Panglima TUDM Terbangkan Su-30MKM Dalam Persembahan Hari Kebangsaan 2025 Ahad Ini
Panglima TUDM bersama juruterbang dan anak kapal TUDM telah memulakan persiapan dan latihan penerbangan bagi menjayakan segmen persembahan udara sempena sambutan tahun ini di Dataran Putrajaya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Ahad ini bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris akan terlibat secara langsung dalam segmen persembahan udara dengan menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM.
Menurut kenyataan media sosial TUDM, Panglima TUDM bersama juruterbang dan anak kapal TUDM telah memulakan persiapan dan latihan penerbangan bagi menjayakan segmen persembahan udara sempena sambutan tahun ini di Dataran Putrajaya.
Aset-aset udara yang turut terlibat adalah daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pada tahun ini, sebanyak 30 aset udara bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya yang terdiri daripada pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter daripada semua agensi.
Penglibatan Panglima TUDM dalam persembahan udara ini mencerminkan semangat kepimpinan beliau untuk berada di barisan hadapan bersama perwiranya, sekaligus menjadi lambang kekuatan sebuah pasukan.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 membawa tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, dan kali ini semangat itu diterjemahkan melalui deruman enjin, kibaran Jalur Gemilang serta keberanian yang menjulang tinggi di angkasa raya oleh ATM dan agensi-agensi keselamatan serta pertahanan yang lain.

Su-30MKM: Tulang Belakang Kekuatan Udara Malaysia
Sukhoi Su-30MKM merupakan aset paling berharga dalam inventori TUDM.
Ia bukan sahaja pesawat tempur paling canggih dalam perkhidmatan negara, tetapi juga antara platform udara paling berkuasa di Asia Tenggara.
Pesawat pejuang milik TUDM itu adalah varian khas yang dibangunkan untuk Malaysia, berdasarkan model Su-30MKI India, tetapi dipertingkatkan dengan sistem avionik daripada Perancis, Sweden, dan Afrika Selatan.
Pada tahun 2003, Malaysia menandatangani kontrak bernilai kira-kira USD900 juta (RM4.2 bilion) untuk perolehan 18 buah pesawat, dengan penghantaran dilaksanakan antara 2007 hingga 2009.
Perolehan ini melonjakkan TUDM ke kelas baharu pesawat tempur berat multi-peranan, sekali gus meningkatkan keupayaan pencegahan strategik negara.
Reka Bentuk dan Keupayaan Super-Manouver
Su-30MKM direka untuk keunggulan dalam manuver ekstrem.
Pesawat dua enjin dan dua tempat duduk ini dilengkapi dengan canard foreplane dan muncung ekzos “thrust-vectoring”.
Kombinasi ini membolehkan Su-30MKM melaksanakan gerakan ikonik seperti “Cobra Maneuver” dan “Kulbit”, menjadikannya antara pesawat paling lincah dalam dogfight jarak dekat.
Dengan panjang 21.9 meter, rentang sayap 14.7 meter, serta berat maksimum berlepas mencecah 38,800 kg, pesawat ini lebih besar dan berkuasa berbanding banyak pesaingnya seperti F-16 atau JAS 39 Gripen.
Ia mampu membawa sehingga 8,000 kg muatan pada 12 hardpoint, membolehkannya memikul kombinasi peluru berpandu udara-ke-udara, bom berpandu, dan peluru berpandu anti-kapal jarak jauh.

Enjin dan Prestasi
Kuasa sebenar Su-30MKM datang daripada dua enjin Saturn AL-31FP turbofan dengan keupayaan “thrust vectoring”.
Setiap enjin menghasilkan daya tujahan 12,500 kgf dengan afterburner, membolehkan pesawat mencapai kelajuan maksimum Mach 2.0.
Pesawat ini mempunyai jarak effektik tempur melebihi 1,500 km tanpa pengisian minyak udara, dan Ferry Range melebihi 8,000 km dengan tangki tambahan dan pengisian minyak di udara.
Ketinggian operasi maksimum mencapai 17,300 meter, memberi kelebihan untuk serangan jarak jauh sebelum musuh mampu bertindak balas.
Kombinasi kuasa enjin dan reka bentuk aerodinamik menjadikan Su-30MKM sebagai “super fighter” sebenar Asia Tenggara.
Avionik: Gabungan Timur dan Barat
Satu aspek unik Su-30MKM ialah sistem avioniknya.
Pesawat ini menggunakan radar Rusia NIIP N011M Bars PESA, mampu mengesan sasaran bersaiz pesawat pejuang pada jarak 140–160 km, menjejak 15 sasaran serentak dan menyerang empat sasaran pada masa yang sama.
Selain radar Rusia, pesawat ini dilengkapi dengan sistem Barat yang meningkatkan keupayaan tempur.
Antaranya termasuk pod sasaran Thales Damocles untuk serangan tepat, Thales NAVFLIR dan HUD untuk paparan juruterbang, serta Saab MAWS 300 untuk amaran peluru berpandu.
Gabungan teknologi ini memberikan Malaysia kelebihan unik – sebuah pesawat Rusia yang dipertingkatkan dengan teknologi Barat, jarang dimiliki oleh negara lain.

