijangka membina tiga lagi buah pesawat prototaip KAAN iaitu P3, P4 dan P5 menjelang tahun 2026.
Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh TAI itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).

Perkara itu dimaklumkan oleh ketua pegawai eksekutifnya yang baru Mehmet Demiroglu, sebagaimana dilaporkan pada Julai lalu
TAI merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN”.
“Kita akan membekalkan lebih daripada 100 pesawat pejuang KAAN kepada Tentera Udara Turkiye berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pihak kami,” kata beliau, yang dilantik untuk menggantikan Dr Temel Kotil.
Beliau juga mengatakan bahawa pihak TAI akan membekalkan kira-kira 150 buah pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu kepada negara-negara sahabat Turkiye yang berminat untuk memperolehi pesawat pejuang yang canggih itu.
“Secara keseluruhannya, kami (TAI) menjangkakan akan menerima pesanan di antara 250 hingga 300 buah pesawat pejuang KAAN,” kata Demiroglu.
Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.
TAI dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Comments are closed.