Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Serah Jabatan Peguam Negara Isu Sub-Kontraktor LCS

Laporan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion, namun tiada kapal diterima setakat ini.

0 1,052

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menguruskan isu subkontraktor (pihak ketiga) yang terlibat dalam pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.

Beliau yang dikenali dengan panggilan “Tok Mat” berkata, terdapat kaveat dari “pihak ketiga” – Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) – sebelum mereka bersetuju untuk menandatangani perjanjian penyelesaian antarabangsa agar mereka tidak dipersalahkan.

Menurutnya, ia merupakan salah satu syarat untuk meneruskan projek LCS – seperti yang dimuktamadkan oleh kerajaan terdahulu.

“Contraves (CAD) tidak akan memainkan peranan tapi ada satu kaveat sebelum mereka bersetuju untuk menandatangani international settlement agreement untuk mereka ditiadakan (dalam projek pembinaan LCS itu), mereka perlu satu surat untuk indemniti (perlindungan) bahawa mereka tidak dipersalahkan.

“Jadi itu merupakan satu isu yang kita (kerajaan) amat keberatan untuk menandatanganinya dan kita akan merujuk kepada pihak peguam negara agar perkara ini biarlah Jabatan Peguam Negara menguruskannya.

LCS

“Tapi kami di peringkat kementerian tak bersetuju indemniti ini dibuat. Bagi kami siapa yang tersabit, tersabitlah bukan peranan Kementerian Pertahanan untuk melepaskan tanggungjawab sesiapa,” kata Mohamad.

Bagaimanapun, Mohamad berkata satu lagi bayaran perjanjian penyelesaian antarabangsa telah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu.

“Dan kita telah buat audit memang betul, this is all payment due to them (semua bayaran ini perlu dibayar kepada mereka),” katanya.

Skandal LCS terbongkar tahun lalu apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Laporan PAC itu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk kapal-kapal LCS itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

LCS

Beberapa hari lepas, Tok Mat berkata, salaupun kapal LCS pertama milik TLDM itu dijadual siap pada tahun depan, tetapi ia memerlukan kira-kira dua tahun lagi untuk kerja-kerja penilaian lanjut sebelum kapal perang termoden negara itu ditauliahkan ke dalam TLDM.

Beliau berkata tempoh di antara 22 hingga 24 bulan selepas kapal itu siap dibina diperlukan untuk kerja-kerja penilaian selanjutnya.

Tempoh penilaian dua tahun itu diperlukan untuk ujian pelabuhan (harbour trial) dan ujian lautan (sea-trial) sebelum kapal itu ditauliah ke dalam perkhidmatan TLDM — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...