Persenjataan: Kekuatan Darat, Laut dan Udara
Su-30MKM boleh memuatkan pelbagai senjata maut untuk pelbagai misi.
Dalam misi udara-ke-udara, ia membawa peluru berpandu R-77 (AA-12 Adder) untuk jarak jauh (80–110 km) dan R-73 (AA-11 Archer) untuk dogfight jarak dekat dengan keupayaan “off-boresight”.
Untuk serangan darat dan laut, pesawat ini boleh melancarkan peluru berpandu supersonik Kh-31A/P (anti-kapal/anti-radar), serta peluru berpandu taktikal Kh-29 dan Kh-59ME untuk serangan tepat ke atas sasaran keras.
Selain itu, ia juga dilengkapi meriam 30mm GSh-30-1 sebagai senjata tambahan jarak dekat.
Dengan kombinasi ini, Su-30MKM berfungsi sebagai platform dominasi udara dan serangan maritim jarak jauh yang sukar ditandingi.
Su-30MKM ditempatkan di Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan, di bawah Skuadron 11 “Golden Cobras”.
Ia melengkapkan armada F/A-18D Hornet dan Hawk 208, tetapi memainkan peranan lebih luas sebagai pesawat utama kawalan ruang udara Malaysia.
Misi utamanya meliputi dominasi udara, serangan maritim, rondaan jarak jauh, dan operasi pencegahan di rantau Laut China Selatan.
Dalam latihan antarabangsa seperti Pitch Black di Australia dan Cope Taufan bersama Amerika Syarikat, Su-30MKM kerap dipamerkan sebagai simbol kekuatan udara Malaysia.
Bagi Malaysia, pesawat ini adalah “aset strategik” untuk menandingi kuasa besar serantau.
Cabaran
Walaupun berkuasa, Su-30MKM tidak bebas daripada cabaran.
Pada 2018, laporan menyatakan hanya empat daripada 18 buah pesawat berada dalam keadaan operasi penuh akibat isu penyelenggaraan.
Sejak itu, Malaysia memperkukuh kerjasama dengan Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) untuk membangunkan kemudahan penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) dalam negara.
TUDM turut menilai program naik taraf avionik, radar, dan sistem peperangan elektronik agar Su-30MKM kekal relevan berdepan ancaman generasi kelima seperti F-35 dan J-20.
Walaupun terdapat cabaran, pesawat ini masih kekal sebagai tulang belakang pertahanan udara Malaysia.
Awal tahun ini, Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu, di mana beliau telah menyaksikan majlis penyerahan kontrak 10th Year Service Life Extension Programme (SLEP) pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
SLEP
Program SLEP bagi pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM ini telah dijalankan oleh syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC).
“Tujuannya adalah untuk memastikan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berada dalam keadaan optimum dan kedaulatan negara terus diperkukuh.”
“ATSC telah menjalankan, antara lain, kerja-kerja “Service Life Extension” dan “Preventive Restoration Works/Overhaul,” menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kerja-kerja ini menurutnya, memastikan pengoperasian pesawat lebih lama dan dapat digunakan selama 10 tahun lagi, selain turut menjimatkan perbelanjaan negara berbanding menghantarnya ke Russia.
Pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM TUDM menjalani program SLEP di bawah RMK-12 (2021–2025) dengan fokus melaksanakan penyelenggaraan struktur dan sistem utama pesawat untuk memastikan pesawat dapat terus beroperasi dengan selamat dan cekap.
Ia juga melibatkan kerja-kerja penggantian komponen yang telah melebihi jangka hayat serta pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pesawat untuk mengekalkan prestasi dan keselamatan operasi.
Bagi tempoh RMK-13 bermula 2026, kerja-kerja SLEP akan melihat ia melaksanakan program Mid-Life Upgrade (MLU) dengan matlamat meningkatkan teknologi, avionik, sistem radar, dan persenjataan pesawat.
Ia adalah untuk memastikan pesawat terus relevan dan mampu memenuhi keperluan operasi serta cabaran peperangan moden.
Pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik TUDM ialah pesawat pejuang pelbagai peranan generasi 4+.
ATSC Sdn Bhd (Aerospace Technology Systems Corp. Sdn Bhd) telah ditubuhkan pada 25 Jun 1994 dan merupakan anak syarikat kepada National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI).
Ia bertanggungjawab menyelenggara pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM dan sebelum ini MiG-29N yang telah pun ditamatkan perkhidmatannya oleh TLDM beberapa tahun dahulu.
Kepentingan Strategik di Asia Tenggara
Kepentingan Su-30MKM bukan sahaja pada prestasi teknikalnya, tetapi juga pada kesan strategiknya.
Di Asia Tenggara, hanya segelintir negara memiliki pejuang kelas berat, dan Malaysia berada di barisan hadapan dengan Su-30MKM.
Dalam konteks Laut China Selatan, keupayaan pesawat ini menjadi faktor penting untuk menyekat pencerobohan, mengekalkan kawalan maritim, dan mengimbangi kuasa besar seperti China.
Dengan pesawat ini, Malaysia menghantar mesej jelas bahawa ia mempunyai keupayaan untuk mempertahankan ruang udara dan maritimnya daripada sebarang ancaman.
Su-30MKM adalah lebih daripada sekadar pesawat tempur.
Ia adalah simbol kedaulatan, kekuatan strategik, dan keazaman Malaysia untuk mempertahankan ruang udara dan maritimnya.
Walaupun berdepan cabaran penyelenggaraan, kombinasi unik kuasa Rusia dan teknologi Barat menjadikan pesawat ini salah satu “hybrid super fighter” paling digeruni di Asia.
Bagi TUDM, Su-30MKM kekal sebagai penjaga langit Malaysia, dan mesejnya jelas — Malaysia tidak akan mudah diperlekeh di ruang udara serantau.
— DEFENCE SECURITY ASIA
