Pakistan Didakwa “Senyap-Senyap” Bangunkan Peluru Berpandu ICBM Nuklear Dengan Bantuan China ??
Laporan eksklusif yang diterbitkan oleh Foreign Affairs itu mendakwa bahawa agensi perisikan Amerika Syarikat telah mengesan petunjuk penting bahawa Islamabad secara senyap-senyap mempercepatkan pembangunan sistem peluru berpandu jarak jauh yang mampu menjangkaui 10,000 kilometer dan membawa kepada peledak nuklear.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam satu pendedahan yang mampu menggegarkan landskap strategik global, Pakistan didakwa sedang membangunkan peluru berpandu balistik antara benua atau Intercontinental Ballistic Missile (ICBM) yang berkemampuan membawa kepala peledak nuklear dan menyerang tanah besar Amerika Syarikat, dengan bantuan rahsia daripada China.
Laporan eksklusif yang diterbitkan oleh Foreign Affairs itu mendakwa bahawa agensi perisikan Amerika Syarikat telah mengesan petunjuk penting bahawa Islamabad secara senyap-senyap mempercepatkan pembangunan sistem peluru berpandu jarak jauh yang mampu menjangkaui 10,000 kilometer dan membawa kepada peledak nuklear.
Jika dakwaan ini disahkan, Pakistan bakal menyertai kelompok elit negara-negara kuasa besar seperti Rusia, China dan Korea Utara yang memiliki keupayaan ICBM untuk menyerang tanah besar Amerika Syarikat secara langsung.
Kenyataan keras daripada pegawai Amerika Syarikat yang dipetik dalam laporan itu menegaskan bahawa, “Jika Pakistan memperoleh ICBM, Washington tidak mempunyai pilihan selain menganggap negara itu sebagai musuh nuklear. Tiada negara lain yang memiliki ICBM yang mampu menyerang Amerika Syarikat dianggap sebagai rakan.”
Pengiktirafan Pakistan sebagai ‘musuh nuklear’ oleh Washington akan memberi kesan besar terhadap hubungan keselamatan yang telah lama wujud antara kedua-dua negara, terutama dalam konteks kerjasama ketenteraan, bantuan keselamatan, dan pengaruh geopolitik di Asia Selatan.
Secara tradisinya, Pakistan sering menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan pertahanan terhadap ancaman dari India, terutama selepas ujian nuklear India pada tahun 1974 dan 1998 yang mengubah imbangan kuasa di rantau itu.
Berdasarkan logik itu, Pakistan membangunkan rangkaian peluru berpandu jarak dekat dan sederhana seperti sistem Hatf, Shaheen, dan Ghauri yang kebanyakannya direka untuk membawa kepada peledak nuklear ke sasaran dalam wilayah India.
Namun, usaha untuk membangunkan ICBM menunjukkan perubahan mendalam dalam doktrin ketenteraan Pakistan, daripada sekadar pencegahan serantau kepada keupayaan unjuran kuasa global yang menyasarkan Amerika Syarikat sebagai musuh strategik.
Penganalisis pertahanan percaya langkah ini adalah tindak balas terhadap kebimbangan Islamabad terhadap kemungkinan serangan “decapitation strike” oleh Amerika Syarikat atau Israel ke atas kemampuan nuklearnya, khususnya selepas Operasi Sindoor oleh India pada 2025 yang menunjukkan kecenderungan New Delhi terhadap serangan pre-emptive berskala besar.
Dengan memiliki keupayaan ICBM, Pakistan berharap dapat membentuk “payung pencegahan” yang bukan sahaja menghalang campur tangan Amerika dalam konflik masa depan dengan India, malah juga menghalang percubaan pihak luar untuk melumpuhkan senjata nuklearnya.
Buat masa ini, Pakistan tidak mengisytiharkan sebarang ICBM dalam kemampuan rasminya, namun memiliki beberapa sistem peluru berpandu yang berpotensi menjadi platform asas ke arah pembangunan ICBM.
