Perancis Enggan Layan Permintaan India Untuk Ganti Radar Rafale dengan Radar AESA Uttam Keluaran Tempatan
Dassault Aviation mahu Tentera Laut India mengekalkan radar AESA RBE2 yang sememangnya telah pun dioperasikan oleh pesawat pejuang itu, yang merupakan kompromi di antara sasaran industri tempatan India dan kesiapsiagaan aset ketenteraan itu.
Cita-cita Tentera Laut India untuk melengkapkan 26 buah pesawat pejuang Rafale yang bakal dimilikinya tidak lama lagi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) Uttam keluaran tempatan berkemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan berikutan “tentangan” daripada syarikat pengeluar pesawat itu, Dassault Aviation daripada Perancis.
Menurut laporan, usaha melengkapkan Rafale M yang akan dioperasi oleh Tentera Laut India itu terpaksa dihentikan berikutan tentangan daripada syarikat pengeluar pesawat itu.
Sebaliknya, Dassault Aviation mahu Tentera Laut India mengekalkan radar AESA RBE2 yang sememangnya telah pun dioperasikan oleh pesawat pejuang itu, yang merupakan kompromi di antara sasaran industri tempatan India dan kesiapsiagaan aset ketenteraan itu.
Syarikat pengeluar pesawat pejuang itu menyatakan bahawa langkah melengkapkan Rafale M India itu dengan radar AESA Uttam keluaran tempatan akan berhadapan dengan “cabaran-cabaran” daripada segi teknikal, kewangan dan hak cipta.
Keengganan Perancis itu adalah selari dengan keputusan ia enggan melayan permintaan India untuk berkongsi Source Code (Kod Asal) bagi membolehkan ia mengintergrasikan beberapa sistem persenjataan buatan tempatan dengan pesawat pejuang Rafale yang dibelinya daripada negara Eropah itu.
Menurut sumber yang dipetik oleh media pertahanan negara itu, syarikat Dassault Aviation yang membangunkan pesawat pejuang Rafale itu tetap enggan berkongsi Source Code pesawat pejuang itu walaupun didesak oleh New Delhi
Pesawat-pesawat pejuang Rafale M yang diperolehi oleh Tentera Udara India itu adalah untuk kegunaan di atas dek penerbangan kapal pengangkut pesawat negara itu, INS Vikrant yang dijangka mula beroperasi di antara tahun 2028 hingga 2030.

Pakej perolehan 26 buah pesawat pejuang Rafale M oleh Tentera Laut India itu beberapa bulan yang lalu termasuk peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) Meteor dan juga peluru berpandu anti-kapal Exocet.
Tentera Laut India secara rasmi menyertai kelab eksklusif pengguna pesawat pejuang Rafale M selepas New Delhi meluluskan perolehan sebanyak 26 buah pesawat pejuang generasi 4.5 tersebut bagi memenuhi keperluan operasi udara berasaskan kapal pengangkut pesawat INS Vikrant.
Keputusan penting ini dimuktamadkan selepas perbincangan panjang antara Kementerian Pertahanan India, syarikat Dassault Aviation, dan Tentera Laut India yang memerlukan platform pejuang generasi terkini bagi menggantikan pesawat MiG-29K yang semakin usang..
Rafale M (Marine) ialah varian pesawat Rafale yang direka khusus untuk operasi di dek kapal induk, lengkap dengan ciri tailhook, struktur gear pendaratan yang diperkukuh, dan kemampuan penyesuaian bagi melaksanakan pendaratan serta pelepasan menggunakan ski-jump INS Vikrant.
Dalam perolehan ini, India dijangka membayar anggaran kos sekitar US$5 bilion atau sekitar RM23.6 bilion, termasuk pakej latihan juruterbang, penyelenggaraan logistik, alat ganti, dan persenjataan berpandu jarak jauh seperti MICA, Meteor dan peluru berpandu anti-kapal Exocet AM39.
Penganalisis pertahanan melihat pembelian Rafale M ini sebagai isyarat jelas bahawa India komited mengekalkan kelebihan kuasa laut dan udara di rantau Lautan Hindi, terutama berdepan kehadiran kapal induk China PLAN Shandong dan Liaoning yang semakin aktif di kawasan sama.
Kemasukan Rafale M juga dijangka menutup jurang kelemahan yang wujud dengan penggunaan MiG-29K, yang sering dikritik kerana kadar kebolehgunaan (serviceability) yang rendah dan isu teknikal berulang sejak ia beroperasi bersama INS Vikramaditya lebih sedekad lalu.

