MILDEF Tonjolkan Syarikat Pertahanan Tempatan Boleh Bersaing di Pentas Global
Baru-baru ini, MILDEF terlibat dalam pameran Asian Defense & Security (ADAS) 2024 yang berlangsung di World Trade Center-Metro Manila, Filipina, yangmemberi peluang kepada syarikat untuk mempamerkan produk dan keupayaannya kepada para delegasi antarabangsa.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat automotif industri pertahanan tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF), terus menunjukkan komitmen untuk meluaskan pengaruhnya di peringkat global.
Ini ditonjolkan dengan penyertaan aktif dalam pameran pertahanan antarabangsa di luar negara.
Langkah tersebut merupakan usaha penting dalam memperkenalkan teknologi pertahanan tempatan kepada dunia.
Baru-baru ini, MILDEF terlibat dalam pameran Asian Defense & Security (ADAS) 2024 yang berlangsung di World Trade Center-Metro Manila, Filipina.
Pameran ini yang berakhir minggu lalu memberi peluang kepada syarikat untuk mempamerkan produk dan keupayaannya kepada para delegasi antarabangsa.
Ini merupakan pencapaian membanggakan bagi MILDEF yang terus menonjol sebagai syarikat pertahanan automotif tempatan, meskipun bukan gergasi industri.
Kehadiran MILDEF dalam pameran ini membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa serta membuktikan bahawa Malaysia mempunyai produk berkualiti yang mampu bersaing dalam industri automotif pertahanan global.
Sepanjang tahun ini, MILDEF telah menyertai beberapa pameran penting lain seperti Eurosatory 2024 di Paris, Perancis, serta DSA & NATSEC Asia di Kuala Lumpur.
MILDEF dijangka akan meneruskan momentum ini dengan penyertaan dalam pameran lain seperti Indo Defence 2024 di Jakarta dan Vietnam International Defence Expo 2024 tidak lama lagi.
Dalam ADAS 2024, MILDEF memperkenalkan High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), sebuah kenderaan taktikal ringan yang lebih kecil daripada HMAV Tarantula tetapi lebih versatil.
Kenderaan ini boleh diubah suai mengikut keperluan, sama ada sebagai kenderaan perisai ringan, rondaan, atau pengiring.
Keupayaan serba guna HMLTV telah menarik perhatian delegasi, yang terdiri daripada wakil-wakil tentera, pasukan keselamatan, dan agensi kerajaan dari seluruh dunia.
Penyertaan MILDEF dalam pameran antarabangsa ini bukan sahaja membuka peluang untuk memperluaskan rangkaian kerjasama dengan negara lain, tetapi juga meningkatkan kepercayaan terhadap kualiti produk pertahanan tempatan keluaran Malaysia.
Dengan penyertaan aktif dalam acara seperti ini, MILDEF berjaya menonjolkan kemampuan teknologi pertahanan tempatan.
Ini sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai peneraju dalam industri ini.
Melalui pameran-pameran ini, MILDEF juga dapat mengenal pasti peluang baharu untuk mengembangkan pasarannya di peringkat global. — DSA