Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Mengesahkan Ia Tembak Jatuh Pesawat Pejuang Keenam India Mirage 2000

Beliau berkata demikian ketika melawat Pangkalan Tentera Udara negara itu di Kamra, sekaligus menjadikan keseluruhan pesawat pejuang Tentera Udara India yang ditembak jatuh dalam konflik antara dua negara berkuasa nuklear setakat ini kepada enam buah termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya Rafale buatan Perancis.

0 19,879
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang ke-enam Tentera Udara India jenis Mirage 2000 telah disahkan ditembak jatuh oleh pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan pada malam 6- 7 Mei lalu di Pampore di timur Srinagar, India, sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pangkalan Tentera Udara negara itu di Kamra, sekaligus menjadikan keseluruhan pesawat pejuang Tentera Udara India yang ditembak jatuh dalam konflik antara dua negara berkuasa nuklear setakat ini kepada enam buah termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya Rafale buatan Perancis.
Pakistan sebelum ini menyatakan lima pesawat pejuang India telah ditembak jatuh oleh pesawat-pesawat pejuang pada hari-hari pertama Konflik Pakistan-India iaitu tiga buah pesawat pejuang Rafale dan sebuah MiG-29 serta Sukhoi Su-30MKI.
“Pengesahan kejayaan menembak jatuh pesawat pejuang keenam milik India pada malam 6/7 Mei, iaitu sebuah Mirage-2000 berhampiran Pampore di timur Srinagar, sekali lagi membuktikan keunggulan tempur Tentera Udara Pakistan (PAF) serta tekad tidak berbelah bahagi Angkatan Tentera kita dalam mempertahankan tanah air pada apa jua harga,” kata Perdana Menteri Pakistan itu.
Shahbaz bagaimanapun tidak mendedahkan jenis pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan yang bertanggungjawab dalam menembak jatuh pesawat pejuang ke-enam milik Tentera Udara India itu dan jenis peluru berpandu udara-ke-udara yang digunakan untuk menembak jatuh itu.
Pesawat pejuang Mirage 2000 India itu berkemungkinan besar turut ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C buatan China milik Pakistan menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15, sebagaimana yang berlaku terhadap tiga buah pesawat pejuang Rafale India itu.
Selain J-10C Tentera Udara Pakistan, sebuah lagi pesawat pejuang negara itu yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) dan turut beraksi pada konflik Pakistan-India itu adalah JF-17 “Thunder” yang dibangunkan secara bersama oleh Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIG) dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC).
Mirage 2000
Mirage 2000 India
 
