Perjanjian Rahsia Membolehkan UAE Tempatkan Radar Buatan Israel Miliknya di Somalia
Tindakan UAE itu dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan keselamatan infrastrukturnya di Afrika Timur, memandangkan ketegangan serantau semakin memuncak susulan serangan balas oleh Angkatan Bersenjata Yaman terhadap sasaran yang disyaki mempunyai kaitan dengan kepentingan negara Arab Teluk itu di rantau tersebut.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan telah menempatkan sistem radar ketenteraan canggih buatan Israel di wilayah separa autonomi Puntland, Somalia bagi melindungi Lapangan Terbang Bosaso daripada kemungkinan serangan dron atau peluru berpandu oleh Angkatan Bersenjata Yaman (YAF).
Tindakan UAE itu dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan keselamatan infrastrukturnya di Afrika Timur, memandangkan ketegangan serantau semakin memuncak susulan serangan balas oleh Angkatan Bersenjata Yaman terhadap sasaran yang disyaki mempunyai kaitan dengan kepentingan negara Arab Teluk itu di rantau tersebut.
Radar buatan Israel itu, ELM-2084 3D AESA (Active Electronically Scanned Array) telah dipasang berhampiran Lapangan Terbang Bosaso pada awal tahun ini, berdasarkan imej satelit bertarikh Mac 2025.
UAE dan Israel telah menjalin hubungan diplomatik secara rasmi pada 13 Ogos 2020 melalui satu perjanjian bersejarah yang dikenali sebagai Abraham Accords.
Perjanjian damai itu secara rasmi ditandatangani pada 15 September 2020 di Rumah Putih, Washington D.C, dengan kehadiran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan dan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump sebagai saksi.
UAE menjadi negara Arab ketiga selepas Mesir (1979) dan Jordan (1994) yang menjalin hubungan diplomatik penuh dengan Israel, serta yang pertama dari rantau Teluk Arab berbuat demikian.
Radar ELM-2084 merupakan sebuah sistem radar canggih berteknologi Active Electronically Scanned Array (AESA) yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan terkemuka Israel, ELTA Systems, anak syarikat kepada Israel Aerospace Industries (IAI).

Sistem ini direka untuk berfungsi dalam tiga peranan utama iaitu mengesan dan menjejak ancaman udara, mengendalikan sistem pertahanan udara, serta memberi sokongan kepada artileri dengan mengesan lokasi tembakan musuh secara pantas dan tepat.
Menggunakan teknologi AESA 3D, ELM-2084 mampu mengimbas ruang udara dengan kelajuan tinggi tanpa perlu menggerakkan antenanya secara fizikal, membolehkan ia mengesan, menjejak dan mengklasifikasikan pelbagai sasaran udara termasuk dron, peluru berpandu balistik, peluru berpandu sayap, roket, dan pesawat tempur dalam masa yang sangat singkat.
Radar ini mempunyai jarak pengesanan sejauh 100 hingga 470 kilometer bergantung kepada konfigurasi, dan boleh menjejak ratusan sasaran serentak, memberikan kelebihan operasi kepada pasukan pertahanan dalam persekitaran peperangan moden yang kompleks.
Dalam konteks pertahanan peluru berpandu, ELM-2084 berfungsi sebagai tulang belakang kepada sistem pertahanan udara terkenal Israel seperti Iron Dome, David’s Sling, dan sistem integrasi peluru berpandu balistik Arrow.
Kebolehannya untuk mengesan pelancaran peluru berpandu atau roket dari jarak jauh serta mengira titik jatuhan dengan ketepatan tinggi membolehkan pertahanan bertindak balas lebih awal, meningkatkan peluang untuk memintas ancaman sebelum mencapai sasaran.
Radar ini juga direka untuk beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca dan persekitaran, termasuk dalam situasi peperangan elektronik di mana cubaan gangguan dan serangan jamming adalah tinggi.
