Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mesir Dilapor Perolehi Peluru Berpandu Kruis HD-1A Buatan China. Diganding Dengan Rafale??

Gandingan di antara pesawat pejuang Rafale buatan Perancis milik Mesir itu dengan peluru berpandu kruis HD-1A buatan China bakal memantapkan kedudukan negara Afrika Utara itu sebagai kuasa tentera serantau dan menghakis kelebihan kualitatif ketenteraan Israel. 

2,370
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan media Israel kini mendakwa Mesir berkemungkinan memperolehi peluru berpandu kruis jarak jauh buatan China, Guangdong Hongda HD-1A untuk digandingkan dengan pesawat pejuang Rafale milik tentera udara negara itu.
Gandingan di antara pesawat pejuang Rafale buatan Perancis milik Mesir itu dengan peluru berpandu kruis HD-1A buatan China bakal memantapkan kedudukan negara Afrika Utara itu sebagai kuasa tentera serantau dan menghakis kelebihan kualitatif ketenteraan Israel. 
Peluru berpandu kruis HD-1A buatan China itu berkeupayaan membedil sasaran sejauh 290km.
Walaupun media Israel menyatakan peluru berpandu kruis HD-1A itu bakal digandingkan dengan pesawat pejuang Rafale, namun terdapat juga kemungkinan peluru berpandu kruis buatan China itu diintergrasikan dengan pesawat pejuang J-10C buatan China.
Pada Sept lalu, Mesir dilapor telah memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat berusia yang kini digunakan oleh tentera udara negara Arab.
Mesir menjadi negara kedua selepas Pakistan yang memperolehi 25 buah pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C buatan China itu.
HD-1A
Peluru berpandu kruis HD-1A buatan China
HD-1A
Model pesawat pejuang dikatakan Rafale buatan Perancis yang digandingkan dengan peluru berpandu kruis HD-1A buatan China pada Airshow 2024 di Zhuhai baru-baru ini.
Keputusan Mesir itu menunjukkan negara Arab yang juga merupakan sekutu rapat kepada Amerika Syarikat mahu mengeratkan hubungannya dengan China.
Pemerhati pertahanan menyatakan bahawa perolehan peluru berpandu kruis HD-1A buatan China itu selepas ia berhadapan dengan kesukaran untuk memperolehi peluru berpandu kruis SCALP-EG buatan firma pertahanan Eropah,MBDA yang sering digandingkan dengan pesawat pejuang Rafale.
Kesukaran mendapatkan peluru berpandu kruis SCALP-EG buatan MBDA untuk digandingkan dengan pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Mesir itu adalah disebabkan bantahan Israel dan Amerika Syarikat yang bimbang dengan kemampuan peluru berpandu kruis itu.
Amerikan Syarikat dan Israel bimbang kelebihan kualitatif ketenteraan (Qualitative Military Edge – QME) Israel di Timur Tengah itu akan terhakis sekiranya Mesir memiliki peluru berpandu kruis SCALP-EG.
Kesukaran Mesir memperolehi peluru berpandu kruis SCALP-EG itu adalah sama dengan kesukarannya untuk membeli peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh, METEOR buatan firma MBDA juga diatas alasan untuk memelihara kelebihan ketenteraan Israel.
Peluru berpandu kruis HD-1A buatan China itu membolehkan Tentera Udara Mesir untuk membedil sasaran jarak jauh dengan tepat, menjadikannya aset ketenteraan yang berpotensi mengubah keadaan di medan peperangan.
HD-1A
Peluru berpandu kruis HD-1A
Sistem persenjataan buatan China yang bakal diperolehi oleh Mesir itu mampu meningkatkan keupayaan pencegahan Kaherah, memberikannya keupayaan untuk menyerang sasaran strategik jauh di luar jangkauan sistem peluru berpandu yang dimilikinya pada ketika ini..
Dengan kerjasama pertahanan yang semakin erat antara China dan Mesir, perolehan peluru berpandu kruis HD-1A itu juga dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas Kaherah untuk mempelbagaikan pilihan sumber senjata mereka , untuk tidak lagi bergantung kepada negara-negara Barat sahaja.
Semasa pameran aeroangkasa Airshow China 2024 di Zhuhai, China beberapa minggu lepas, model pesawat pejuang Rafale buatan Perancis yang digandingkan dengan dua peluru berpandu Guangdong Hongda HD-1A telah dipamerkan.
“Kemunculan” model pesawat pejuang Rafale dengan peluru berpandu kruis HD-1A buatan China itu telah mencetuskan spekulasi, walaupun pada awalnya ia dianggap sebagai taktik pemasaran untuk mempromosikan produk persenjataan China.
Peluru berpandu kruis HD-1A merupakan peluru berpandu yang dibangunkan oleh syarikat China, Guangdong Hongda Blasting Co. Ltd.
Rafale
Pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Mesir
Ia adalah sebahagian daripada keluarga peluru berpandu berdasarkan teknologi yang diubahsuai daripada peluru berpandu Bliskavka buatan Ukraine.
Peluru berpandu kruis HD-1A berukuran 5.7 meter panjang, dengan diameter 375 mm, dan berat pelancaran sekitar 1,200 kg.
Sistem pendorongnya menggunakan enjin ramjet bahan api pepejal, membolehkannya mencapai kelajuan sehingga Mach 3.5.
Peluru berpandu ini memiliki jarak bedilan sehingga 290 km dalam beberapa minit sahaja. Varian pelancaran udara dilengkapi dengan panduan imej inframerah, manakala varian pelancaran darat [HD-1C] menggunakan radar aktif, direka khusus untuk peranan anti-kapal.
Peluru berpandu HD-1A bergantung kepada gabungan sistem navigasi, termasuk navigasi inersia dan  GPS, memastikan ketepatan tinggi dengan Circular Error Probable (CEP) 20 meter, yang meningkat kepada 10 meter dengan bantuan panduan inframerah.
Peluru berpandu kruis HD-1A itu dilengkapi dengan peledak seberat 240 kg jenis letupan-fragmen, direka untuk menyebabkan kerosakan besar pada sasaran darat dan laut.
Peluru berpandu HD-1A buatan China itu kebiasannya dilancar  daripada platform udara, manakala varian pelancaran darat (HD-1C) pula menggunakan sistem pelancar trak 10×10 dengan empat peluru berpandu. — DSA

Comments are closed.