Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Hezbollah Serang “Meron”, Pangkalan Tentera Terpenting Israel

(VIDEO) Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel disifatkan oleh pemerhati sebagai salah sebuah pangkalan terpenting tentera Yahudi itu, dengan pemimpin-pemimpin kanan tenteranya diketahui sering berada di pangkalan itu untuk mengendalikan operasi tentera.

0 1,692

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pejuang Hezbollah melancarkan bedilan lebih daripada 6o buah roket terhadap pangkalan tentera Meron  yang terletak di puncak Gunung Jarmak di utara Palestin, yang merupakan antara pangkalan tentera Israel yang paling penting.

Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel disifatkan oleh pemerhati sebagai salah sebuah pangkalan terpenting tentera Yahudi itu, dengan pemimpin-pemimpin kanan tenteranya diketahui sering berada di pangkalan itu untuk mengendalikan operasi tentera.

Serangan roket itu terhadap kemudahan penting tentera Israel itu bermula 8 pagi waktu tempatan dan berlangsung selama beberapa jam.

Pemerhati menyifatkan serangan roket oleh Hezbollah terhadap pangkalan tentera Meron yang amat penting kepada keupayaan keseluruhan tentera Yahudi itu sebagai “amat serius” dan merupakan satu lagi peningkatan tahap konflik bersenjata antara kedua-dua pihak.

Menurut kenyataan oleh Hezbollah, pangkalan tentera Meron di utara Palestin yang ditakluk Israel terletak di puncak Gunung Jarmak, yang merupakan gunung tertinggi di Palestin. Ia terletak kira-kira 1,200 meter daripada aras laut.

Pangkalan tentera Meron itu dioperasikan oleh Batallion ke-11 506 Tentera Udara Israel.

“Pangkalan tentera Meron milik Israel itu adalah satu-satunya pusat pengurusan, pemantauan dan kawalan udara di utara dan pihak tentera Israel tidak mempunyai alternatif,” kata kumpulan bersenjata itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel itu adalah satu daripada dua pangkalan tentera yang mengurus, memantau dan mengawal operasi udara di Syria dan Lubnan.

Satu lagi pangkalan yang berfungsi seperti Meron adalah pangkalan Mitzpe Ramon yang terletak di selatan yang mengurus operasi udara di bahagian selatan negara haram itu.

“Serangan roket terhadap pangkalan tentera Meron itu adalah sebahagian daripada respons terhadap jenayah Israel membunuh pemimpin kanan Hamas, Saleh al-Arouri dan komander tenteranya di Beirut beberapa hari lepas, “ kata kumpulan itu.

Pada 2 Jan lepas, pesawat Israel telah melancarkan serangan udara yang membunuh pemimpin kanan Hamas, Saleh al-Arouri di ibu negara Lubnan, Beirut.

Meron
Salah sebuah kemudahan menempatkan kemudahan radar di Pangkalan Meron dibedil oleh roket Hezbollah.
Meron
Pangkalan tentera Meron milik Israel

 

 

Serangan yang berlaku di Dahiyeh, sebuah kawasan kejiranan di Beirut, yang merupakan kubu kuat kepada pergerakan Hezbollah tetapi pada masa yang sama turut menempatkan pejabat Hamas di negara Mediterranean itu.

Laporan media menyatakan selain Arouri, turut terbunuh adalah dua komander kanan Briged al-Qassam dan empat lain yang belum dikenali.

Arouri adalah timbalan pengerusi biro politik Hamas dan pengasas kepada cabang ketenteraan kumpulan itu di Tebing Barat.

Dilahirkan pada 19 Ogos 1966 di Ramallah di Tebing Barat ketika ia masih lagi dibawah Jordan, beliau menerima pendidikan di Universiti Hebron dan adalah di antara pengasas kepada Briged al-Qassam. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...