Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lebih 100 Buah F-35 “Tersadai” di Kemudahan Lockheed Martin. Pentagon Enggan Terima

Sejak daripada Julai tahun lepas, Pentagon enggan menerima pesawat-pesawat F-35 yang telah siap dibina sepenuhnya oleh Lockheed Martin kerana kelewatan dalam pembangunan Technology Refresh-3 (TR-3), usaha aplikasi software dan hardware bernilai US$1.8 bilion (RM8.45 bilion) untuk meningkatkan lagi kemampuan pesawat itu.

0 7,436

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dianggarkan lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35 kini “tersadai” di kemudahan syarikat pembuatnya, Lockheed Martin kerana Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) enggan menerima pesawat-pesawat yang sudah siap dibina itu.

Sejak daripada Julai tahun lepas, Pentagon enggan menerima pesawat-pesawat F-35 yang telah siap dibina sepenuhnya oleh Lockheed Martin kerana kelewatan dalam pembangunan Technology Refresh-3 (TR-3), usaha aplikasi software dan hardware bernilai US$1.8 bilion (RM8.45 bilion) untuk meningkatkan lagi kemampuan pesawat itu.

Disebabkan keengganan Pentagon menerima pesawat-pesawat F-35 yang telah siap dibina itu selagi isu TR-3 itu tidak diselesaikan, maka syarikat Lockheed Martin kini dibimbangi tidak lagi mempunyai kawasan bersesuaian untuk menempatkan pesawat-pesawat F-35 yang enggan diterima oleh Pentagon itu.

Perkara itu telah didedahkan dalam laporan agensi pemerhati kerajaan Amerika Syarikat, Government Accountability Office (GAO) baru-baru ini.

Pihak GAO tidak mendedahkan dengan jelas jumlah sebenar pesawat-pesawat pejuang F-35 yang “kini” tersadai di kemudahan syarikat Lockheed Martin, dengan Pentagon sekadar menyatakan bahawa jumlah pesawat yang terlibat itu “tidak sesuai” untuk diberitahu kepada masyarakat awam.

F-35
F-35A

 

Jawapan oleh Pentagon itu sudah cukup untuk memberitahu bahawa masalah melibatkan pesawat-pesawat F-35 yang tersadai itu adalah amat serius.

“Sekiranya isu TR-3 itu menjangkaui bulan April 2024, syarikat Lockheed Martin itu dijangka akan tidak lagi mempunyai kemudahan penyimpanan lagi dan terpaksa merangka pelan untuk menyimpan lebih banyak pesawat (F-35),” menurut laporan GAO itu.

Pegawai-pegawai kanan Lockheed Martin menyatakan bahawa mereka memiliki segala infrastruktur dan kapasiti diperlukan untuk menyimpan pesawat-pesawat F-35 yang enggan “diterima” oleh Pentagon  sehinggalah segala isu mengenai TR-3 itu selesai dan pesawat-pesawat itu diserahkan kepada “pelanggannya”.

“Maklumat-maklumat spesifik tentang penyimpanan (pesawat F-35) itu tidak akan dikongsi bersama kerana isu keselamatan,” menurut pegawai kanan Lockheed kepada media-media pertahanan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Daripada segi kewangan, ia juga akan meninggalkan kesan kepada syarikat Lockheed kerana agensi berita kewangan, Bloomberg menaksirkan bahawa bagi setiap pesawat F-35 yang enggan diterima oleh Pentagon, Lockheed akan menanggung kerugian sebanyak US$7 juta (RM33 juta) dalam bentuk bayaran awal yang tidak dibuat oleh Pentagon.

F-35

GAO berkata, kedua-dua pihak iaitu Pentagon dan Lockheed Martin akan berhadapan dengan liabiliti yang lebih besar sekiranya pesawat-pesawat F-35 yang disimpan itu mengalami kerosakan atau hilang ketika ia berada di kemudahan penyimpanan syarikat.

Agensi pemantau kerajaan Amerika Syarikat itu juga menyatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh Pentagon dan Lockheed Martin itu adalah sesuatu yang unik dan memberikan risiko berjadual serta kewangan kepada Pentagon.

GAO juga menyatakan bahawa walaupun TR-3 itu telah siap, ia masih akan mengambil masa sekurang-kurangya setahun bagi membolehkan Lockheed Martin untuk menghantar kesemua lebih daripada 100 buah pesawat F-35 yang kini tersadai kepada Pentagon.

Ia menjangkakan bahawa pesawat-pesawat F-35 yang kini dilengkapi dengan naiktaraf TR-3 itu akan hanya dihantar ke Pentagon bermula pada 2025.

F-35
F-35B VSTOL

 

Mengikut jadual asal, pesawat-pesawat F-35 yang telah dinaiktaraf dengan TR-3 sepatutnya mula dihantar kepada Pentagon bermula pada Julai tahun lepas.

Menurut laporan oleh media pertahanan Amerika Syarikat, sistem naiktaraf TR-3 itu berhadapan dengan masalah untuk menyokong sistem radar dan peperangan elektronik (EW) pada pesawat-pesawat F-35 sedia ada.

Juruterbang-juruterbang ujian (test pilot) pesawat pejuang F-35 menyatakan bahawa mereka terpaksa “reboot” sistem radar dan EW mereka ketika dalam penerbangan disebabkan masalah dengan TR-3 itu. — DSA

 

Comments
Loading...