Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat J-17 Thunder Dilengkapi Dengan Peluru Berpandu AA Termaju China “PL-10”

Menurut laporan media sebelum ini, pesawat pejuang JF-17 ini merupakan salah satu pesaing (contender) yang menunjukkan minat untuk memenuhi keperluan pesawat LCA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

0 2,496

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang ringan yang dibangunkan oleh Pakistan dan China, JF-17 Thunder bakal dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara generasi ke-empat China iaitu “PL-10”, yang menurut pemerhati bakal memberikannya kelebihan dalam pertempuran udara (dogfights) dengan pesawat pejuang musuh.

Menurut laporan media sebelum ini, pesawat pejuang JF-17 ini merupakan salah satu pesaing (contender) yang menunjukkan minat untuk memenuhi keperluan pesawat LCA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain JF-17, pesawat-pesawat pejuang ringan yang dikatakan bersaing untuk merebut tender TUDM adalah Tejas daripada syarikat HAL, India dan FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) daripada Korea Selatan.

Menurut laporan akhbar Korea Times baru-baru ini, pesawat pejuang JF-17 Thunder merupakan “frontrunner” dalam persaingan untuk merebut kontrak TUDM itu.

Portal Global Times semalam mengatakan, peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” yang turut sama digunakan oleh pesawat pejuang generasi ke-lima China iaitu “J-20” akan melengkapkan versi terbaru pesawat Pakistan-China, JF-17 Block 3.

JF-17
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10”.

 

Sebelum ini, pesawat JF-17 menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara “PL-5” yang merupakan versi terdahulu.

Dengan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara PL-10,  pemerhati China mendakwa ia akan menjadikan JF-17 sebagai antara pesawat pejuang terbaik di dalam kelasnya.

Bagaimanapun, pemerhati mengatakan peluru berpandu udara-ke-udara yang ditawarkan itu berkemungkinan adalah versi eksportnya iaitu “PL-10E” (E untuk Eksport).

Persoalan, sama ada pesawat JF-17 Block 3 dan peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” ditawarkan kepada Malaysia adalah tidak jelas.

Peluru berpandu PL-10 buat pertama kali didedahkan kepada khalayak ramai ketika Pameran Udara Zhuhai 2018.

J-20
Pesawat J-20 dilengkapi dengan peluru berpandu “PL-10.”

 

PL-10 adalah peluru berpandu udara-ke-udara yang dibangunkan secara keseluruhannya oleh industri  tempatan dan ia adalah antara tercanggih di dunia setanding dengan peluru berpandu AIM-9X Amerika Syarikat, kata ketua perekanya Liang Xiaogeng.

Selain dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara termaju, pesawat JF-17 itu juga akan memiliki radar KLJ-7A Airborne Active Electronically Scanned Array (AESA) .

Pemerhati China mendakwa radar AESA KLJ-7A merupakan radar termaju di dunia.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...