Pembinaan Bare Base TUDM Bintulu Bermula, Pertingkat Perlindungan Pertahanan Udara Malaysia Timur
“Pelaksanaan projek (Bare Base TUDM Bintulu) ini berupaya meningkatkan perlindungan optimum terhadap kepentingan pertahanan udara di Malaysia Timur,” menurut posting media sosial TUDM baru-baru ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas lebih daripada tiga tahun diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pembinaan Bare Base Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkeluasan seluas 48 hektar di Bintulu akan bermula tidak lama lagi.
Beberapa hari lalu, Kementerian Kerja Raya telah mengadakan Majlis Perlantikan Pengarah Projek dan Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Pembinaan Bare Base TUDM Bintulu bertempat di Menara Kerja Raya.
“Pembinaan projek (Bare Base TUDM di Bintulu) ini adalah untuk mewujudkan pangkalan udara asas dengan fasiliti yang mencukupi bagi menampung keperluan operasi yang optimum dengan menggunakan keanggotaan dan aset ketenteraan sedia ada selari dengan konsep Pangkalan Operasi Berkala (POB).”
“Pelaksanaan projek (Bare Base TUDM Bintulu) ini berupaya meningkatkan perlindungan optimum terhadap kepentingan pertahanan udara di Malaysia Timur,” menurut posting media sosial TUDM baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Wira Ir.Roslan bin Ismail baru-baru ini.
Projek Pembinaan Bare Base TUDM di Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 Rolling Plan ke-2 (RMK12 RP2) dan perancangan pelaksanaan projek telah bermula pada Ogos 2021.
Ringkasan Artikel:
Pembinaan Bare Base Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan seluas 48 hektar di Bintulu, Sarawak, akan dimulakan pada November 2024 dan dijangka siap pada Mei 2028. Projek ini, yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 2 (RMK12 RP2), bertujuan untuk menyediakan pangkalan udara asas dengan kemudahan minimum seperti landasan, taxiway, dan kawasan parkir pesawat, sejajar dengan konsep Periodic Operating Base (POB).
Kedudukan strategik pangkalan ini di Bintulu membolehkan TUDM menyokong operasi Unmanned Aerial System (UAS) bagi misi perisikan dan pengawasan di kawasan Laut China Selatan, khususnya berhampiran Beting Patinggi Ali, lokasi yang sering menjadi sasaran pencerobohan kapal pengawal pantai China.
Pangkalan ini juga terletak berdekatan dengan lokasi pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Samalaju, yang akan memperkukuhkan pertahanan di sekitar Lapangan Gas Kasawari dan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE). Selain itu, Bare Base ini akan turut menyokong operasi MAWILLA 4 dari segi logistik, sekaligus meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan maritim di Malaysia Timur.