Menteri Pertahanan Pakistan Nafi Peroleh J-35A dari China, Walau Sumber Dakwa Ia “Hampir Pasti Milikinya”
Namun begitu, laporan daripada sumber pertahanan antarabangsa dan tempatan terus mendakwa bahawa Pakistan sudah hampir pasti untuk memperoleh sehingga 40 unit pesawat pejuang halimunan generasi kelima J-35A buatan China itu, dengan penghantaran kumpulan pertama dijangka berlaku dalam beberapa bulan sahaja lagi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam perkembangan yang menimbulkan “lebih banyak persoalan daripada jawapan” di rantau Asia Selatan, Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Asif secara terbuka menafikan laporan bahawa Islamabad telah memeterai perjanjian dengan China untuk memperoleh pesawat pejuang halimunan generasi kelima J-35A.
Dalam satu temubual yang disiarkan secara langsung, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian pembelian jet berkenaan telah dimeterai antara Pakistan dan China.
“Saya rasa ia hanya ada dalam media. Ia bagus untuk jualan, jualan pertahanan China, kamu tahu,” kata Khawaja Asif apabila ditanya tentang laporan penghantaran J-35A menjelang tahun 2026.
Namun begitu, laporan daripada sumber pertahanan antarabangsa dan tempatan terus mendakwa bahawa Pakistan sudah hampir pasti untuk memperoleh sehingga 40 unit pesawat pejuang halimunan generasi kelima J-35A buatan China itu, dengan penghantaran kumpulan pertama dijangka berlaku dalam beberapa bulan sahaja lagi.
Sekiranya perjanjian ini dimeterai sebagaimana dilaporkan, ia akan melonjakkan Tentera Udara Pakistan (PAF) ke dalam kelompok eksklusif negara yang memiliki pesawat pejuang siluman generasi kelima yang berkeupayaan tinggi dan berpusatkan rangkaian.
Perolehan itu juga dijangka membawa perubahan besar terhadap doktrin peperangan udara Pakistan, termasuk memperkukuh strategi ketenteraan mereka dalam menghadapi konflik konvensional mahupun hibrid.
Secara strategik, kehadiran J-35A dalam inventori PAF akan mengubah keseimbangan kuasa ketenteraan serantau, khususnya apabila digabungkan dengan sokongan ketenteraan China yang lebih besar seperti pesawat amaran awal KJ-500 AEW&C dan sistem pertahanan peluru berpandu jarak jauh HQ-19.

Gabungan platform ini akan membentuk “kill web” bersepadu secara menegak yang merangkumi ruang udara, angkasa lepas dan domain siber.
Perkembangan ini tentunya menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan perancang ketenteraan India yang kini berdepan prospek kemungkinan berperang dengan pesawat siluman dari dua arah – China dan Pakistan – serentak dalam sebarang konflik berintensiti tinggi.
Pesawat pejuang J-35A dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation di bawah konglomerat penerbangan negara China, AVIC, direka untuk menembusi ruang udara musuh yang dipertahankan dengan ketat, melaksanakan serangan tepat jarak jauh serta mengelak daripada dikesan oleh radar moden dan sistem peluru berpandu.
Menurut bekas Komodor Udara Zia Ul Haque Shamshi, kehadiran J-35A dalam PAF akan memberikan kelebihan strategik ketara ke atas India untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 hingga 14 tahun akan datang.
“India tidak mungkin akan memiliki pesawat pejuang generasi kelima dalam tempoh tersebut, sekali gus membolehkan Tentera Udara Pakistan mengekalkan kelebihan strategik yang besar,” tegas beliau.
Tentera Udara Pakistan secara terbuka menyatakan hasrat untuk memperoleh J-35A pada awal tahun 2023, apabila Ketua Turus Udara, Marsyal Udara Zaheer Ahmed Baber Sidhu, mengumumkan bahawa pesawat itu bakal diserap ke dalam skuadron barisan hadapan PAF.
“Rundingan telah dijalankan untuk membolehkan perolehan J-35A, yang tidak lama lagi akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan,” ujar beliau dalam satu majlis rasmi.
Kini, penghantaran J-35A dari China ke Pakistan dilaporkan semakin hampir apabila seorang pegawai kanan kerajaan Pakistan mendedahkan bahawa pesawat-pesawat halimunan itu akan tiba “dalam tempoh beberapa bulan akan datang.”

