Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Lancar Peluru Berpandu Ballistik Buatan Korea Utara Untuk Bedil Ukraine

Baru-baru ini, pihak perisikan Korea Selatan mendedahkan bahawa Korea Utara telah membekalkan kira-kira 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu ballistik jarak dekat dan peluru berpandu anti-kereta kebal serta pelbagai peluru dan senjata lain kepada Russia.

0 9,361

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilaporkan telah mula menggunakan peluru berpandu ballistik jarak dekat (Short Range Ballistic Missile – SRBM) dibekalkan oleh Korea Utara untuk menyerang bandar-bandar di Ukraine, dalam satu lagi bukti jelas tentang kerjasama ketenteraan yang semakin erat di antara kedua-dua negara itu.

Gabenor bandar Kharkiv, Ukraine dikenali sebagai Oleh Syneihubov berkata bahawa tentera Russia telah menggunakan peluru berpandu buatan asing dalam serangannya pada minggu lepas.

“Kita sedang menjalankan segala pemeriksaan, bagaimanapun saya ingin menyatakan pada ketika ini bahawa segala lakaran-lakaran yang terdapat pada peluru berpandu itu telah dipadamkan tetapi apa yang kita dapat lihat adalah negara yang menghasilkan peluru berpandu itu bukanlah daripada Russia,” kata beliau.

Jurucakap jawatankuasa keselamatan kebangsaan Amerika Syarikat John Kirby berkata bahawa Russia telah melancarkan peluru berpandu buatan Korea Utara terhadap Ukraine pada 30 Disember lalu yang meletup di kawasan lapang.

Bagaimanapun Russia telah melancarkan lebih banyak peluru berpandu buatan Korea Utara terhadap Ukraine pada 2 Januari lalu dan kesannya masih lagi dikaji.

Russia dipercayai telah memperolehi bekalan senjatanya daripada Korea Utara dan Iran seperti peluru berpandu, peluru artilleri dan dron-dron berani mati bagi membantu anggota tentera yang sedang berjuang menentang tentang Ukraine.Korea Utara

Sementara itu penganalisis di Korea Selatan menyatakan bahawa peluru berpandu ballistik jarak dekat Korea Utara yang dilancar oleh Russia terhadap Ukraine itu dipercayai adalah daripada jenis KN-23 yang boleh membedil sasaran sejauh 900km.

Kemampuan peluru berpandu ballistik KN-23 milik Korea Utara itu adalah hampir sama sebagaimana peluru berpandu ballistik jarak dekat “Iskander” buatan Russia.

Baru-baru ini, pihak perisikan Korea Selatan mendedahkan bahawa Korea Utara telah membekalkan kira-kira 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu ballistik jarak dekat dan peluru berpandu anti-kereta kebal serta pelbagai peluru dan senjata lain kepada Russia.

Menurut pegawai perisikan Korea Selatan, kapal-kapal membawa kontena terbabit telah belayar daripada Rajin, Wilayah Hamgyong Utara ke Vladivostok di Timur Jauh Russia.

Jumlah 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu dan pelbagai peluru yang dihantar Korea Utara ke Russia adalah lebih banyak daripada jumlah 1,000 buah kontena yang diberikan oleh Amerika Syarikat pada 13 Oktober lalu berdasarkan kepada imej-imej satelit.

Pihak tentera Korea Selatan mengesyaki 2,000 kontena itu mengandungi lebih daripada 200,000 peluru meriam 122mm dan lebih sejuta peluru meriam 152mm serta peluru-peluru untuk senjata lain.

Korea Utara
KN-23

 

“Petanda bahawa Korea Utara membekalkan senjata dan peluru kepada Russia telah dikesan sejak pertengahan tahun lepas dan penghantaran kontena-kontena itu telah dipertingkatkan pada Ogos lalu sebelum kunjungan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ke Russia, “ kata pegawai Korea Selatan.

Pemimpin Korea Utara telah bertemu dengan Presiden Vladimir Putin di Vostochny Cosmodrome di Timur Jauh Russia pada September.

Sebelum pemimpin Korea Utara berkunjung ke Russia, hanya sebuah kapal kontena negara itu dikesan belayar ke Vladivistok setiap minggu tetapi bilangan kapal itu dipertingkatkan kepada sebuah dalam tiga atau empat buah kapal dalam seminggu.

Menurut pegawai perisikan Korea Selatan, sebagai balasan Russia dijangka akan menyalurkan bantuan teknologi berkenaan pembangunan angkasa lepas, peluru berpandu nuklear, pembuatan pesawat pejuang dan sistem pertahanan udara.

Baru-baru ini, Korea Utara telah berjaya melancarkan peluru berpandu ballistik antara benua (Inter Continental Ballistic Missile – ICBM) dinamakan “Hwasong-18.”

Hwasong
Hwasong-18

 

Berbeza dengan peluru-peluru berpandu ballistik milik Korea Utara sebelum ini, Hwasong-18 adalah peluru berpandu ballistik pertama milik negara itu yang menggunakan bahan api pepejal (solid-propellant).

Sebenarnya, peluru berpandu ballistik antara benua Hwasong-18 merupakan pencapaian bersejarah bagi Pyongyang dan penguasaan teknologi yang tidak pernah ia miliki sebelum ini.

Para penganalisis menyatakan kejayaan Pyongyang melancarkan peluru berpandu ballistik Hwasong-18 yang menggunakan bahan api pepejal itu adalah hasil kerjasama dan perkongsian teknologi peluru berpandu di antara Korea Utara dan Russia. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com
Comments
Loading...