Malaysia Pertimbang Pilihan Alternatif Pesawat Pejuang Selepas Kelewatan F/A-18 Hornet Kuwait
Kelewatan penghantaran F/A-18 Hornet daripada Kuwait memaksa Kementerian Pertahanan menilai pilihan alternatif agar keupayaan udara negara tidak terjejas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Malaysia akan mempertimbangkan pilihan alternatif bagi memenuhi keperluan pertahanan udara negara berikutan kelewatan penghantaran pesawat pejuang F/A-18 C/D Hornet dari Kuwait.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan ketidaktentuan ini timbul susulan penangguhan penerimaan pesawat pejuang baharu F/A-18 E/F Super Hornet oleh Kuwait dari Amerika Syarikat.
“Kita tidak boleh menunggu tanpa kepastian kerana Kuwait hanya boleh menyerahkan F/A-18 selepas mereka menerima pesawat baharu,” katanya .
Beliau menegaskan pihaknya kini sedang meneliti pilihan lain agar Malaysia tidak berada dalam kedudukan yang merugikan termasuk menilai pesawat yang tersedia di pasaran.
“Kita perlu ada pilihan lain supaya tidak berada dalam keadaan yang tidak berpihak kepada kita,” tambahnya.

Beliau juga berkata bahawa perolehan 18 jet pejuang FA-50M (Block 20) daripada Korea Aerospace Industries yang bakal diterima pada 2027 akan menampung keperluan pengoperasian TUDM.
“Kita juga akan melihat kemampuan jet pejuang Sukhoi MKM yang dimiliki ketika ini sama ada mencukupi untuk keperluan pertahanan negara.”
Kajian terperinci diperlukan memandangkan semua pesawat pejuang ringan Hawk 108 dan Hawk 208 milik TUDM akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa mulai 2027.
Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan menjalankan pemeriksaan teknikal menyeluruh terhadap Hornet Kuwait, termasuk menilai badan pesawat, avionik dan tahap keletihan struktur sebelum membuat sebarang keputusan akhir.
Pasukan penilai TUDM akan melakukan penilaian teknikal terhadap 38 pesawat F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait pada bulan ini.
Norazlan berkata, penilaian teknikal berkenaan adalah penting bagi melihat aspek kesesuaian pesawat berkenaan terutamanya membabitkan isu penyelenggaraan.
Beliau berkata, pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat sebagai pengeluar pesawat berkenaan untuk melakukan penilaian teknikal itu.
Di bawah peruntukan Arms Export Control Act Amerika Syarikat, sebarang pemindahan aset ketenteraan buatan negara itu – termasuk yang telah dimiliki negara ketiga – perlu mendapat kelulusan rasmi daripada Kongres Amerika Syarikat.
“Selepas pihak negara pengeluar (Amerika Syarikat) memberikan kelulusan untuk perolehan pesawat berkenaan, TUDM kini boleh melihat dokumentasi dan rekod berkaitan pesawat berkenaan dan kami sudah mempersiapkan pasukan untuk membuat penilaian di sana.
“Mereka dijangka berlepas ke Kuwait September ini untuk menilai kesesuaian pesawat ini untuk dibeli, proses penilaian dijangka mengambil masa antara tiga minggu untuk mereka menilai semua dokumen dan rekod mengenai pesawat berkenaan,” kata Norazlan.
Hasil penilaian dilakukan oleh Pasukan Teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati pesawat-pesawat pejuang F/A-18 milik Tentera Udara Kuwait (KAF) merekodkan jumlah jam penerbangan yang relatif rendah iaitu sekitar 1,500 hingga 3,000 jam.
Dalam jawapan lisan kepada soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu), Mohamed Khaled berkata, jumlah jam penerbangan pesawat pejuang F/A-18 KAF itu rendah berbanding jumlah jam penerbangan pesawat pejuang F/A-18D TUDM di antara 4,000 hingga 6,000 jam.
Kata beliau, jangka hayat operasi pesawat F/A-18C/D Hornet, lazimnya adalah antara 6,000 hingga 8,000 jam penerbangan atau sekitar 30 tahun perkhidmatan, bergantung kepada tahap penyelenggaraan, corak penggunaan dan program peningkatan keupayaan yang dilaksanakan.
“Pasukan Teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan lawatan fizikal dan penilaian (assessment) ke Kuwait pada Jun 2024. Hasil penilaian mendapati pesawat F/A-18 KAF merekodkan jumlah jam penerbangan yang relatif rendah, iaitu sekitar 1,500 hingga 3,000 jam berbanding pesawat F/A-18D TUDM sedia ada yang telah mencatat antara 4,000 hingga 6,000 jam penerbangan.”
Baru-baru ini, Menteri Pertahanan berkata, Kementerian Pertahanan Malaysia sedang menilai semula strategi pemodenan keupayaan udara negara, termasuk mempertimbangkan perolehan pesawat pejuang generasi kelima daripada Perancis, Amerika Syarikat dan Rusia sekiranya penghantaran pesawat F/A-18 Hornet terpakai daripada Kuwait berdepan kelewatan.
Beliau mengesahkan bahawa objektif kerajaan adalah untuk melakukan pembaharuan sepenuhnya terhadap armada pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjelang tahun 2040, dengan lonjakan generasi ke arah pesawat pejuang berkeupayaan “stealth” sebagai teras transformasi itu.
