Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Perisik Asing” Dakwa Sedang Lakukan Survei Ketika Ditangkap Tentera Indonesia

Warga Malaysia dan China yang ditangkap pasukan keselamatan Indonesia itu mendakwa mereka sedang melakukan kerja-kerja survei untuk membina sebuah jambatan bagi menghubungkan kawasan milik Malaysia dengan kawasan milik Indonesia di Pulau Sebatik.

0 2,032

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua rakyat Malaysia dan seorang China yang dituduh oleh pasukan keselamatan Indonesia “perisik asing” memberikan alasan bahawa mereka sedang menjalankan kerja-kerja survei untuk membina sebuah jambatan ketika ditangkap di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia baru-baru ini.

Menurut warga Malaysia dan China itu lagi, mereka sedang melakukan kerja-kerja survei di kawasan terbabit adalah untuk membolehkan pembinaan jambatan menghubungkan kawasan milik Malaysia dengan kawasan milik Indonesia di Pulau Sebatik.

Bercakap kepada akhbar Kompas, Kepala Kantor Imigrasi Nunukan, Washington Saut Dompak Napitupulu bagaimanapun berkata, setakatnya pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi tentang tentang sebarang rancangan membina jambatan sebagaimana didakwa oleh warga asing itu.

Nunukan
(gambar kredit media tempatan Indonesia)

 

Beliau berkata, pihaknya menemui banyak “kejanggalan” di dalam keterangan yang diberikan oleh dua warga Malaysia dan seorang China tentang pembinaan jambatan yang akan menghubungkan kedua-dua negara di Pulau Sebatik itu.

Antara kejanggalan yang ditemui oleh pihak berkuasa Indonesia semasa proses siasatan adalah: ketiga-tiga warga asing itu memasuki Indonesia menggunakan visa pelancong dan bukan visa kerja walaupun mendakwa mereka sedang menjalankan kerja-kerja survei pembinaan jambatan.

Washington juga berkata,ketiga-tiga warga asing tidak melakukan kerja-kerja survei di kawasan Malaysia sebaliknya hanya melakukan survei di kawasan Indonesia.

“Banyak pengakuan yang masih perlu pembuktian. Kami juga masih meminta fisik kontrak kerjanya, tendernya seperti apa dan cuba memastikan kebenaran dari pengakuan mereka,” kata beliau.

Akhbar Kompas itu melaporkan bahawa salah seorang warga Malaysia dan warga China itu mengakui mereka adalah pekerja Railway Construction Bridge Engineering Bureau Group South Asia Sdn Bhd yang berpusat di Tienjing, China.

Nunukan
Pulau Sebatik

 

Menurut Washington, pihaknya masih melakukan penyiasatan termasuk berkenaan dakwaan bahawa mereka adalah pekerja di syarikat yang di dakwa oleh mereka itu.

Ketiga-tiga warga asing itu akan ditahan selama 30 hari bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan, katanya.

Pada Rabu (20 Julai 2022), pihak tentera Indonesia menahan dua rakyat Malaysia, seorang China dan tiga warga tempatan ditahan di kawasan sempadan Indonesia dan Malaysia selepas menemui gambar-gambar kemudahan pasukan keselamatan Indonesia dalam telefon bimbit warga asing itu yang diambil secara “sembunyi-sembunyi”.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Saat-saat pemeriksaan ditemukan handphone milik warga negara asing yang berisikan foto-foto bangunan pos penjagaan militer, patok perbatasan, pelabuhan pos lintas batas negara di galeri handphone tersebut yang diduga saat pengambilan  gambar dilakukan sembunyi-sembunyi, ” kata pegawai  pasukan Marin negara itu yang dikenali dengan nama Kapten Marinir Andreas Parsaulian Manalu kepada media tempatan Indonesia. 

Pasukan keselamatan Indonesia itu telah menghubungi unit-unit lain seperti Tim Pasukan Khusus TNI AL, Badan Inteligen Negara, Badan Inteligen Strategis TNI, Satuan Gabungan Inteligen, Inteligen Kodim 0911/Nunukan dan lain-lain untuk melakukan siasatan lanjut terhadap keenam-enam saspek terbabit. — DSA

 

Comments
Loading...