Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal OPV1 Maritim Malaysia Kini Jalani Fasa Ujian Laut (Sea Trial)

Kapal yang berada dalam fasa sea trial itu bakal diuji selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi.

0 3,092

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) turut berada dalam kelompok 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun media sosial Maritim Malaysia hari ini,  Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kini sedang melakukan fasa sea trial (ujian laut) terhadap OPV1.

OPV1 itu kini belayar memasuki kawasan Pulau Pinang bersama-sama kapal-kapal Maritim yang lain.

Katanya lagi, penyertaan kapal berkenaan dalam eksesais yang dilaksanakan oleh Agensi ini adalah bertepatan dengan matlamat bagi menguji kemampuan sepenuhnya OPV1 sebelum ia diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia.

Tambah beliau, kapal yang berada dalam fasa sea trial itu bakal diuji selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi.

Maritim
Kapal Maritim OPV1 (Maritim Malaysia)

 

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja di atas KM Pekan bagi memantau kesiagaan semua kapal dan anggota-anggota penguat kuasa yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Turut bersama pada sesi lawatan kerja berkenaan Pengarah Ekesais, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah dan Pegawai Pemerintah KM Pekan, Kepten Maritim Mohd Yusri Hussin.

OPV1 bernombor 8305 ini berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Maritim
Kapal-kapal yang menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023. (Maritim Malaysia)

 

 Ia juga dilengkapi dengan pesawat tanpa pemandu (UAV), Meriam 30mm SMASH Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.

 Terdahulu pada sesi lawatan tersebut, Datuk Hamid menyatakan harapan beliau agar kesemua kapal yang mengikuti eksesais pada kali ini mencapai tahap yang dihasratkan selain ia dapat meningkatkan kompetensi hampir 500 orang pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang menyertai eksesais ini. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...