Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perisian Diguna Kapal Selam Nuklear Britain Dibangunkan Oleh Jurutera Russia, Belarus

Media-media di Britain yang mendedahkan perkara itu berkata bahawa perisian itu sepatutnya dibangunkan oleh kakitangan IT Britain selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, tetapi apa yang terjadi adalah perisian itu “diimport” daripada pembangun-pembangun perisian (software developer) di Siberia dan Minsk yang merupakan ibu negara Belarus.

0 2,383

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jurutera-jurutera kapal selam nuklear Britain dilapor telah menggunakan perisian (software) yang dibangunkan di Russia dan Belarus, suatu tindakan yang menyalahi peraturan Kementerian Pertahanan negara itu dan mendedahkan negara itu kepada ancaman keselamatan yang amat serius.

Media-media di Britain yang mendedahkan perkara itu berkata bahawa perisian itu sepatutnya dibangunkan oleh kakitangan IT Britain selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, tetapi apa yang terjadi adalah perisian itu “diimport” daripada pembangun-pembangun perisian (software developer) di Siberia dan Minsk yang merupakan ibu negara Belarus.

“Terdapat kebimbangan bahawa kod yang dibina oleh mereka yang membangunkan perisian itu di Russia dan Belarus boleh dieksploitasi untuk mendedahkan lokasi kapal-kapal selam nuklear Britain ketika beroperasi.”

“Pihak Kementerian Pertahanan Britain mengkategorikan perkara ini sebagai suatu ancaman yang besar kepada pertahanan United Kingdom dan telah melancarkan siasatan.”

Siasatan yang dijalankan itu mendapati bahawa syarikat yang diberikan tugas untuk sistem intranet bagi staff di kapal-kapal selam nuklear itu telah merahsiakan tindakan mereka menggunakan perisian yang dibangunkan di Russia dan Belarus.

Vanguard
Kapal selam nuklear kelas-Vanguard Britain

 

Selain kapal-kapal selam nuklear Britain, terdapat kebimbangan bahawa kepentingan-kepentingan pertahanan yang lain turut dikompromi selepas didapati bahawa syarikat sama telah menggunakan perisian sama dibangunkan di Russia dan Belarus untuk projek-projek pertahanan mereka yang lain.

Syarikat Rolls-Royce Submarines mahu menaiktaraf sistem intranet staff dan telah menyerahkan tugasan itu kepada sebuah firma perunding digital, WM Reply, sebagaimana menurut media-media Britain.

WM Reply kemudianya telah menggunakan pembangun-pembangunan perisian di Belarus – yang merupakan sekutu kuat Russia – dengan salah seorang daripada mereka bekerja daripada rumah di Tomsk di Siberia, menurut dokumen yang menjadi bahan siasatan Kementerian Pertahanan United Kingdom.

Menurut seorang Dr Marion Messmer, seorang Felo Kanan di badan pemikir terkenal United Kingdom, Chatham House berkata bahawa membenarkan pembangun-pembangun perisian Belarus dan Russia untuk bekerja di dalam projek itu “mendatangkan risiko kepada keselamatan.”

Mana-mana individu yang berjaya memperolehi data peribadi mereka yang bertugas di kapal-kapal selam nuklear United Kingdom boleh bertindak untuk “memeras-ugut” dan lain-lain, katanya

“Daripada perspektif strategik, apa yang menarik adalah kapal selam adalah amat sukar untuk dikesan. Jika ada sesiapa yang memiliki akses untuk sistem mengesan pergerakannya pada setiap masa, ia akan memberikannya kelebihan besar daripada segi strategiknya.

Ohio

“Jika mereka merancang untuk menyerang United Kingdom, perkara dilakukan mereka adalah mensasarkan kapal selam nuklear dan memusnahkan kapal selam Trident,” kata beliau.

Britain memiliki empat buah kapal selam nuklear kelas-Vanguard yang bertindak sebagai kuasa deterren nuklear kepada angkatan tentera negara itu dan dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu ballistik nuklear antara benua (Inter Continental Ballistic Missile – ICBM) jenis “Trident 2 D5”.

Keempat-empat kapal selam nuklear kelas-Vanguard Britain iaitu HMS Vanguard, Vengeance, Victorious dan Vigilant yang dilengkapi dengan peluru berpandu ballistik antara benua “Trident” berpangkalan di HMNB Clyde di Faslane, Scotland.

Kapal-kapal selam nuklear kelas- Vanguard merupakan kapal selam nuklear dilengkapkan dengan peluru-peluru berpandu nuklear Trident yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 4,000 Batu Nautika atau kira-kira 7,500km jauhnya.

Kapal selam kelas-Vanguard itu memiliki berat keseluruhan 15,900 tan itu dilapor berkemampuan membawa sehingga 48 butir peluru berpandu Trident.

Kapal selam yang dianggap sudah berusia itu dijadualkan diganti bermula pada 2030 dengan empat buah kapal selam nuklear yang baru kelas-Dreadnought yang kini sedang dibina oleh BAE Systems di limbungannya di Barrow-in-Furniss. — DSA

Comments
Loading...