Mesir-China Semakin Erat, Anjur Latihan Udara “Eagle of Civilization 2025” Buat Pertama Kali
Latihan tentera itu bukan sahaja memperkukuh hubungan ketenteraan antara China dan Mesir, tetapi juga mencerminkan perubahan dalam landskap geopolitik di Timur Tengah, di mana negara-negara seperti Mesir semakin galak mencari alternatif dalam kerjasama pertahanan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Mesir dan Tentera Udara China (PLAAF) akan mengadakan latihan udara bersama bermula pertengahan bulan ini, suatu perkembangan geopolitik yang menunjukkan hubungan ketenteraan yang semakin erat antara antara sekutu utama Amerika Syarikat di Timur Tengah dengan China.
Latihan udara bersama dinamakan “Eagle of Civilization 2025” akan berlangsung bermula pertengahan tahun ini sehingga awal bulan hadapan, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan China.
Latihan tentera itu bukan sahaja memperkukuh hubungan ketenteraan antara China dan Mesir, tetapi juga mencerminkan perubahan dalam landskap geopolitik di Timur Tengah, di mana negara-negara seperti Mesir semakin galak mencari alternatif dalam kerjasama pertahanan.
Kementerian Pertahanan China menggambarkan latihan itu sebagai usaha untuk “menggalakkan kerjasama praktikal serta memperkukuh persahabatan dan saling kepercayaan,” menandakan detik penting dalam perkembangan hubungan dua hala antara Beijing dan Kaherah.
“Ini merupakan latihan ketenteraan bersama yang pertama antara kedua-dua negara, dan ia amat penting dalam usaha menggalakkan kerjasama pragmatik serta memperkukuh persahabatan dan kepercayaan bersama.”
Menurut laporan South China Morning Post, latihan tentera tersebut bertujuan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua angkatan udara serta berkongsi kepakaran dalam taktik pertempuran udara moden.
Walaupun butiran terperinci mengenai jenis pesawat pejuang yang terlibat atau lokasi sebenar latihan tidak didedahkan, namun penyertaan pesawat Y-20 yang dibangunkan oleh Xi’an Aircraft Industrial Corporation dari China menyerlahkan skop logistik operasi berskala besar itu.

Pengumuman tentang latihan udara bersama Mesir dan China itu juga menjelaskan tentang kehadiran lima buah pesawat pengangkut gergasi Xian Y-20 di Mesir beberapa hari lalu, menggusarkan tentera Amerika Syarikat dan mencetuskan spekulasi tentang muatan dibawanya.
Bercakap kepada Global Times, seorang pakar hal ehwal ketenteraan dari China, Wang Yunfei berkata kepada Global Times bahawa China dan Mesir menjalin hubungan ketenteraan yang baik, dan latihan bersama pertama ini akan mengukuhkan lagi persefahaman serta persahabatan antara kedua-dua negara.
Menurutnya, tentera udara kedua-dua negara turut berkongsi beberapa kaedah latihan dan taktik yang hampir serupa, dan latihan bersama ini berpotensi membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang perolehan aset ketenteraan pada masa hadapan.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak Mesir berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat keupayaan pesawat-pesawat pejuang buatan China menerusi latihan ini.
Mesir kini giat memperkukuh kerjasama pertahanan dengan China, mencerminkan gabungan strategi yang dirancang secara teliti melibatkan penyesuaian semula dasar ketenteraan, kepelbagaian teknologi dan pendekatan geopolitik yang pragmatik.
Langkah ini diambil ketika Kaherah berdepan ketidaktentuan dalam penghantaran senjata daripada pembekal tradisional seperti Amerika Syarikat dan Rusia, sekali gus mendorong Mesir untuk mendekati Beijing sebagai rakan pertahanan yang lebih dipercayai dan bebas daripada syarat politik yang ketat.
Penghantaran senjata dari Washington ke Mesir sering kali dibelenggu oleh syarat berkaitan hak asasi manusia, manakala keupayaan Moscow untuk memenuhi komitmen ketenteraan pula terjejas teruk akibat perang di Ukraine dan sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atasnya.
Pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Mesir dilaporkan tidak dibenarkan dilengkapi dengan peluru berpandu jarak jauh Meteor, senjata udara-ke-udara paling canggih yang dibangunkan oleh konsortium Eropah MBDA.
Keputusan tersebut dipercayai dibuat atas pertimbangan politik dan strategi oleh Perancis, yang merupakan pengeluar pesawat Rafale melalui syarikat Dassault Aviation, dalam usaha untuk mengekalkan keseimbangan kuasa ketenteraan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara, serta desakan daripada Israel.
Peluru berpandu Meteor yang berupaya menyerang sasaran sejauh lebih 100 kilometer itu dianggap sebagai ‘game-changer’ dalam peperangan udara moden kerana kemampuan “no-escape zone” yang luas serta sistem pemanduan radar aktif canggih, memberikan kelebihan mutlak dalam pertempuran jarak jauh.
Sumber pertahanan antarabangsa melaporkan bahawa walaupun Mesir memiliki lebih 50 buah pesawat Rafale versi F3-R yang mempunyai keupayaan untuk menggunakan Meteor, Paris tetap enggan meluluskan eksport peluru berpandu tersebut kepada Kaherah.
Penganalisis ketenteraan melihat langkah itu sebagai usaha Perancis untuk mengelak daripada mencetuskan kebimbangan keselamatan dalam kalangan sekutunya, terutamanya Israel, yang bimbang kehadiran Meteor dalam inventori Mesir akan mengubah imbangan udara serantau secara drastik.

