Leftenan Jeneral Malek Razak Dilantik Panglima Angkatan Tentera Berkuatkuasa 1 Februari 2026
Pelantikan bersejarah Panglima Medan Barat Tentera Darat sebagai Panglima Angkatan Tentera membuka fasa strategik baharu pemodenan, kepimpinan dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baru bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar yang bersara, umum Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.
Malek Razak yang dinaikkan pangkat ke Jeneral akan memulakan tugas barunya sebagai PAT berkuatkuasa esok.
“Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan Leftenan Jeneral Datuk Haji Malek Razak bin Sulaiman dinaikkan ke pangkat Jeneral dan dilantik menjawat jawatan Panglima Angkatan Tentera (PAT), berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.”
“Pelantikan ini dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari 2026, dan seterusnya telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2026,” menurut kenyataan Menteri Pertahanan.

Mohamed Khaled berkata, Malek Razak memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai anggota tentera pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, dan telah ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, Malek Razak telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi kata Menteri Pertahanan dan memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Beliau kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf. Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.
“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” kata Mohamed Khaled.
Minggu lepas, bekas PAT Mohd Nizam telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menggunakan kedudukan bagi suapan dan menerima wang berjumlah RM752,482 serta pecah amanah membabitkan dana RM3 juta.
Mohd Nizam, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua empat tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad. — DEFENCE SECURITY ASIA