“Pesawat generasi kelima, sama ada daripada Perancis, Amerika Syarikat atau Rusia boleh dipertimbangkan, walaupun ia memerlukan tempoh penilaian yang panjang.
“Kita berhasrat menggantikan pesawat sedia ada menjelang tahun 2040,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13.
Pelan sandaran Malaysia untuk memperoleh sebanyak 38 buah F/A-18C/D Hornet terpakai daripada Kuwait bergantung kepada penerimaan negara Asia Barat itu terhadap pesawat F/A-18E/F Super Hornet yang ditempah daripada Amerika Syarikat, satu proses yang dijangka berlarutan lebih lama berikutan keutamaan strategik Washington yang berubah-ubah
Menurutnya perolehan pesawat pejuang Hornet Kuwait hanya bersifat penyelesaian sementara untuk menampung keperluan operasi sehingga Malaysia berjaya memperoleh penyelesaian jangka panjang dalam bentuk pesawat generasi kelima menjelang dua dekad akan datang.
Beliau turut menambah bahawa Amerika Syarikat telah memberikan lampu hijau kepada urus niaga itu, dengan perbincangan berterusan antara Kuala Lumpur dan Kuwait sedang membuka jalan kepada penilaian teknikal oleh pasukan TUDM dalam masa terdekat.
Sejak diperkenalkan selepas Perang Teluk 1991, pesawat F/A-18 Hornet telah menjadi tunjang kekuatan udara taktikal Kuwait dan memainkan peranan penting dalam strategi pertahanan udara negara itu.
Kuwait memperoleh 32 pesawat F/A-18C dan lapan pesawat F/A-18D melalui program Foreign Military Sales (FMS) dengan Amerika Syarikat sebagai langkah pemodenan selepas pencerobohan oleh Iraq.
Pesawat generasi keempat pelbagai peranan ini terkenal dengan keupayaan tempur udara-ke-udara dan udara-ke-darat serta kemampuan operasi dalam pelbagai cuaca dan situasi, termasuk dari kapal induk.
Sepanjang dua dekad lalu, pesawat-pesawat ini telah menerima pelbagai naik taraf seperti radar baharu, avionik canggih dan sistem peperangan elektronik bagi memastikan ia kekal relevan dalam senario peperangan moden.
Pesawat Hornet milik Kuwait juga kerap terlibat dalam latihan gabungan dan misi operasi sebenar bersama pasukan bersekutu di Timur Tengah, sekaligus membuktikan kesesuaian dan kebolehpercayaan platform ini dalam operasi ketenteraan.
Meskipun berusia lebih tiga dekad, pesawat-pesawat tersebut masih dianggap berada dalam keadaan struktur yang baik dengan kadar penggunaan yang rendah serta rekod penyelenggaraan yang cemerlang.
Kini, dengan ketibaan pesawat baharu F/A-18E/F Super Hornet yang lebih canggih dan dibangunkan di bawah kontrak bernilai AS$1.5 bilion (RM7.05 bilion) dengan Amerika Syarikat, Kuwait bersiap sedia untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat pejuang Hornet legasi mereka secara berperingkat.
Langkah ini bukan sahaja membuka peluang strategik kepada Malaysia, malah membolehkan negara memperoleh pesawat berprestasi tinggi dengan kos yang lebih efektif serta keserasian penuh dengan infrastruktur F/A-18D sedia ada.
Bagi Kuwait pula, peralihan ini menandakan transformasi besar dari platform era Perang Dingin kepada jet tempur generasi baharu yang lebih bersepadu secara digital dan mampu melaksanakan misi jarak jauh.
Dalam masa yang sama, Kuwait turut melaksanakan program pemodenan udara bernilai berbilion dolar yang turut menyaksikan perolehan 28 pesawat Eurofighter Typhoon – termasuk 22 varian satu tempat duduk dan enam varian dua tempat duduk – melalui kontrak bernilai €7.96 bilion (RM39.8 bilion) yang dimeterai dengan Itali pada 2016.
Typhoon yang diterima oleh Kuwait merupakan antara konfigurasi tercanggih, dilengkapi radar AESA Captor-E dan sistem pertahanan elektronik terkini.
Sehingga kini, sebanyak 13 buah pesawat Typhoon telah diterima oleh Tentera Udara Kuwait secara berperingkat sejak penghantaran pertama pada Disember 2021, dengan baki 15 buah lagi dijadualkan sampai pada tahun ini, walaupun jadual penghantaran itu berubah-ubah.
Dalam masa yang sama, kesemua 28 pesawat Super Hornet Kuwait – terdiri daripada 22 varian F/A-18E dan enam varian F/A-18F – telah siap dibina oleh Boeing dan diserahkan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat sebagai langkah interim sebelum diserahkan secara rasmi kepada Kuwait.
Penyerahan akhir masih tertangguh kerana kerja-kerja penaiktarafan kemudahan pangkalan udara di Ahmed Al-Jaber masih dijalankan, selain proses persiapan logistik dan latihan.
Gabungan dua platform ini akan membentuk tulang belakang kekuatan udara Kuwait dalam dekad-dekad mendatang, sekaligus menjadikannya antara kuasa udara paling moden di rantau Teluk. — DEFENCE SECURITY ASIA