Antara yang paling ketara ialah peluru berpandu balistik Shaheen-III, yang diuji pada tahun 2022 dan mempunyai jarak operasi sekitar 2,750 kilometer — cukup untuk menyerang semua wilayah India termasuk Kepulauan Andaman dan Nicobar.
Shaheen-III, yang menggunakan bahan api pepejal dan dilancar dari permukaan ke permukaan, memiliki masa pelancaran yang singkat, mobiliti tinggi dan ketepatan yang baik — elemen penting untuk keupayaan serangan balas sekunder dalam senario perang nuklear.
Sebelum itu, sistem peluru berpandu Ghauri, yang berasaskan teknologi Nodong dari Korea Utara, menjadi pilihan utama Pakistan dengan jarak sekitar 1,300 kilometer, namun bahan api cecairnya menjadikan ia kurang sesuai untuk pelancaran pantas dan sukar dari aspek penyelenggaraan.
Yang lebih membimbangkan ialah peluru berpandu Ababeel yang diuji pada tahun 2017 dan dipercayai memiliki keupayaan MIRV (Multiple Independently Targetable Reentry Vehicle) — membolehkan satu peluru berpandu membawa beberapa kepada peledak nuklear ke sasaran berbeza dalam satu pelancaran.
Teknologi MIRV ini biasanya hanya dimiliki oleh negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China, dan penguasaan teknologi itu oleh Pakistan menunjukkan mereka sudah hampir mencapai tahap ICBM sebenar.
Bantuan China dalam program ICBM Pakistan juga menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pakar pertahanan antarabangsa.

Beijing secara dasarnya telah banyak membantu program peluru berpandu Pakistan sejak tahun 1990-an, termasuk pemindahan teknologi M-11, pemacuan berbahan api pepejal, sistem panduan inersia dan sokongan dalam pembangunan satelit komunikasi.
Dalam konteks persaingan strategik China-Amerika yang semakin tegang, bantuan kepada Pakistan dilihat sebagai satu strategi Beijing untuk membuka paksi ancaman baharu ke atas Amerika Syarikat dari barat — menjadikan Islamabad sebagai alat tekanan geo-strategik.
Kos pembangunan ICBM juga amat tinggi dan memerlukan pelaburan besar dalam aspek pelancaran, rekaan kepala peledak kecil, sistem kawalan dan logistik.
Anggaran menunjukkan program ICBM penuh termasuk infrastruktur pelancaran, pengangkutan dan kawalan boleh menelan belanja sekitar AS$3 bilion (RM14.2 bilion) dalam tempoh satu dekad.
Setiap peluru berpandu ICBM pula dianggarkan menelan kos sekitar AS$50 juta hingga AS$70 juta (RM237 juta hingga RM332 juta) bergantung kepada teknologi yang diguna pakai dan jumlah warhead.
Namun bagi Pakistan, kos tersebut dianggap perlu demi mencapai keupayaan strategik yang setara dengan musuh ketatnya, India, serta untuk menghalang sebarang kemungkinan campur tangan oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Bagi Washington, perkembangan ini menimbulkan keperluan untuk mengkaji semula struktur pertahanan misil nasional mereka terutama di Indo-Pasifik dan Asia Barat.
Kehadiran ICBM dari Pakistan akan memaksa Amerika Syarikat menambah sistem pertahanan peluru berpandu seperti THAAD, Aegis, dan pelancar darat di kawasan strategik yang sebelum ini tidak dijangka menjadi vektor ancaman.
Perkembangan ini juga mampu mencetuskan perlumbaan senjata baharu di Asia Selatan.
India, yang kini telah memiliki peluru berpandu Agni-V dengan jangkauan melebihi 5,500 km, dan dalam proses membangunkan Agni-VI dengan jarak lebih 10,000 km dan keupayaan MIRV, sudah semestinya akan mempercepatkan program peluru berpandu strategiknya untuk mengekang ancaman dua hala dari China dan Pakistan.