Menariknya, Rafale M yang akan diterima Tentera Laut India turut akan dilengkapi sistem Radar AESA RBE2, pod peperangan elektronik SPECTRA, dan sistem pautan data taktikal bagi meningkatkan keberkesanan operasi network-centric warfare.
Pemerhati industri turut menjangkakan Dassault Aviation akan melaksanakan bahagian program offset bernilai sekurang-kurangnya 50 peratus bagi memindahkan sebahagian teknologi, latihan teknikal, dan perkhidmatan sokongan kepada syarikat pertahanan India di bawah inisiatif “Atmanirbhar Bharat”.
INS Vikrant, kapal pengangkut pesawat buatan India seberat 45,000 tan, kini beroperasi penuh dengan komponen sistem senjata dan radar tempatan, tetapi memerlukan pesawat tempur moden yang mampu beroperasi pada pelbagai kondisi laut bagi menjamin keberkesanan penugasan jarak jauh.
Menurut laporan media pertahanan India, pesawat pertama Rafale M dijangka tiba di pangkalan Tentera Laut India pada tahun 2028.
Selain daripada perolehan Rafale M untuk Tentera Laut, Tentera Udara India sebelum ini telah memperolehi 36 buah Rafale varian darat yang kini ditempatkan di pangkalan Ambala dan Hasimara, berhampiran sempadan dengan Pakistan dan China.
Perolehan Rafale M ini sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama strategik pertahanan antara India dan Perancis, khususnya dalam konteks geopolitik Indo-Pasifik yang semakin kompleks dengan peningkatan pengaruh China, penempatan aset PLAN di Lautan Hindi, dan ketegangan berpanjangan di sempadan Himalaya.
Dengan gabungan Rafale M, INS Vikrant, dan perancangan kapal induk generasi kedua (IAC-2) pada masa hadapan, Tentera Laut India kini diyakini lebih berdaya saing sebagai kuasa maritim dominan di rantau ini, di samping memperkukuh keupayaan blue water navy negara kuasa nuklear itu.

Radar Uttam AESA dibangunkan oleh Electronics and Radar Development Establishment (LRDE) di bawah Defence Research and Development Organisation (DRDO), dengan sokongan beberapa syarikat pertahanan tempatan seperti Bharat Electronics Limited (BEL) sebagai rakan industri utama.
Pembangunan radar AESA Uttam dilihat sebagai komponen penting dalam program “Atmanirbhar Bharat” (India Berdikari), di mana New Delhi mahu mengurangkan kebergantungan pada radar buatan asing, sekali gus meningkatkan eksport peralatan pertahanan berteknologi tinggi.
Keupayaan radar Uttam AESA dikatakan setanding dengan beberapa radar buatan negara maju seperti EL/M-2052 Israel, Zhuk-AE Russia atau radar Raven ES-05 Sweden, terutama dari segi multi-target tracking, jarak pengesanan yang melebihi 150 km untuk sasaran bersaiz pejuang, dan kebolehan penjejak sasaran darat.
Menurut sumber DRDO, radar Uttam AESA kini menjalani pelbagai ujian pemasangan di beberapa platform pesawat pejuang buatan tempatan, termasuk Tejas Mk1A, Tejas Mk2, dan bakal pesawat pejuang generasi 5 India, Advanced Medium Combat Aircraft (AMCA).
Kelebihan utama radar Uttam terletak pada kemampuan modular, di mana ia boleh disesuaikan mengikut saiz radome pesawat yang berbeza, selain mudah dinaik taraf dengan perisian misi baharu tanpa memerlukan perubahan struktur fizikal besar.
Malah, Tentera Udara India (IAF) baru-baru ini dilaporkan telah meluluskan rancangan untuk memasang radar Uttam AESA pada lebih 80 pesawat Tejas Mk1A, di mana penyerahan pertama dijangka bermula seawal 2024-2025 — satu detik penting bagi membuktikan keupayaan industri radar tempatan.
Pakar industri pertahanan turut berpandangan, kejayaan Uttam AESA ini boleh membuka jalan untuk kerjasama eksport dengan negara-negara rakan strategik India di Asia Tenggara, Timur Tengah atau Afrika, terutama negara yang mahu radar AESA kos efektif sebagai pilihan alternatif kepada produk Barat.

Your articles have a slant and bias leaning towards Pakistan Turkey etc to the extend of skewing facts and analysis. Lets look at the recent Indo Pak conflict where you have parroted Pakistan news release including alleged loss of several Rafale jets. Where is the evidence yo support this?