“Juruterbang PAF kini sedang menjalani latihan pertukaran operasi di China bagi menerbangkan dan mengendalikan J-35A,” dedah pegawai tersebut, menunjukkan betapa pantasnya proses ini bergerak ke arah kesiapsiagaan tempur.
Pemindahan ini menandakan eksport pertama pesawat halimunan generasi kelima oleh China, sekali gus menempatkan Pakistan dalam kelompok eksklusif negara yang memiliki keupayaan menyerang generasi seterusnya yang mampu menembusi sistem pertahanan musuh tanpa dikesan.
Beberapa sumber menyatakan bahawa varian J-35A untuk Pakistan akan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak sangat jauh (VLRAAM) paling canggih buatan China, PL-17, yang direka untuk menumpaskan sasaran bernilai tinggi seperti pesawat AWACS, tangki bahan api udara, dan pesawat ISR pada jarak melebihi 400 kilometer.
PL-17, juga dikenali sebagai PL-XX dalam beberapa laporan Barat, dipercayai menggunakan penderia pelbagai mod termasuk radar aktif, penderia infra merah, serta navigasi satelit dengan pembetulan haluan pertengahan melalui data-link, membolehkannya mengunci sasaran dengan ketepatan tinggi walaupun dalam persekitaran peperangan elektronik yang kompleks.
Keupayaan ini akan memperluas radius serangan PAF secara dramatik, membolehkan pesawat-pesawat halimunan Pakistan membentuk medan tempur udara sebelum pesawat musuh menghampiri jarak penglihatan—satu prinsip penting dalam peperangan generasi kelima.
Walaupun J-35A mempunyai pertalian rekaan dengan demonstrator FC-31 dan versi berkapasiti kapal induk untuk kapal pengangkut China Type 003, varian PAF dijangka dioptimumkan sepenuhnya untuk operasi pelbagai peranan berasaskan darat, dengan bahan penyerap radar yang dipertingkat, nisbah tujahan-berat (thrust to weight ratio) yang lebih tinggi dan avionik bersepadu untuk pengurusan pertempuran masa nyata.
Pesawat ini dijangka dikuasakan oleh enjin generasi baharu WS-19 dengan tujahan kelas 12 tan, membolehkan pesawat melakukan supercruise pada kelajuan subsonik dan transonik tanpa afterburner—penting untuk mengekalkan jejak inframerah yang rendah semasa misi penyusupan.
Laporan teknikal turut menunjukkan bahawa berat maksimum semasa berlepas (MTOW) bagi J-35A telah meningkat kepada 28,000 kilogram, berbanding hanya 25,000 kilogram pada prototaip FC-31 sebelum ini, membolehkan tangki bahan api dalaman dan muatan persenjataan yang lebih besar.

Reka bentuk badan pesawat turut menampilkan dua ruang persenjataan dalaman untuk empat peluru berpandu jarak sederhana serta dua ruang sisi untuk peluru berpandu infra merah jarak dekat—mengekalkan profil radar yang rendah dalam persekitaran ancaman tinggi.
Untuk misi serangan di mana keutamaan diberi kepada muatan berbanding kerahsiaan, pesawat ini turut menawarkan enam tapak gantung luaran untuk membawa bom berpandu, peluru berpandu jelajah dan senjata anti-kapal—memberikan fleksibiliti operasi dalam pelbagai medan tempur.
Pada masa ini, pesawat pejuang generasi kelima China yang lain, J-20 “Mighty Dragon”, hanya digunakan oleh Tentera Udara Pembebasan Rakyat (PLAAF) dan dilarang daripada jualan luar negara kerana melibatkan teknologi sensitif milik negara.
Dengan India hanya bergantung kepada pesawat 4.5 generasi seperti Rafale dan Su-30MKI sebagai aset utama tempurnya, kehadiran J-35A dalam senarai PAF akan segera memperluaskan jurang teknologi di antara kedua-dua kuasa nuklear Asia Selatan itu.
Meskipun India sedang membangunkan pesawat tempur generasi kelima secara tempatan melalui program AMCA di bawah inisiatif “Atmanirbhar Bharat” (Made in India), pakar meramalkan pesawat itu tidak akan memasuki perkhidmatan operasi sebelum tahun 2035.
Sementara itu, J-35A dijangka menggantikan pesawat F-16 dan Mirage 5 milik Pakistan yang semakin berusia, dengan kelebihan daya tahan lebih tinggi, jarak operasi lebih jauh, integrasi penderia canggih dan keupayaan serangan mendalam dalam persekitaran peperangan elektronik yang sengit.
Sebagai reaksi, India mempercepatkan naik taraf armada Su-30MKI dengan radar baharu, avionik moden dan peluru berpandu hipersonik R-37M dari Rusia, sambil meneliti pilihan radar luar-horizon seperti sistem Container-S dari Rusia untuk mengesan pesawat siluman.
