Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Letusan Gunung Berapi Tonga “Ratusan Kali Lebih Kuat” Dari Bom Atom Hiroshima

Pentadbiran Aeroangkasa dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) dalam satu laporan menyebut letusan gunung berapi di Tonga itu beratus-ratus kali ganda lebih dahsyat daripada letupan bom di bandaraya Jepun itu.

0 1,061

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Letusan gunung berapi dasar laut yang berlaku di Tonga baru-baru ini dilaporkan lebih kuat berbanding letupan bom atom di Hiroshima yang menyebabkan Jepun menyerah kalah pada Perang Dunia Kedua.

Pentadbiran Aeroangkasa dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) dalam satu laporan menyebut letusan gunung berapi di Tonga itu beratus-ratus kali ganda lebih dahsyat daripada letupan bom di bandaraya Jepun itu.

Letusan yang berlaku di Tonga pada 15 Januari lalu itu telah melenyapkan sebuah pulau gunung berapi di utara ibu negara Tonga, iaitu Nuku’alofa.

Dilaporkan, lebih empat perlima populasi negara itu telah terjejas akibat tsunami dan abu akibat letusan gunung berapi itu.

Tragedi tersebut sehingga kini telah mengorbankan seramai tiga orang.

Tonga

Sebelum berlakunya letusan, pulau gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai adalah dua pulau berasingan yang bergabung dengan daratan baharu yang terhasil pada 2015.

NASA berkata, letusan itu sangat kuat sehinggakan daratan baharu yang terbentuk itu telah hilang, bersama-sama dengan “ketulan besar” dua pulau lama.

Sejurus selepas letusan dan tsunami, terdapat kebimbangan bahawa sumber air telah dicemari oleh debu, yang boleh mengakibatkan risiko penyakit seperti kolera dan cirit-birit.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa ujian pemeriksaan telah dilakukan dalam beberapa hari kebelakangan ini dan memaklumkan air hujan sebagai selamat untuk diminum.

Ketika ini, debu toksik setebal 100,000 lapisan yang terhasil menyelubungi keseluruhan kawasan sehingga meracuni air minuman, memusnahkan tanaman dan melenyapkan sekurang-kurangnya dua kampung.

Ia juga memberi risiko kesihatan awam yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas, menjejaskan sistem kardiovaskular dan penyakit paru-paru, mata dan kulit.

Setakat ini, kemusnahan yang berlaku di Tonga belum dapat dinilai secara keseluruhan kerana semua bentuk komunikasi di negara kepulauan berkenaan dilaporkan musnah.-DSA

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

 

Comments
Loading...