Kedua-dua pesawat pejuang Rafale dan Mirage 2000 yang didakwa ditembak jatuh oleh Pakistan itu dibangunkan oleh syarikat yang sama iaitu Dassault Aviation.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan turut  menegaskan bahawa Angkatan Tentera Pakistan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dan komited untuk mempertahankan setiap inci tanah air.
“Sebarang bentuk pencerobohan akan dibalas dengan tindak balas yang tepat pada masanya, sepadan dan tegas. Kami berdiri teguh, bersatu padu dan sentiasa berwaspada demi mempertahankan kedaulatan negara.”
Dalam lawatannnya ke Pangkalan Udara di Kamra itu, Perdana Menteri Pakistan turut bertemu dengan juruterbang-juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan yang berjaya menembak jatuh keenam-enam pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan itu terdiri daripada tiga buah Rafale, MiG-29, Sukhoi Su-30MKI dan terbaru, Mirage 2000.
Sehingga kini, kerajaan atau tentera India masih belum memberikan reaksi terhadap kenyataan Perdana Menteri Pakistan tentang penembakan jatuh pesawat pejuang ke-enam milik India, Mirage 2000 di Pampore, Srinagar.
Walaupun berhadapan dengan semakin banyak bukti-bukti yang sukar disangkal, namun tentera dan kerajaan India masih enggan mengakui ia kehilangan lima (dan kini enam buah) pesawat pejuangnya termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale buatan Perancis akibat ditembak jatuh oleh Tentera Udara Pakistan.
Pakistan
Wajah juruterbang-juruterbang pesawat pejuang Pakistan yang berjaya menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India.
PakistanKetika ditanya tentang nasib tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya, Pegawai kanan Tentera Udara India Air Marshal A.K Bharti hanya berkata, “Kita berada dalam senario peperangan, kehilangan (losses) adalah sebahagian daripada pertempuran”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut tentangnya.
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Pada hari-hari awal konflik dengan India itu, Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar menyatakan kepada media bahawa pesawat-pesawat pejuang Pakistan telah berhadapan dengan sekurang-kurangnya 75 hingga 80 buah pesawat pejuang India pada pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu.
Beliau mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 itu memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Rafale
Pesawat pejuang Rafale India
Dakwaan Pakistan menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu turut disokong oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat dan Perancis.
“Pesawat-pesawat pejuang J-10C Pakistan bertanggungjawab menembak jatuh sekurang-kurangnya dua buah pesawat pejuang Tentera Udara India,” menurut pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat kepada agensi berita antarabangsa Reuters.
Wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Ia merupakan pesawat pejuang Rafale pertama yang ditembak jatuh dalam mana-mana konflik di seluruh dunia setakat ini, kata pegawai berkenaan.
India memiliki pesawat pejuang Mirage 2000 buatan Perancis sejak awal 1980-an, apabila negara itu membeli pesawat berkenaan daripada syarikat Dassault Aviation bagi memperkukuh keupayaan serangan strategik Tentera Udara India (IAF).
Pesawat generasi keempat ini terbukti berkesan dalam pelbagai operasi ketenteraan termasuk ketika Perang Kargil pada 1999, di mana Mirage 2000 digunakan untuk melakukan serangan tepat ke atas kedudukan musuh di kawasan pergunungan yang sukar.
Mirage 2000
Mirage 2000 India
India memiliki kira-kira 50 buah pesawat Mirage 2000 dalam pelbagai konfigurasi, termasuk versi Mirage 2000H dan Mirage 2000TH, yang masing-masing berfungsi sebagai varian satu tempat duduk dan dua tempat duduk.
Sebahagian besar pesawat Mirage 2000 Tentera Udara India ditempatkan di Pangkalan Udara Gwalior di negeri Madhya Pradesh, yang juga menempatkan skuadron elit No. 1 “Tigers” dan No. 7 “Battle Axes”.
Pangkalan Udara Gwalior dipilih sebagai pusat operasi utama pesawat Mirage 2000 kerana lokasinya yang strategik serta infrastrukturnya yang lengkap untuk menyokong operasi dan penyelenggaraan pesawat tempur berprestasi tinggi itu.
Selain itu, pesawat Mirage 2000 India telah menjalani program naik taraf penting bagi meningkatkan sistem avionik, keupayaan senjata dan kesesuaian untuk operasi peperangan moden, menjadikannya antara platform tempur yang masih relevan dalam doktrin pertahanan udara India hari ini.
Dengan kemampuan membawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana seperti MICA dan sistem navigasi serta peperangan elektronik yang ditambah baik, Mirage 2000 kekal sebagai komponen penting dalam barisan tempur India walaupun usianya kini telah melebihi empat dekad.
Pesawat Mirage 2000 milik Tentera Udara India (IAF) merupakan pesawat pejuang pelbagai peranan (multi-role fighter) generasi keempat buatan syarikat Dassault Aviation dari Perancis.
Mirage 2000
Mirage 2000 India dengan sistem persenjataannya.
Mirage 2000
Mirage 2000 India
Pesawat ini dikuasakan oleh satu enjin turbofan SNECMA M53-P2 yang mampu menghasilkan tujahan maksimum sehingga 95 kN dengan afterburner, membolehkan ia terbang pada kelajuan maksimum Mach 2.2 (lebih 2,300 km/j).
Mirage 2000 mempunyai jarak operasi sekitar 1,550 km tanpa pengisian bahan api udara, dan boleh ditingkatkan lagi melalui penggunaan tangki bahan api luaran atau pengisian semasa penerbangan.
Pesawat ini dilengkapi dengan radar RDI (Radar Doppler à Impulsions) untuk pengesanan udara ke udara dan sasaran permukaan, serta sistem avionik moden termasuk sistem peperangan elektronik dan kokpit kaca (glass cockpit) dalam versi naik taraf Mirage 2000-5.
Dari segi persenjataan, Mirage 2000 boleh membawa pelbagai jenis senjata termasuk peluru berpandu udara-ke-udara MICA dan Magic II, peluru berpandu udara-ke-darat seperti AS-30L serta bom pintar dan konvensional.
Pesawat ini juga dilengkapi dengan dua meriam DEFA 554 kaliber 30mm sebagai senjata tetap untuk pertempuran jarak dekat.
Dengan reka bentuk sayap delta tanpa ekor menegak dan struktur ringan, Mirage 2000 terkenal dengan keupayaan manuver tinggi, ketepatan serangan dan kebolehpercayaan dalam pelbagai misi udara.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.