Sebaliknya, China kini muncul sebagai rakan pertahanan yang bersikap neutral, memiliki kemajuan teknologi tinggi serta semakin berpengaruh, menawarkan Mesir ruang fleksibiliti strategik dalam landskap keselamatan global yang sedang berubah pantas.
Industri pertahanan China kini menghasilkan pelbagai sistem persenjataan moden yang telah diuji dalam operasi, ditawarkan pada harga kompetitif—termasuk pesawat pejuang pelbagai peranan J-10C, pesawat tanpa pemandu tempur siri Wing Loong, pesawat pengangkut strategik Y-20 serta jet latihan K-8 yang telah pun digunakan oleh Mesir.
Lebih penting lagi, China turut menawarkan syarat pembiayaan yang fleksibel dan potensi pemindahan teknologi—kelebihan yang lazimnya tidak ditawarkan oleh negara-negara Barat yang terikat dengan kawal selia eksport dan pertimbangan politik domestik.
Langkah Mesir ini sejajar dengan doktrin dasar luar negara itu yang mengutamakan non-penjajaran strategik, membolehkannya mengekalkan autonomi ketenteraan serta mengelak daripada terlalu bergantung kepada mana-mana blok kuasa besar, sama ada NATO, Rusia atau China.
Dengan mempelbagaikan rakan pertahanan, Mesir memperkukuh pengaruh geopolitiknya dan menjadikannya pemain antarabangsa yang lebih fleksibel, terutamanya dalam dinamik keselamatan yang rumit di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.
Sinergi ketenteraan ini turut selari dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, di mana Mesir—yang terletak strategik di persimpangan Laut Mediterranean dan Laut Merah—dianggap sebagai nod maritim dan ekonomi yang kritikal.

Hubungan pertahanan yang semakin erat ini melengkapkan kerjasama strategik yang lebih luas, dengan kerjasama ketenteraan kini menjadi tonggak penting di samping integrasi ekonomi dan infrastruktur antara Kaherah dan Beijing.
Latihan udara bersama yang sedang berlangsung, “Eagles of Civilization 2025,” mencatat sejarah sebagai latihan ketenteraan dua hala pertama antara kedua-dua negara, yang menyediakan platform penting untuk meningkatkan kebolehoperasian, perkongsian taktik pertempuran moden dan penilaian kemampuan operasi secara langsung.
Bagi Mesir, latihan ini bukan sahaja membuka peluang untuk memahami doktrin peperangan China, tetapi juga memberi ruang menilai keupayaan platform seperti J-10C dan Y-20 untuk kemungkinan perolehan pada masa hadapan.
Latihan ini turut membantu memperkemas kesiapsiagaan taktikal serta keupayaan operasi bersama Mesir—elemen penting dalam usaha memodenkan angkatan udara negara itu bagi menghadapi ancaman keselamatan serantau yang semakin tidak menentu, termasuk di Libya dan koridor Laut Merah.
Penglibatan ketenteraan China bersama Mesir turut mencerminkan perubahan besar dalam pasaran global persenjataan, di mana Beijing kini tidak lagi dilihat sebagai pemain pinggiran tetapi setanding dengan kuasa besar Barat dalam sektor pertahanan.
Dengan menjalin kerjasama ini, Mesir menyertai kelompok negara membangun yang semakin cenderung menyeimbangkan strategi pertahanan mereka ke arah kuasa-kuasa baru seperti China—didorong oleh keperluan praktikal, perubahan pakatan global dan penyusunan semula industri ketenteraan dunia.
— DEFENCE SECURITY ASIA